PERIT jerih melalui saat jatuh bangun selama 11 tahun bergelar anak seni ternyata mematangkan penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor, Norhasliah Abu Hassan atau lebih dikenali dengan nama Alyah ini. Andai disusuri perjalanan seninya, lebih banyak kepahitan dilalui sebelum kemanisan akhirnya mampu dikecapi.
Namun populariti tidak sedikit pun menghanyutkan wanita berusia 31 tahun ini. Dia sentiasa beringat, malah kejayaan serta pengalaman yang dimiliki itu kini dikongsi bersama tiga gadis yang ingin mencari tapak dalam dunia nyanyian. Mereka dijadikan anak didiknya menerusi penubuhan sebuah kumpulan diberi nama Chocolate, yang bernaung di bawah syarikatnya, I Like Music Entertainment.
Kini, ke mana dia pergi, tiga gadis itu - Nadia Pamela Yunus, 24; Nur Shareeza Abidin, 18; dan Melley Matius, 23 - pasti akan turut diusung bersama bagi mendedahkan mereka kepada dunia seni.
“Perjalanan Alyah sebagai seorang penyanyi solo tetap diteruskan, cuma Alyah wujudkan sebuah kumpulan wanita ini untuk dijadikan pelapis. Alyah ingin kongsi apa yang dilalui sepanjang 11 tahun lalu bersama mereka. Bukanlah sebab Alyah sudah berasa yakin dengan apa yang dikecapi sekarang, cuma Alyah rasa rugi jika apa yang dipelajari selama ini tidak dikongsi dengan orang lain.
“Mereka berbakat, tapi jika bukan kakak yang menolong adik, siapa lagi yang akan bantu? Alyah juga tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas mereka, kerana memang ada segelintir orang yang suka berbuat demikian pada bakat baru.
“Walaupun Alyah membantu mereka, Alyah tetap suruh mereka berdikari. Alyah tak mahu mereka naik dengan mudah, sebaliknya Alyah ingin mereka belajar sedikit demi sedikit. Apa yang Alyah dapat tengok, walaupun mereka sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), tetapi mereka sangat rajin. Habis saja kelas, mereka tidak buang masa. Biarpun penat, mereka rajin berlatih,” kata Alyah yang turut menyumbangkan suaranya dalam single pertama kumpulan itu, Boomerang.
Lagu berkenaan bukan saja dimuatkan dalam album Chocolate, bahkan ia turut disenaraikan sama dalam album terbaru Alyah yang dijangka menemui peminat pada penghujung tahun ini.
Selain bekerja keras untuk album kumpulan itu, Alyah juga berkongsi ilmu penampilan diri bersama anak didiknya agar mereka juga dilihat menawan setiap kali muncul di khalayak ramai.
Lebih menyerlah secara kumpulan
DITANYA kenapa Chocolate yang dipilih menjadi nama kumpulan itu, penyanyi yang kini meletup bersama lagu Kisah Hati ini menjelaskan, nama terbabit bersesuaian dengan imej yang dibawakan ketiga-tiganya. Rasa coklat yang manis dan digemari semua peringkat usia diharap dapat memberi sinar kepada kumpulan terbabit.
Walaupun sibuk memberikan tumpuan kepada Chocolate, Alyah tidak pernah melupakan kariernya sendiri. Malah dia juga memastikan kumpulan itu tampil berbeza dengan dirinya yang bergerak solo, dari segi bentuk muzik. Justeru, konsep lagu Chocolate juga sedikit berlainan daripada lagunya supaya peminat dapat mengenal pasti identiti muzik mereka.
“Alyah masih kekal dengan genre sama. Cuma sebagai pengenalan, Alyah juga akan muncul dalam album kumpulan ini. Bagi membantu mereka memulakan tapak dalam industri pula, Alyah akan bawa mereka ke mana saja. Contohnya, sebelum ini Alyah dapat undangan mengadakan persembahan untuk majlis makan malam, Alyah tampilkan mereka sekali pada acara pembukaan.
“Alyah tahu artis berkumpulan jarang bertahan lama, tetapi sebagai permulaan, biarlah mereka tampil secara grup dulu. Alyah tidak pernah tetapkan berapa lama mereka harus bersama kumpulan ini, tapi kalau mereka boleh bertahan lama, adalah lebih baik.
"Mereka sangat berbakat, mampu menyanyi secara solo dengan baik. Tetapi apabila mereka bergabung, kekuatan vokal mereka lebih terserlah lagi,” kata Alyah.
Sementara itu Nadia yang mewakili rakan-rakannya berkata, mereka bertiga beruntung kerana menjadi pilihan penyanyi hebat itu.
“Kak Alyah banyak menolong kami. Dengan berkat bantuan Kak Alyah, sedikit sebanyak kami dapat gambaran mengenai dunia hiburan tanah air, walaupun sebelum ini tidak banyak yang kami ketahui. Pengalaman yang dikongsikan bersama kami memang banyak membantu. Kami harap kehadiran Chocolate diterima dan kami juga berharap dapat memperbaiki lagi kebolehan sama ada dari sudut vokal mahupun tarian,” kata Nadia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: