Monday, September 26, 2011

Swasta biayai pembinaan hospital pengajar UIAM


Mohamad Khaled Nordin dan Nor Mohamed Yacop melihat model Hospital Pengajar UIAM pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Hospital Pengajar Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di Hotel Marriott, Putrajaya baru-baru ini.


SEBUAH Hospital Pengajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan dibina pada awal tahun depan di Bandar Indera Mahkota, Kuantan menerusi kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Hospital pengajar itu akan dibina dan diuruskan oleh Peninsular Medical Sdn. Bhd. (PMSB) yang merupakan anak syarikat kepada Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB).

Pengerusi AZRB, Raja Datuk Seri Aman Raja Ahmad berkata, projek bernilai RM412.6 juta itu dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2015 nanti.

"Hospital Pengajar UIAM ini mempunyai kapasiti 300 katil dengan keupayaan memberi ruang pengajaran kepada 735 mahasiswa," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian konsesi hospital pengajar tersebut antara Kementerian Pengajian Tinggi, UIAM dan PMSB di sini hari ini.

PMSB diberi konsesi pembinaan dan pengurusan hospital tersebut untuk tempoh 25 tahun.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Raja Aman berkata, kos pembinaan hospital tersebut akan didahului pembiayaannya oleh Kumpulan AZRB kerana ia selari dengan konsep PFI.

Beliau berkata, secara tidak langsung, pihak kerajaan akan mendapat faedah daripada aspek nilai kewangan kerana kos pembangunan hospital itu akan dibayar balik secara berkala dalam tempoh 21 tahun setengah.

"Pihak kami juga akan bertanggungjawab dari segi aspek penyelenggaraan dan penggantian aset secara berjadual sepanjang tempoh konsesi tersebut.

"Pembinaan hospital pengajar itu dapat memberikan manfaat terutama kepada penduduk Kuantan dan Pahang yang akan mendapat perkhidmatan perubatan yang moden dan terkini pada kos yang tidak membebankan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, dengan adanya hospital tersebut, para mahasiswa perubatan UIAM akan mendapat kemudahan pembelajaran yang baik dalam persekitaran yang kondusif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: