Saturday, September 24, 2011

48 tahun menyanyi cuma ada satu album


BIARPUN sudah mencecah usia 67 tahun tetapi Aspalela Abdullah masih sihat dan ceria.


Biarpun dikenali ramai dan masih boleh menyanyi dengan baik pada usia emas, tetapi Aspalela berasa terkilan kerana sudah lama dia tidak merakamkan album baru.

Penyanyi berusia 67 tahun ini juga berasa sedih kerana sepanjang 48 tahun menjadi penyanyi, dia hanya diberi peluang merakamkan sebuah album solo berjudul Joget Cari Makan pada 1990.

"Album solo saya itu diterbitkan 21 tahun lalu di mana ketika itu saya sudahpun berusia 46 tahun. Sejak saat itu, malah sehingga kini belum ada sebarang tawaran daripada syarikat rakaman untuk saya merakamkan album baru.

"Saya pun tidak tahu mengapa. Mungkin saya tiada rezeki berbanding penyanyi lain yang berpeluang merakamkan banyak album sepanjang karier mereka. Album Joget Cari Makan itu boleh dikatakan album pertama dan terakhir saya," katanya kepada S3.

Menurut balu pelawak dan pengarah filem tahun 1980-an, Allahyarham Raja Ismail Raja Saad yang meninggal dunia pada tahun 2000 itu, jika ada pun tawaran merakamkan album, ia hanyalah sekadar sebuah lagu yang dimuatkan dalam sebuah album kompilasi.

Belum terlambat

Antara lagu terbaru yang dirakamkannya ialah Hari Raya berduet dengan Datuk M. Daud Kilau dan Datuk M. Daud Wahid pada 31 Ogos lalu menerusi rancangan Gema Aidilfitri yang disiarkan melalui TV1 baru-baru ini.

Bekas juara Bintang Radio 1968 dan juara Dendang Rakyat 1983 ini tidak berputus asa, sebaliknya bersedia menerima tawaran merakamkan album jika ada syarikat rakaman yang berminat terhadapnya.

"Saya masih boleh menyanyi dengan baik. Malah, sampai sekarang saya masih menerima undangan menyanyi walaupun ia tidak sebanyak seperti pada tahun 1980-an. Saya juga menganggap belum terlambat untuk saya merakamkan album saya yang terbaru," pintanya.

Ekoran tiada tawaran merakamkan album mahupun mengadakan persembahan pentas, Aspalela kini lebih banyak melakukan aktivitinya sendiri di rumahnya di Taman Melati, Kuala Lumpur.

Bekas pesara Tenaga Nasional Berhad ini, berkata, meskipun sudah lebih dua dekad tidak merakamkan album baru tetapi minat dan kecintaannya terhadap bidang nyanyian tidak pernah pudar.

Sebaliknya, ibu kepada tiga orang anak, Raja Iskandar, 44, Raja Nor Hanifah, 40, ( anak bongsunya Raja Nurul Faiz meninggal dunia ketika berusia 16 tahun pada 1993) ini berkata, minat dan bakatnya menyanyikan lagu-lagu joget itu banyak membantunya dalam aktiviti sehariannya.

"Di kawasan perumahan saya itu, saya telah menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Sinar Suri. Kumpulan ini dianggotai 55 orang dan biasanya kami mengadakan persembahan di majlis orang kahwin.

"Kami bukan sahaja menyanyi lagu-lagu asli dan joget lambak tetapi juga menyediakan khidmat mengaji pada majlis khatam al-Quran ataupun berzanji. Sebelum ini, saya banyak menerima tawaran menyanyi bersama Bob (bintang Akademi Fantasia 2.

"Saya berduet dengan Bob dalam lagu Hantaran Hati. Saya menggantikan Rosiah Chik sebagai rakan duet Bob dalam lagu itu selepas dia meninggal dunia beberapa tahun lalu," kata anak saudara penyanyi Tan Sri S.M. Salim ini.

Nenek kepada tiga orang cucu ini menambah, tiada alasan buat syarikat rakaman tidak berminat untuk merakamkan lagu-lagu asli untuk penyanyi veteran sepertinya kerana genre itu tidak akan lupus ditelan zaman.

Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini berkata, biarpun tiada tawaran merakamkan album tetapi dia bangga perkembangan lagu-lagu tradisional terutamanya joget dan asli semakin mendapat sambutan di kalangan penyanyi generasi muda hari ini.

"Saya dapati ramai penyanyi muda yang bukan sahaja berminat dengan lagu-lagu Melayu lama seperti Bob dan Haziq. Malah, mereka juga boleh menghayati dan menyanyikan lagu-lagu ini dengan baik. Sebab itulah, saya yakin lagu-lagu tradisional Melayu akan terus diminati ramai pada masa depan," ujarnya lagi yang pernah popular menerusi lagu Ibunda Tercinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: