![]() |
| TENGKU ZAINI tidak pernah letih dalam usahanya memperjuangkan irama Melayu klasik. |
SETELAH lebih 50 tahun mendambakan diri sebagai anak seni, semangat Tengku Zaini Raja Baharudin, 70, tidak pernah luntur untuk meneruskan hasratnya yang mahu melihat irama klasik terus hidup di jiwa generasi muda.
Walaupun namanya tidak glamor seperti penyanyi arus perdana namun kehadiran beliau yang menyokong apa juga acara berkaitan dengan irama klasik sememangnya tidak dapat dinafikan.
Sebut apa sahaja yang tidak dilakukan oleh Tengku Zaini sebagai tanda sokongan beliau yang tidak berbelah bahagi terhadap irama klasik, pasti beliau akan menghulurkan bantuan tanpa perlu diminta.
Lantaran cintanya yang terlalu mendalam terhadap irama klasik maka Tengku Zaini tidak pernah ragu-ragu untuk tampil menghasilkan albumnya sendiri yang berada di pasaran pada penghujung tahun lalu.
Berkonsepkan irama klasik, album berjudul Baru Dan Lama itu merupakan nukilan Tengku Zaini, istimewa buat para peminatnya.
Biarpun telah menerbitkan album sendiri, Tengku Zaini melalui syarikatnya, T.Z. Emas Holdings Sdn. Bhd., masih terus menghulurkan sokongan dan bantuan kepada mana-mana pihak yang ingin memartabatkan irama klasik.
Apa sebenarnya yang dicari oleh insan berjiwa besar ini apabila sanggup tampil sebagai penaja demi kesinambungan irama klasik?
"Sebenarnya, dengan cara ini saya dapat sama-sama menyumbang mencari pelapis baru bagi memastikan irama klasik terus hidup dan tidak lenyap ditelan zaman," katanya.
Bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, itulah yang membuatkan Tengku Zaini terus mencari pelapis yang boleh mengalunkan lagu-lagu tradisional.
Mula bekerjasama dengan stesen radio Klasik Nasional yang telah menganjurkan Pertandingan Bintang Klasik, Tengku Zaini sentiasa memandang ke hadapan perjuangannya itu.
"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk mencari pelapis baru yang boleh menyanyikan lagu-lagu irama klasik dengan baik.
"Bagi saya itu sahaja cara yang terbaik yang mampu saya lakukan dalam memastikan irama tradisional ini tidak hilang ditelan zaman.
"Lagipun sepanjang saya bersama Klasik Nasional menganjurkan pertandingan mencari bakat baru, saya lihat sebenarnya ramai anak muda yang berminat dengan irama tradisional Melayu.
"Cuma peluang untuk mengetengahkan bakat mereka sahaja yang kurang. Jadi mungkin ini juga peluang untuk mereka mengetengahkan bakat masing-maisng," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ditanya apakah yang membuatkan dirinya begitu teruja untuk mempertahankan irama klasik, jelas Tengku Zaini, dia tidak rela untuk melihat irama yang ditinggalkan oleh generasi dahulu itu lupus di tengah-tengah irama moden.
Baginya, irama tradisional mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri dan mampu untuk seiring dengan irama moden.
"Tidak semua orang mampu untuk menyanyikan lagu-lagu tradisional dengan baik, misalnya lagu yang berirama keroncong dan zapin.
"Tetapi sekiranya berjaya membawakan irama tradisional ini, pasti penyanyi itu tiada masalah untuk membawakan genre-genre muzik lain," ujar Tengku Zaini yang ramah berbicara.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: