Monday, September 26, 2011

Galak siswa teroka angkasa


Sheikh Muszaphar bersama Asronaut Oleg Artynev dan Astronaut Korea, So Yeon.


ANGKASAWAN Negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukur bersama 20 angkasawan lain di Asia akan menubuhkan Persatuan Peneroka Angkasa Asia (PPAA) pada bulan Oktober depan dalam usaha mempertingkatkan minat generasi muda dan mahasiswa untuk mencintai alam angkasa lepas.

Beliau berkata, tujuan utama persatuan ini ditubuhkan adalah untuk memperkukuhkan sistem komunikasi angkasawan di rantau Asia, bekerjasama menyebarkan maklumat kepada generasi muda di kalangan pentadbir universiti dan pelajar universiti di Asia mengenai industri aeroangkasa.

Penubuhan ini juga akan membantu universiti dan negara Asia menganjurkan kongres planet dan menyedarkan penduduk Asia tentang kehadiran PPAA terutama di kalangan blok-blok negara Asia seperti Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Asian Pasific Region Space Agency (APRSAF) dan Asian Pacific Space Cooperation Organization.

Menurut Sheikh Muszaphar, selain angkasawan Malaysia dan Jepun (Soichi Noguchi, Chiaki Mukai dan Koichi Wakat), angkasawan dari India (Rakesh Sharma) dan Korea (Yi Soyeon) terbabit menjadi tenaga penggerak utama ke arah penubuhan PPAA.

PPAA adalah jawatankuasa peringkat Asia bagi Persatuan Peneroka Angkasa (PPA) peringkat global mengikut artikel 3.2 yang bertujuan mempromosi dan menganjurkan perhubungan erat antara ahli di kalangan negara Asia yang diterajui mereka yang berpengalaman dalam penerbangan orbit.

Di samping itu, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan antara astronaut dan cosmonaut yang pernah meneroka kehidupan manusia di angkasa lepas serta menyebarkan maklumat tentang sejarah dan pengalaman manusia terawal yang pernah menjejakkan kaki di angkasa lepas.

"Pada peringkat permulaan kumpulan angkasawan itu akan beroperasi di pejabat sementara di Jepun.

"Seramai 21 angkasawan di Asia dan beberapa pelajar universiti akan menjadi ahli persatuan ini secara automatik," katanya.

Setiap tahun, jelas Sheikh Muszaphar, cosmonaut, astronaut, taikonaut dan angkasawan akan bersidang untuk mengadakan perbincangan mengenai eksplorasi angkasa lepas termasuk berjumpa pelajar universiti dalam memberi inspirasi kepada mereka khususnya dalam bidang sains, teknologi dan aeroangkasa.

Beliau berkata, tahun ini seramai 80 astronaut seluruh dunia dari Amerika, Russia, China dan pelbagai negara lain berkumpul di Moscow, Russia sempena ulang tahun ke-24 PPA di samping meraikan 50 tahun penjelajahan manusia Yuri Gagarin di angkasa lepas pada 1961 yang berlangsung pada 5-9 September 2011.

Isu penerokaan manusia di angkasa, ujarnya, wajar diketahui dan dikaji generasi muda terutamanya mereka yang masih berada di bangku sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, pelbagai perbincangan diadakan sempena persidangan berkenaan di samping beliau berkesempatan melawat Yuri Gagarin City yang terletak kira-kira 250 kilometer dari Moscow.

Beliau juga berpeluang bertentang mata dan melihat sendiri kehidupan Yuri Gagarin yang dianggap wira Russia dan dunia.

"Saya kini sedang aktif dalam proses penubuhan PPAA dan saya bercadang mengumpulkan ke semua astronaut dari Asia membantu memaju dan membangunkan sektor aeroangkasa di peringkat Asia memandangkan kini sudah ada enam negara Asia terbabit melahirkan 21 astronaut termasuk Jepun, Korea, India, Arab Saudi, Mongolia dan Malaysia," katanya.

Sheikh Muszaphar berkata PPA sudahpun bersetuju dengan penubuhan PPAA dan banyak program yang boleh dilaksanakan bagi memaju serta membangunkan sektor aeroangkasa di rantau ini nanti apabila persatuan berkenaan Berjaya ditubuhkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: