KEWUJUDAN gazebo atau disebut juga sebagai wakaf memberi impak yang bukan sedikit pada sesebuah laman.
Kini, ramai pemilik kediaman dengan laman tidak kira sederhana mahu pun luas, mula berkira-kira memasang wakaf kerana keunikannya yang tersendiri. Apatah lagi andai ia dikelilingi tumbuh-tumbuhan dan juga kolam buatan atau unsur air, pastinya menghasilkan satu landskap yang cukup mendamaikan.
Pelbagai corak dan material, wakaf bukan sahaja berfungsi mengindahkan laman namun ia juga merupakan satu ruang kediaman yang sangat berguna. Terutama sekali tatkala diadakan jamuan atau dikunjungi tetamu yang ramai, pastinya ruang ini memberi manfaat yang bukan sedikit kepada pemiliknya.
Agro Biosolutions Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding landskap memberi panduan dalam pemilihan wakaf bagi memastikan kewujudannya dimanfaat sepenuhnya bagi sesebuah laman.
Menurut pemiliknya, Muhammad, harga sesebuah wakaf bergantung kepada rekaan dan penggunaan material utamanya.
“Pemilihan kayu amat penting kerana ia menentukan ketahanan sesebuah wakaf. Kayu yang berkualiti seperti cengal dan jati tahan lebih lama dalam cuaca panas dan hujan tetapi harganya jauh lebih mahal. Selain itu, kayu balau dan intan juga sesuai digunakan kerana ia masih tahan cuaca jika dibandingkan dengan kayu campuran yang banyak digunakan ketika ini,” kata beliau.
Menurutnya, kayu campuran jauh lebih murah namun ia hanya bertahan sekitar dua hingga tahun sahaja. Pasti ia merenyahkan pemilik andai wakaf mula diserang anai-anai dan reput walaupun baru dipasang untuk tempoh itu.
Rekaan
Terdapat pelbagai rekaan wakaf dan juga saiz bergantung kepada keluasan sesebuah laman. Ada yang gemar kayu sepenuhnya termasuk pada bahagian lantai serta atap dan ada yang hanya bertiang kayu dan beratap nipah.
“Lantainya pula diperbuat daripada simen dan disudahi dengan kemasan jubin quarry atau batuan pebble wash,” katanya.
Antara rekaan yang digemari ramai adalah wakaf bertiang empat berkonsep Bali dan juga wakaf bertiang satu. Terdapat juga tiang wakaf yang menggunakan kayu tidak dipotong.
Tambahan ukiran kayu pada bahagian atap menjadikan wakaf kelihatan sangat unik dengan ciri tradisional.
Antara projek menarik yang pernah dikendalikan syarikat Muhammad adalah rekaan wakaf berkonsep ala Siam di Rantau Panjang, Kelantan. Ia menggunakan bumbung kayu dan ukiran bermotif negara gajah putih diterapkan pada setiap sudut.
Sebagai sebuah syarikat perunding, Agro Bio Solutions Sdn. Bhd. biasanya hanya terlibat mengendalikan sebuah projek besar pemasangan wakaf.
“Namun kami juga mempunyai senarai kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pemasangan wakaf bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: