Wednesday, September 7, 2011

UMK masih dihantui krisis air


DR. Zainai Mohamed (kanan) bermesra dengan pelajar baru pada program Minggu Mesra Mahasiswa di kolej kediaman pelajar Kampus UMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 6 Sept. – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tetap menghadapi masalah bekalan air biarpun telah menyediakan lebih banyak tangki simpanan bagi menampung keperluan pelajar dan kakitangannya.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed berkata, masalah tersebut terus menghantui institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu disebabkan bekalan air yang disediakan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. sering terganggu.

Beliau berkata, tangki simpanan yang disediakan sebagai langkah berjaga-jaga itu tidak mampu untuk menyelesaikan masalah tersebut malah kebanyakan pelajar merungut tentang kualiti air.

“Masalah kekurangan bekalan air sememangnya berlaku di UMK. Pada saya masalah ini berada pada tahap yang perlu diberikan perhatian. Sebab boleh tidak ada bekalan pada bila-bila masa.

“Secara keseluruhannya kualiti air memang dipersoalkan oleh mahasiswa kita disebabkan bila air kering, kita pam dan naik air merah.

“Tiap-tiap blok kita sediakan tangki simpanan tetapi itu juga kadangkala tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui pada program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) di kolej kediaman pelajar Kampus UMK Pengkalan Chepa dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masalah bekalan air di universiti tersebut selepas terdapat rungutan daripada para pelajar.

Masalah bekalan air di negeri ini berlaku sejak 20 tahun lalu dan ia dilihat seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Ekoran daripada itu, Barisan Nasional (BN) Kelantan berjanji akan menyelesaikan masalah bekalan air di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun sekiranya menang pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, malah janji tersebut telah dimasukkan ke dalam manifesto BN negeri ini kerana pihaknya mahu membantu rakyat keluar daripada belenggu masalah yang terpaksa mereka tempuhi lebih 20 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: