KUDA dan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Sejarah jalinan hubungan antara kedua-duanya tercetus sejak berkurun lamanya. Kuda digambarkan haiwan hebat. Peranannya dalam meluaskan empayar jajahan manusia dan sejarah penaklukan bukan sedikit.
Bermula dengan dagingnya dijadikan hidangan, kuda kemudiannya menjadi ‘pembantu’, malah boleh dikatakan antara haiwan yang rapat dengan manusia. Kalangan pencinta kuda menyifatkan haiwan tersebut mempunyai emosi umpama manusia. Kuda juga dikatakan haiwan bijak, cepat menyesuaikan diri dengan keadaan selain patuh kepada arahan tuannya. Emosi kuda juga dikatakan berbeza dengan haiwan lain sebab itu ia menjadi satu-satunya ‘atlet’ yang boleh diregukan dengan manusia.
Maka lahirkan sukan melibatkan kuda seperti polo, lumba kuda, kuda lasak dan ekuestrian yang kesemuanya menuntut ‘kerjasama erat’ antara kuda dan manusia sekali gus menjadikan sukan tersebut antara yang digemari dan sarat dengan cabaran tersendiri.
Terbaru satu lagi sukan melibatkan kuda iaitu memanah sambil menunggang kuda (horseback archery). Tentunya boleh dibayangkan kepayahan sukan ini lantaran ia menuntut pelbagai skil. Pertamanya skil menunggang kuda, mengawal pergerakan, memahami kuda, skil memanah dan pada masa yang sama menumpukan sepenuh perhatian supaya panahan menepati sasaran.
Bayangkan kuda bergerak amat pantas, penunggang terpaksa menunggang tanpa memegang kuda kerana anak panah dan bow kemas di tangan - sasaran juga mesti diperhatikan.
Menurut Sheikh Fuad Sheikh Mahmud, 48, proses itu tentunya menuntut gabungan tenaga dan tumpuan minda yang bukan sedikit. Sheikh Mahmud bersama Marshal Ajail dan Azharul Amani Abdul Aziz mendapat latihan teknik memanah sambil menunggang kuda di Korea. Pasukannya terkenal dengan nama Arduja Malaysia, bekerja keras mahu menguasai kemahiran memanah sambil menunggang kuda yang agak baru di negara ini.
Bagi memberi pendedahan tentang sukan itu kepada masyarakat Malaysia, Sheikh Fuad dan rakan-rakannya akan mengadakan demo acara ini semasa Pertunjukan Kuda Kebangsaan pada 23 hingga 25 September di Kelab Lumba Kuda Selangor di Sungai Besi Kuala Lumpur.
Acara tersebut dipamerkan buat pertama kali, justeru beliau percaya, ia menawarkan tarikan tersendiri kepada para pengunjung yang ingin mengetahui apa sebenarnya keunikan horseback archery. ``Tentunya `berurusan’ dengan haiwan menuntut keyakinan dan kemahiran yang tinggi berbeza dengan sukan lain seperti F1. Ini kerana mengendalikan haiwan tidak mudah dan banyak yang di luar jangka. Jadi persediaan mental juga kena kuat,’’ katanya.
Selain acara tersebut, pencinta kuda di pelbagai peringkat usia berpeluang mengenali haiwan tersebut secara lebih dekat sepanjang karnival yang menjanjikan pelbagai tarikan itu.
Dunia
Diadakan selama tiga hari dari 23 hingga 25 September, 2011 di Pusat Ekuestrian dan Sukan STC di Kuala Lumpur, Pertunjukan Kuda Kebangsaan merangkumi segala aktiviti dan sukan berkaitan kuda. Para pengunjung boleh melihat pelbagai acara menarik termasuk pertandingan ekuestrian seperti dressage, show jumping, endurance dan combined driving.
Tarikan lain adalah ekspo ekuin yang menjual semua produk dan perkhidmatan berkaitan kuda, pertandingan meladamkan kuda antarabangsa, menaiki kereta kuda dan menunggang kuda padi. Turut diadakan pameran terbesar baka kuda, dan pameran pelbagai kereta kuda dari era yang berlainan.
Bagi mereka yang gemar membeli-belah, jangan ketinggalan melawat tapak ekspo barangan buatan tangan hasil kreativiti sekumpulan yang menjual rangkaian perhiasan kecil bertemakan kuda.
Pengunjung terutama remaja juga boleh mencuba sukan ekstrem selain menikmati hiburan oleh artis, persembahan pentas, gerai permainan, mencari harta karun, pertandingan mewarna, sudut Muka Gembira 1Malaysia dan banyak lagi. Pengujung awal berpeluang membawa pulang hadiah menarik.
Sudut demonstrasi pula akan menonjolkan aksi doktor gigi kuda menjalankan tugas memberus gigi kuda dan ahli akupunktur memberi sedikit kelegaan kepada kuda.
‘‘Ini adalah peluang hebat untuk seluruh keluarga termasuk kanak-kanak dan remaja mengenali aspek-aspek sukan ekuestrian. Sebaiknya, ia juga merupakan satu hari untuk bersiar-siar dengan penuh keseronokan yang tertumpu kepada tema kuda,” kata Tan Sri Richard Cham Hak Lim, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola.
Beliau menambah, menerusi ekspo ekuin itu juga orang ramai berpeluang memperoleh maklumat tentang peluang kerjaya dalam industri tersebut. Dengan bilangan kuda yang bertambah di negara ini disebabkan populariti sukan polo, sukan Endurance dan ekuestrian, sektor kuda membekalkan banyak peluang pekerjaan seperti pengurusan kandang kuda, jurulatih, veterinar, pengelola pertandingan, handikap sukan, meladamkan dan banyak lagi.
‘‘Satu lagi tarikan Pertunjukan adalah Menunggang Kuda Endurance Amal 20 kilometer pada 24 September 2011. Pemenang pertandingan akan mendermakan keseluruhan wang hadiah untuk amal.” kata Cham.
Tiada bayara masuk dikenakan ke Persembahan Kuda Kebangsaan 1Malaysia. Persembahan akan dimulakan dari 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: