Tuesday, September 20, 2011

Pemakanan pintar Green Tea Party

AISHAH menunjukkan carta pemakanan pintar yang mempunyai tiga ciri iaitu rendah kalori, kaya nutrien dan lazat.


PELBAGAI cara dilakukan oleh mereka yang obes untuk menurunkan berat badan bagi mendapatkan berat yang ideal.

Sebahagian besar ada yang sanggup berlapar, menahan selera makan dan menjamah makanan dalam kuantiti yang sedikit.

Tanpa bimbingan, panduan dan ilmu yang betul, langkah tersebut sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan individu terbabit.

Kini, mereka yang obes tidak perlu runsing untuk mendapatkan berat badan yang ideal menerusi pengurusan berat badan dan perkongsian ilmu pemakanan pintar.

Ilham tersebut dicetuskan oleh pengasas konsep pengurusan berat badan Dr. Aishah Solution Sdn. Bhd. (DAS), Dr. Aishah Tul Radziah Lebai Hussin, 60, menerusi formulanya sendiri.

Pendekatan Aishah ialah menerusi satu wadah jaringan sosial yang dinamakan parti teh hijau atau lebih dikenali sebagai Green Tea Party.

"Green Tea Party adalah cara saya berkongsi ilmu menerusi pengalaman sendiri yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak 19 kilogram (kg) kepada 49 kg daripada 68 kg dalam tempoh lima bulan," kata Aishah ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Kompleks Seri Temin, Sungai Petani, Kedah.

Bekas graduan Universiti Malaya (UM) itu memberitahu, menerusi Green Tea Party beliau akan menjelaskan secara terperinci anjakan paradigma pemakanan pintar yang mempunyai tiga ciri iaitu rendah kalori, kaya nutrien dan lazat.

Memilih makanan

"Anjakan paradigma pemakanan yang dimaksudkan ialah kaedah bijak memilih makanan, senang dan cepat selain keseimbangan kalori," ujar pengamal perubatan dalam bidang perbidanan dan sakit puan lebih 25 tahun itu.

Tambahnya, makanan yang berkalori rendah seperti epal, kacang, telur, bayam, keledek, yogurt dan brokoli serta makanan yang mengandungi nutrien tinggi pula ialah teh hijau.


AMALAN makan yogurt juga bukan saja baik untuk usus bahkan berat badan.


"Lazat pula merujuk kepada makanan atau minuman yang enak dimakan. Misalnya teh hijau dihidangkan sebagai jus diadun dengan strawberi dan yogurt," katanya.

Menurut Aishah, sesuai dengan namanya Green Tea Party, penyediaan makanan pintar sinonim dengan penggunaan teh hijau yang mempunyai khasiat tinggi.

Katanya, teh hijau mempunyai tiga bahan yang bertindak aktif sebagai agen pelangsing iaitu kafeina, L-Theanine dan Epigallocatechin-3-gallate (EGCG).

Bagi menjadikan Green Tea Party lebih menarik, Aishah sendiri akan menjadi chef mengadakan demonstrasi menyediakan makanan pintar yang diadun dengan teh hijau.

"Misalnya resipi green grappy jus, egg tuna roll, deluxe pizza with green tea luxury sauce dan mango honeydew smoothie dengan kesemua resipi ini diadun dengan teh hijau," katanya.

Konsep itu digabungkan dengan Program Transformasi Diri Kekal Langsing menerusi Formula Fast Amazing Result (FAR) yang dapat membantu mereka yang obes menurunkan berat badan sehingga dua kg dalam tempoh seminggu.

Mengimbas pengalamannya, Dr. Aishah memberitahu, beliau pernah berdepan dengan masalah kegemukan serius, namun berjaya menguruskan badan selepas mengamalkan kaedah saintifik secara selamat dan sihat menerusi formula FAR dalam tempoh lima bulan.

"Ia bermula pada tahun 2002 ketika saya berumur 51 tahun. Berat badan saya naik mendadak sehingga 68 kg," katanya.

Mengundang penyakit

Dengan ketinggiannya yang sederhana, berat badan itu mengundang pelbagai masalah termasuk sakit sendi, migrain, gastrik dan lesu.

Masalah tersebut turut menjejaskan kualiti hidup Aishah. Bahkan masalah kegemukan yang dialaminya menyebabkan beliau menjadi mangsa sindiran suaminya, Fisol Ahmad, 60.

"Kata suami, bagaimana mahu memberi khidmat nasihat kepada pesakit sedangkan badan diri sendiri tidak ideal," katanya yang menjadikan diri sebagai bahan kajian dan akhirnya berjaya menemui formula berkesan dikenali sebagai kaedah FAR.

Menariknya, berat badan ideal itu mampu dikekalkan sehingga sekarang meskipun usianya kini mencecah 60 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: