Ajak rakyat sertai Rakan Cop

MUAR - Polis Johor menggalakkan orang ramai menyertai Rakan Cop untuk membantu pihak berkuasa memerangi jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff berkata, Rakan Cop adalah satu gagasan untuk memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pasukan polis menerusi telefon bimbit.

“Rakan Cop berpaksikan empat konsep umum yang utama antaranya, bersifat community oriented policing dan smart partnership, perantara merapatkan jurang di antara polis dengan masyarakat, menggalakkan pembabitan pertubuhan dan masyarakat, agensi kerajaan, swasta, badan kerajaan dan individu menjadi mata serta telinga kepada pasukan polis,” katanya pada perasmian program Rakan Cop bagi daerah Muar, Batu Pahat, Ledang dan Pontian di Dataran Tanjung Emas di sini, kelmarin.

Menurutnya, sejak Rakan Cop dilancarkan pada 16 Januari 2006, keahliannya di Kontinjen Johor sejumlah 41,107, berbanding penduduk negeri ini yang berjumlah 2.8 juta berdasarkan bancian
pada 2000.

“Daripada itu, maklumat yang disampaikan kepada Rakan Cop melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berjumlah 16,485,” katanya.

Mokhtar berkata, beliau menggalakkan rakyat di seluruh negeri ini menunjukkan kesungguhan, keikhlasan dan kerjasama bersama pasukan polis bagi menjayakan Rakan Cop.

“Kerjasama ini dijangka mampu menggerunkan penjenayah daripada melakukan jenayah dan memporak-perandakan keselamatan setempat,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan statistik Indeks Jenayah, Johor adalah sebuah negeri yang selamat, stabil, aman dan terkawal.

“Perbandingan Indeks Jenayah bagi tempoh Januari hingga November 2010-2011 menunjukkan penurunan sejumlah 1,102 kes bersamaan -5.43 peratus.

“Sementara itu, Indeks Jenayah Jalanan perbandingan Baseline 2009-2011 menunjukkan penurunan 3,616 kes bersamaan -57.30 peratus,” katanya.

Tambahnya, sokongan padu yang ditunjukkan masyarakat telah memperkukuhkan iltizam polis Kontinjen Johor untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri yang selamat, aman dan dapat menarik pelabur asing untuk pembangunan ekonomi.

Mokhtar berkata, salah satu pengukuran ancaman sebenar keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh dunia adalah berdasarkan kepada Petunjuk Indeks Jenayah Negeri Johor.

Beliau berkata, pencapaian ini adalah selaras dengan prestasi petunjuk Utama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah iaitu Indeks Jenayah negatif lima peratus dan jenayah jalanan
40 peratus.

“Saya bersyukur bahawa pencapaian mengawal dan mengurus jenayah polis Kontinjen Johor adalah hasil kerjasama erat daripada masyarakat.

“Tanpa kerjasama berterusan daripada masyarakat, sudah pasti pencapaian itu tidak dapat direalisasikan,” katanya.

Menurutnya, ia menjadi pemangkin kepada keamanan dan ketenteraman awam di negeri ini, di samping sebagai paksi kelestarian Gagasan Transformasi Kerajaan dalam mendukung semangat 1Malaysia.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, Pegawai Daerah Muar, Amran Abd Rahman.