Tuesday, September 20, 2011

Subjek kajian Sri Rahayu


KARYA Sri Rahayu memerlukan ketajaman fikiran dan penguasaan bahasa yang tinggi untuk difahami.


KATA penulis novel terkemuka negara, Sri Rahayu Mohd. Yusop, buku itu lambang jati diri seseorang pengkarya. Kata-kata itu terlalu abstrak dan apakah yang ingin disampaikan oleh wanita tersebut?

Pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) selama enam kali itu menghuraikannya secara terperinci pada satu pertemuan baru-baru ini.

Ujarnya, kecenderungan alunan pena dan mindanya terarah untuk menulis karya bergenrekan sastera warisan dan sains fiksyen. Kata Sri Rahayu, peristiwa semasa dan pemerhatian terhadap rona alam tidak langsung mempengaruhi penulisannya.

Adakah itu berlaku kerana dirinya seringkali membaca karya-karya serius dan fantasi?

Sri Rahayu mengakui dirinya lebih terkesan apabila membawa buku sastera Melayu dan Inggeris bercorak paranormal, ensiklopedia dan aliran novel pengembaraan bersulam fantasi rekaan pengkarya agung dunia, JK Rowling.

“Ya, ia bermula dengan itu (pembacaan) saya sentiasa lapar untuk membaca, dengan 20 buah buku yang saya baca, saya akan lihat dan kaji subjek dalam buku itu yang tidak menonjol.

“Subjek yang tidak menonjol itulah akan memberi buah fikiran kepada saya untuk memperluaskan karya yang seterusnya,” katanya yang membaca di antara lima hingga 20 buah buku sebulan bergantung kepada waktu.

Hasil kejerihan wanita itu berkarya, pembaca dapat menghadam karya-karya seperti Impuls/Roh, Bukan Legasi Lalang, Merdekakan Cinta Ratna, Kasih Nan Agung, Odisi Tanah Kencana dan Warisnya Kalbu.

Menariknya, kesemua karya itu diiktiraf dan diangkat menjadi pemenang bagi HSKU secara berturut-turut sejak tahun 2000 hingga 2007.

Tidak keterlaluan untuk dirumuskan, tulisan guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di ibu kota itu agak kompleks difahami.

Karyanya memerlukan ketajaman fikiran dan penguasaan bahasa yang tinggi untuk memahaminya.

Perbaiki bahasa Melayu

Tanpa melenting beliau memberitahu pernah mendengar kritikan seumpama itu.

“Saya akuinya, ia (buku) mempunyai ion-ion yang berat, mungkin latar dan keadaan yang memerlukan seseorang pergi ke tempat lain, sebab itu ia nampak berat.

“Seperkara, saya juga akui saya bukan berkemahiran dalam bahasa Melayu, contohnya dalam buku Impuls/Roh, ayat-ayat Inggeris diterjemahkan secara terus ke dalam bahasa Melayu dan ia sangat janggal. Saya akan terus perbaiki untuk mencairkan bahasa Inggeris saya,” katanya.

Bagaimanapun kata Sri Rahayu, di sebalik konflik dua bahasa itu, dirinya memperoleh manfaat ke atas semua penghasilan karya-karyanya.

Apa yang dimaksudkan oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Teaching English as Second Language (TESL), University of Otaga, New Zealand itu?

“Penguasaan bahasa Inggeris membenarkan saya membaca banyak bidang dan seterusnya membolehkan saya menulis banyak perkara,” katanya lagi.

Dari satu sudut yang lain, karya-karya ilmiah Sri Rahayu dilihat bukan sahaja menjadi tumpuan orang dewasa waima remaja.

Fakta itu sememangnya benar ekoran penulis novel yang dihormati ramai itu banyak menyalurkan watak dan karakter remaja.

“Bagi saya, walau remaja itu masih muda, pada waktu sebeginilah terdapat pengisian hidup yang kompleks yang dilalui mereka,” ujarnya bersemangat.

Sri Rahayu ditanya tentang caranya mendapatkan dan seterusnya menyusun idea untuk sebuah karya hebat.

Tanpa ada rasa ragu, pecinta karya JK Rowling dan Khadijah Hashim itu memberitahu, dia memerlukan muzik untuk mencanangkan idea di atas kertas.

Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu juga berkata, dia menulis pada setiap masa.

“Ke mana-mana saya pergi, saya pasti akan membuat buku nota, dapat saja idea, terus tulis.

“Untuk hasilkan sebuah buku, saya perlukan masa setahun, 10 bulan untuk membuat nota-nota kajian dan dua bulan berikutnya menaip pula,” ujarnya yang mula aktif menulis pada tahun 2000.

Kongsinya, untuk menjadi penulis yang baik, tiga formula yang harus dititikberatkan iaitu mesti ada sifat ingin tahu, sabar dan berdisiplin.

Apakah perancangan Siti Rahayu? Wanita itu berhasrat untuk menghasilkan karya yang mengkaji perbandingan seni visual Barat dan Islam.

Sekiranya terdapat sebarang pandangan atau untuk berkongsi ilmu, layari srirahayumohdyusop.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: