Monday, September 19, 2011

Tunai hajat arwah adik

  • Foto

  • Foto

    AZAD tidak dapat menahan sebak pada majlis pernikahan.

Azad anggap isterinya wanita Melayu terakhir

AIR mata Azad Jazmin Jeffri, 35, berjurai sebaik saja lafaz nikah kepada pasangannya, Eira Syazira, 27, disahkan sekali gus titisan jernih itu menandakan kesyukuran dan kegembiraan yang tidak terhingga apabila mampu melalui pelbagai ranjau berduri sepanjang tiga tahun menyulam cinta.
Pasangan pelakon itu disatukan selepas Isyak, malam kelmarin, di kediaman keluarga Eira dengan mas kahwin RM300 bersama sembilan dulang hantaran dibalas 11 oleh pihak perempuan, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Diminta berkongsi perasaannya, aktor Ngangkung itu mengakui terharu dan gembira bercampur baur apatah lagi pernikahan mereka secara tidak langsung memenuhi hajat arwah adiknya, Nizar Jeffri, 31, yang meninggal dunia tahun lalu.

“Arwah menghembuskan nafas terakhir akhir tahun lalu disebabkan paru-paru berair, namun kami sekeluarga reda sekali pun dia tidak dapat bersama pada hari ini. Dia pernah menyatakan, saya bertuah memiliki Eira dan mahu melihat kami disatukan segera.

“Sememangnya Eira lemah lembut, penyabar dan sentiasa memahami saya. Secara jujur kehadirannya melengkapi hidup saya. Eira umpama wanita Melayu Terakhir. Nasihat serta sokongannya menguatkan semangat saya,” katanya yang bertekad menjadikan gadis itu sebagai permaisuri hidup sejak awal perkenalan.

Akad nikah disempurnakan bapa Eira sendiri, Shuhaimi Acheh, dengan disaksikan Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat, yang turut dihadiri kira-kira 500 tetamu termasuk rakan artis dan penerbit. Dengan sekali lafaz Eira sah menjadi milik Azad. Selain beg tangan berjenama Tod’s, pihak pengantin lelaki turut membawa dulang berisi jam tangan, sepasang kasut, buah-buahan, coklat, telekung, sejadah, al-Quran, sirih junjung, iPad 2 serta sebentuk cincin berlian.

Selain jam tangan, tas tangan lelaki, kasut dan tali pinggang, pihak Eira membalas dengan jambangan coklat, sejadah dan al-Quran, sirih junjung, satu set barangan sukan dari jenama pasukan bola sepak kegemaran Azad, Chelsea, sepersalinan baju Melayu dan sebentuk cincin.

Nyata riak bahagia tidak mampu disembunyikan kedua-duanya yang sepadan menyarung persalinan senada putih rekaan Wanpa, malah konsep pilihan sesuci rona salju disulami mawar segar merah saga seakan melambangkan cinta suci nan mekar antara mereka.

Bagi Eira atau nama sebenar Syazira Shuhaimi, keperibadian Azad yang menjadi pelindungnya saat susah dan senang membuka hati untuknya melayari kehidupan berkeluarga bersama-sama semetelah jejaka terbabit juga sangat mementingkan nilai kekeluargaan seperti dirinya.

“Kami saling melengkapi. Kalau saya panas, Azad akan menyejukkan begitu juga sebaliknya. Alhamdulillah impian hidup bersama dimakbulkan oleh-Nya. Macam persiapan hari ini, walaupun segala-galanya dipercepatkan kerana memenuhi permintaan keluarga, majlis ini berlangsung dengan lancar.

“22 Februari 2008 tarikh perkenalan kami ketika terbabit dengan penggambaran Dendam Adam. Terlalu banyak dugaan sebenarnya. Bayangkan dua tiga minggu sebelum bernikah ini pun ada saja gangguan. Namun selepas melakukan solat istikharah, penunjuk positif menguatkan jodoh kami,” akuinya yang dirisik Mei lalu.

Tarikh nikah dipercepat

Mengikut perancangan asal selepas majlis merisik dan pertunangan diadakan pertengahan Mei lalu, mereka memilih melangsungkan perkahwinan pada 11 Februari 2012 yang jatuh pada hari lahir Azad, tetapi dipercepatkan sekembalinya keluarga Eira daripada umrah sekali gus mengambil keberkatan Syawal.

Malah akad nikah ini juga disifatkan sebagai majlis rumah terbuka menjamu tetamu yang hadir bersama konsep dan dekorasi majlis dipertanggungjawabkan kepada Zaha Wedding Planner.

Eira yang melancarkan album solo berjudul Di Hati Ini di bawah naungan FG Music Sdn Bhd memberitahu, biarpun persiapan dilakukan tergesa-gesa, dia bersyukur kerana ramai pihak yang sudi menaja sejurus selepas kad undangan kahwin dilayangkan.

“Macam majlis di sebelah Azad pada 26 November nanti di Pulau Pinang, ada syarikat yang bermurah hati untuk menaja sepenuhnya, tetapi Azad lebih senang membayar katering kerana lebih selesa menjamu tetamu dengan duit sendiri.

“Bagi majlis sebelah saya pula pada 19 November, mulanya ia dirancang untuk diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC), tetapi emak saya yang berasal dari Kelantan berhajat mengadakan kenduri di rumah sendiri.

“Lagipun emak saya mempunyai perkhidmatan katering sendiri dan dia bercadang bergotong-royong menyediakan hidangan dengan sanak-saudara,” katanya yang akan menyarungkan persalinan rekaan Hazwani Osman dan Hairi Tajudin pada majlis resepsi nanti.

Pasangan ini dijangka berbulan madu sambil bercuti bersama peminat November ini ke Bali dan Jakarta atas tajaan Poto Travel & Tours Sdn Bhd yang turut bekerjasama dalam penghasilan album sulung seterusnya mengambil cuti panjang berlibur di Itali, tahun depan.

“Biarlah segala-gala persediaan selesai dulu sebelum memikirkan bulan madu. Buat masa ini saya dan Azad juga ada perancangan untuk membuka perniagaan bersama yang menjual pakaian dan beg tangan secara online serta kedai. Kami juga akan berduet untuk single seterusnya.

“Dilahirkan dalam keluarga yang suka berniaga juga membuatkan saya turut cenderung ke arah itu, lagi pun usaha ini sudah kami bincangkan bersama sejak merancang hidup bersama,” kata Eira lagi yang mengaku mahu segera bergelar ibu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: