Sunday, September 25, 2011

Syiling tarikh istimewa


Koleksi kesayangan bertarikh 16 September yang cukup bermakna.


KEBAHAGIAAN Mazni Zakaria berlipat kali ganda setiap kali tanggal 16 September hadir. Tarikh itu penuh makna menyaksikan perkongsian dua peristiwa penting dalam hidupnya.

Tentunya dia menumpang bangga apabila hari lahirnya disambut bersamaan hari penubuhan Malaysia. Dua peristiwa bersejarah itu membuatkan Mazni cukup teruja dan berdebar apabila memikirkannya.

Semangat patriotisme semakin membara menjelang malam tarikh keramat itu yang menyatukan warganegara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Wanita berusia 44 tahun ini cukup menghargai perjuangan orang lama yang banyak mencorakkan masa depan negara.

Lantaran itu, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini memilih untuk mengabadikan dua peristiwa berkenaan dalam satu bentuk yang eksklusif.

Memandangkan dirinya cukup dekat dengan barang kemas sejak kecil lagi, Mazni memilih untuk mengekalkan ‘perasaannya’ dalam logam berharga itu.

Dipatenkan

Puas berusaha, akhirnya Mazni berjaya mencipta sebuah syiling berbentuk empat segi seberat 10 gram dari emas tulen 999.9. Menariknya, setiap kepingan emas itu dipatenkan terlebih dahulu di Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi mengelak timbul masalah kemudian hari.

Sijil Pendaftaran Cap Dagangan yang diperolehi beberapa bulan lalu menyebabkan dia begitu kobar bercerita tentang perasaannya pada pertemuan di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.

“Pada setiap syiling juga, saya abadikan 16967 sebagai tarikh hari jadi selain lambang 1 Malaysia,” katanya bersungguh-sungguh.

Syiling berkenaan juga disifatkan sebagai sumbangan kecil dirinya terhadap negara. Biarpun tidak seberapa, asalkan dia dapat melahirkan rasa bangga menjadi anak Malaysia.

Ditanya reaksi di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan berhubung ideanya itu, ada senyuman lebar kelihatan di wajahnya.

Ada juga yang memberi cadangan untuk mengabadikan tarikh peristiwa istimewa negara yang lain pula.

Bagaimanapun, ibu kepada tiga anak ini akan mempertimbangkan usul itu kerana setiap pelaburan memerlukan kajian terperinci.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: