Saturday, September 24, 2011

Wanita mualaf ubah Nana


NANA harap perubahannya membawa kebaikan pada diri.


KALAU wanita mualaf boleh berubah dan memakai pakaian menutup aurat, kenapa tidak dirinya yang sememangnya dilahirkan sebagai Islam sejak 28 tahun lalu.

Itulah persoalan yang bermain di minda penyanyi Siti Nordiana Alias ketika membaca artikel berkaitan Islam dalam sebuah majalah pada bulan puasa yang lalu.

Sejak itulah, Siti Nordiana atau Nana tergerak hati untuk mengubah penampilan dirinya menjadi wanita muslimah dengan mengenakan tudung dan mengelak daripada berpakaian seksi.

“Selama ini Nana leka dan tidak mempraktik cara pemakaian wanita Muslimah yang sebenar. Sepatutnya, sudah lama Nana berubah. Apa pun Nana bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati Nana ke arah yang lebih baik.

“Apa yang Nana lakukan ini bukan dipinta oleh sesiapa atau ingin meniru sesiapa, tapi semua atas kehendak diri sendiri. Nana ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri sendiri,” katanya terus terang.

Sebelum mendengar penjelasan Nana yang ditemui pada majlis memperkenalkan produk kesihatan di Shah Alam baru-baru ini, S3 tertanya-tanya adakah penampilannya begitu hanya untuk hari itu sahaja.

Bagaimanapun selepas mendengar penjelasan Nana, ternyata dia bukan main-main untuk berubah tapi hijrah yang dilakukan atas dasar kesedaran dan ikhlas kerana tuntutan agama.

“Bukan fesyen terkini daripada Nana atau pakaian rasmi untuk majlis ini. Ini akan menjadi pakaian rasmi Nana di masa akan datang kerana Nana sudah berubah. Sebenarnya sudah lama Nana berniat untuk memakai tudung, tapi baru-baru ini sahaja Nana mampu melakukannya,” katanya.

Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, biarpun cara pemakaiannya berubah namun dia tetap Siti Nordiana yang sama dan akan terus aktif menyanyi.

Menyedari perubahan imejnya bakal memberi impak pada kerjaya, Nana berkata, dia tidak akan beralih genre lagu mengikut penampilan diri tetapi meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu duet Paling Comel bersama arwah Achik Spin itu berkata, sejajar dengan perubahan imej, dia akan memastikan lagu-lagu dendangannya kelak bersesuaian dengan penampilan.

“Untuk tukar genre pop kepada nasyid tidaklah... tapi mungkin pihak rakaman ada perancangan baru. Apa pun Nana bersedia menerima sebarang perubahan, baik daripada pihak rakaman atau peminat.

“Apa pun Nana percaya, peminat sekarang lebih terbuka. Mereka meminati seseorang artis itu kerana bakat dan bukan kerana penampilan diri. Selagi Nana memberikan persembahan terbaik, Nana yakin akan mendapat sokongan daripada mereka,” katanya yang kelihatan anggun mengenakan busana Koleksi Najjah.

Nana yang sibuk mempromosi single kedua, Semakin Jelas berkata, jika perubahannya itu tidak membantu perkembangan kerjaya, dia reda dengan segala dugaan.

Selain itu, Nana juga berkata, dia sekarang dalam proses mendalami ilmu keagamaan untuk memperbaiki kekurangan diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: