Wednesday, September 7, 2011

UM antara 500 IPT terbaik dunia


ARSHAD Ayub (dua dari kanan) dan Ghauth Jasmon (kanan) bermesra dengan seorang pelajar baru OKU, Aini Azlita Ahmad Kamal pada Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Universiti Malaya (UM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan pertama disenaraikan dalam Ranking Akademik Universiti Dunia (ARWU) oleh Universiti Shanghai Jiao Tung pada kedudukan antara 401 hingga 500 IPT terbaik dunia bagi tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, kedudukan itu turut dikongsi bersama IPT terkemuka lain termasuk Universiti Kaherah di Mesir, Universiti Zagreb di Croatia dan Universiti Wollongong di Australia manakala Universiti Harvard berada di tempat pertama.

Katanya, ARWU yang bermula sejak 2003 itu menilai kredibiliti sesebuah IPT dalam melahirkan alumni yang memenangi Hadiah Nobel, mengemukakan penyelidikan bertaraf dunia dan prestasi keseluruhan pelajarnya yang lazimnya didominasi IPT dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Taiwan.

"Penyenaraian tersebut mengambil kira jumlah penerbitan jurnal dalam pangkalan data indeks jurnal Information Sciences Institute (ISI), mendapatkan perkhidmatan pensyarah antarabangsa dan kemasukan pelajar antarabangsa.

"Ia turut disusuli dengan kejayaan menduduki tangga 167 berbanding 207 pada tahun lalu oleh Quacquarelli Symonds (QS) (syarikat penarafan yang berpangkalan di London)," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Akujanji Mahasiwa Baru UM di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UM, Tan Sri Profesor Emeritus Augustine Ong Soon Hock.

Seramai 3,154 mahasiswa termasuk 116 dari luar negara menghadiri majlis tersebut.

Jelas Arshad, peningkatan 40 tangga pada QS ini merupakan sebuah kejayaan besar bagi IPT ini dan membuktikan kepimpinan serta staf UM sentiasa bekerja keras untuk mencapai tahap yang membanggakan.

Dengan perkembangan ini, katanya, hasrat untuk berada dalam senarai 100 universiti terbaik dalam QS pada 2015 akan tercapai.

Sementara itu, Ghauth pada sidang akhbar kemudiannya berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan UM berada di landasan yang betul dalam meningkatkan kecemerlangan bagi bersaing dengan IPT terkemuka lain.

"Orang kata saya gila ranking, tapi dengan ranking inilah kita dapat menjamin prestasi sesebuah universiti sentiasa meningkat terutama melalui komitmen setiap warganya dalam memperbaiki diri di samping mengharumkan nama negara di mata dunia," jelasnya.

Dalam pada itu, QS turut menyenaraikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan 279 terbaik diikuti Universiti Sains Malaysia (335) dan Universiti Putra Malaysia (358).

Antara penyelidik kedudukan IPT yang berprestij di dunia adalah ARWU, QS dan Times Higher Education Supplement (THES-QS).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: