PONTIAN - Jabatan Perhutanan yakin mampu mencapai sasaran menanam 26 juta pokok menjelang 2014 di bawah penanaman pokok yang dilancarkan April lalu selepas berjaya menanam satu juta pokok di seluruh negeri ini dalam tempoh tujuh bulan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Yahaya Mohamood berkata, sambutan yang diterima cukup menggalakkan dari semua pihak sama ada sektor awam dan swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, penglibatan seperti ini menunjukkan wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat di negara ini berhubung pentingnya usaha pengekalan kawasan hijau bagi melahirkan persekitaran yang bersih dan sihat.
"Hutan adalah elemen yang penting dan tanpanya boleh mendatangkan pelbagai fenomena serta kejadian bencana alam seperti tsunami pada 2004 lalu.
"Sebagai agensi yang bertanggungjawab, kami komited untuk terus memelihara dan melindungi alam sekitar seterusnya menjamin kesejahteraan penghuninya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Menanam 26 juta pokok dengan tema ‘Greening The Earth’ di Pusat Kokurikulum Johor (Cawangan Pontian) di Sungai Tempayan, Pekan Nanas, di sini, kelmarin.
Program anjuran bersama Jabatan Perhutanan Johor, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pontian serta Syarikat Panasonic System Network Malaysia Sdn. Bhd yang beribu pejabat di kawasan perindustrian Senai.
Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Ab. Rahim Lamin dan Ketua Pegawai Kewangan, Panasonic System Network (M) Sdn. Bhd. Junyo Makino bersama 42 pegawai dan kakitangannya.
Sebanyak 1,000 batang pokok ditanam sempena program tersebut dari pelbagai jenis seperti kelat paya, merawan, siput jantan, pulai, bintangor, meranti, tembaga dan karas.
Program turut disertai pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Sebatang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, pelajar Kolej Kemahiran Belia Negara(KKBN) Pontian serta penduduk kampung Sungai Tempayan.
Menurut Yahaya, tujuan utama kempen itu adalah untuk memupuk generasi muda berwawasan yang dapat memahami tentang pentingnya keseimbangan dari segi pembangunan serta pemeliharaan alam sekitar.
"Oleh itu dalam setiap kempen menanam pokok, penganjur akan melibatkan sama pelajar sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi memberikan pendedahan kepada mereka," katanya.
Katanya, kempen ke arah penghijauan juga berjaya menarik pihak swasta sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi bersama memelihara alam sekitar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: