Sunday, September 25, 2011

Gaya kondo moden Eropah




SAAT pintu terkuak, terlihat suasana ruang tamu tersusun kemas. Dan seketika pandangan tertumpu kepada pelbagai barangan hiasan rumah yang diatur rapi di segenap penjuru ruang tamu dan ruang makan.

Daripada warna latar putih kepada susunan kusyen hinggalah barangan kaca seperti gelas putih, meja, buku-

buku dan perhiasan kecil semua tersusun cantik di kedua-dua bahagian ruang utama kondominium di bilik pameran, Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur.

Kemudian mata melirik pula ke bilik tidur yang menggamit suasana romantik bersulam katil dan tilam mewah.

"Inilah kondo mewah Platinum Victory," kata seorang petugas sewaktu membawa kami meninjau ke segenap penjuru kondominium mewah itu.

Cahaya mentari yang menerobos masuk menerusi jendela dan langsir material organza di ruang tamu rumah kondo itu mewujudkan suasana cerah dan segar.

Walaupun dinding ruang tamu berwarna putih, ia tidak sedikit pun membuat diri rasa berada di ruang yang kosong atau sepi.

Rumah yang dihias dengan sentuhan moden itu memang menenangkan.

Tata riasnya ringkas dan kemas namun masih ada cita rasa kemewahan. Permainan warna-warna semula jadi seperti coklat, putih, hitam dan kelabu mencerminkan keperibadian penghuninya yang gemarkan kedamaian.

Pilihan

Kebiasaannya ramai yang merungut apabila berpindah ke apartmen atau kondominium kerana tidak dapat meletakkan perabot yang banyak kerana ia menyempitkan ruang rumah.

Niat untuk membeli kelengkapan kontemporari terpaksa dilupakan begitu saja, gara-gara set tersebut dijual dalam unit yang banyak.

Namun melihat dekorasi kondominium ini membuatkan hati ingin memilikinya.

Harga jutaan untuk sebuah kondo mencecah nilai jutaan, pemiliknya pasti berpuas hati.

Di ruang tamu, dua sofa dengan rekaan moden, ringkas dan tempat duduk yang luas. Sebuah meja kopi kayu diletakkan tepi sofa.

Pilihan fabrik sofa dengan warna pastel tidak janggal apabila dipadan bersama dinding putih dengan bantal kusyen menghiasi sofa tersebut. Keringkasan susun atur berkelangsungan hingga ke bilik tidur.

Bahkan ruang makan dan dapur kelihatan kemas dan bersih. Kebanyakan peralatan dan lampu berwarna putih menyerikan seni hiasan kondo ini. Walaupun saiz ruang agak terhad, permainan warna dilihat berjaya memberi suasana yang lebih selesa, luas dan tenang.

Semuanya indah dan terasa tidak mahu keluar daripada ruang kondo tersebut.

Dalam pada itu, di bilik pameran Platinum Victory baru-baru ini telah berlangsung pertandingan Ratu Cantik Cina Kosmo Asia Tenggara 2010 yang menyaksikan Luo Wei Qi, 28 dari Singapura sebagai pemenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: