Monday, September 12, 2011

Cinta Ungu Pasha


PASHA (duduk) dan Nirina Zubir dipertemukan untuk kali pertama menerusi filem Purple Love.


PEMINAT muzik tempatan barangkali cukup mengenali Pasha sebagai vokalis kumpulan popular dari seberang, Ungu.

Kemantapan vokalnya dalam melagukan karya-karya ciptaan kumpulannya itu tanpa ragu bisa membuai perasaan sesiapa sahaja yang mendengar alunan suara Pasha.

Populariti Pasha dan kumpulannya itu sekali gus telah meledakkan populariti Ungu sehingga meletakkan mereka di tempat teratas dalam senarai artis popular di Indonesia.

Selepas mencipta nama sebagai kumpulan muzik handalan, kini, Pasha dan kumpulan Ungu telah mengorak setapak langkah lagi dalam melebarkan sayap seni mereka.

Dan, siapa sangka, pintu hati mereka terbuka untuk menceburi bidang lakonan walaupun sebelum ini, Ungu pernah memberitahu mereka belum bersedia untuk bergelar pelakon.

Ternyata, kekuatan skrip dan jalan ceritanya yang ringkas namun menyentuh hati telah membuatkan Pasha dan Ungu mencuba nasib apabila membintangi filem pertama mereka, Purple Love.

Diarahkan oleh pengarah terkenal, Guntur Soeharjanto yang sebelum ini pernah mengarahkan filem-filem popular seperti Kabayan Jadi Milyuner, Cinlok dan Otomatis Romantis, ternyata percubaan pertama kumpulan Ungu dalam Purple Love telah membuahkan hasil.

Selain Pasha dan kumpulannya, Purple Love turut dibintangi dua aktres terkenal, Nirina Zubir dan Kirana Larasati yang masing-masing membawakan watak Talita dan Shelly.

Menyentuh tentang lakonannya dalam filem tersebut, Pasha mengakui bukan mudah untuk menjadi seorang anak wayang jika hendak dibandingkan dengan karier utamanya sebagai seorang penyanyi.

Sehinggakan, ada salah satu adegan antara dirinya dengan Nirina perlu dilakukan sehingga 20 kali semata-mata mahu mendapatkan hasil yang terbaik.

"Kalau sesebuah filem itu dibintangi oleh aktor dan aktres yang sejati, saya percaya ia tidak akan mendatangkan sebarang masalah kerana itu adalah kerjaya mereka.

"Tetapi, apabila seorang penyanyi seperti saya yang tidak mempunyai sebarang pengalaman dan digandingkan pula dengan aktres hebat seperti Nirina, ia sememangnya sesuatu yang luar biasa.

"Mungkin ada yang merasakan bidang lakonan itu bukanlah sesuatu yang sukar buat saya hanya kerana saya pernah berlakon dalam muzik video.

"Hakikat sebenarnya, ia bukan satu tugas yang boleh dipandang enteng kerana lakonan memerlukan penghayatan serta permainan dalaman," ujar Pasha yang cukup popular dengan lagu Andai Ku Tahu dan Kekasih Gelapku ini tanpa selindung.

Jelas Pasha, bukan hanya dirinya sahaja yang merasai pengalaman baru dengan bergelar seorang pelakon malah, empat lagi anggota Ungu iaitu Onci, Makki, Rowman dan Enda juga bersependapat dengannya.

Ketika ditanya apakah dia sudah serik untuk terus berlakon, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said menjelaskan istilah tersebut tidak pernah terlintas difikirannya.

Mengakui dirinya sangat dekat dengan dunia perfileman lantaran keluarganya memiliki perniagaan pawagam di Indonesia, jejaka berusia 31 tahun ini mahu terus meneroka bakatnya dalam bidang lakonan.

"Sedari kecil, saya begitu menggemari filem dan ia adalah salah satu hobi yang diisi pada waktu lapang. Sehinggakan saya sendiri mengagumi seniman lagenda Bollywood, Amitabh Bachchan.

"Saya pernah menanam impian untuk melihat filem lakonan saya sendiri diputarkan di pawagam. Ternyata, impian saya itu terlaksana dengan Purple Love yang bagi saya cukup sarat dengan kisah cinta dan persahabatan," ujar anak kelahiran Donggala, Indonesia yang dilahirkan pada 27 November 1979 ini teruja.

Purple Love yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia sejak Mei 2011 telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada penggemar filem di sana.

Malah, filem bercorak komedi romantik itu juga pernah ditayangkan di beberapa buat pawagam di sekitar Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang pada bulan Julai lalu.

Tetapi, kerana kekangan masa dan promosi, ia hanya dapat ditayangkan selama dua minggu sahaja.

Bagi peminat Pasha dan kumpulan Ungu yang menunggu peluang menonton filem ini, anda boleh menikmatinya bersama keluarga anda di rumah apabila Purple Love kini boleh dilanggan menerusi Astro First (saluran 480).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: