Friday, September 16, 2011

‘Saya bertuah mahir berbahasa Inggeris’

TUNJUK...memberikan tunjuk ajar kepada pelajar yang mengikuti kursus di pusat akademiknya.
TUNJUK...memberikan tunjuk ajar kepada pelajar yang mengikuti kursus di pusat akademiknya.
NORMA...rajin membuat rujukan dan menambah ilmu mengenai bidang kecantikan.
NORMA...rajin membuat rujukan dan menambah ilmu mengenai bidang kecantikan.

BAHASA Inggeris dianggap penting pada abad ini untuk terus bersaing �mengecap kejayaan tidak kira dalam bidang pelajaran mahupun kerjaya.

Namun, masih tidak ramai di kalangan kita yang mengambil berat terhadap penguasaan bahasa itu menyebabkan sukar bersaing dengan mereka yang lebih fasih.

Bagi pengasas dan Pengetua Learn to Relax Beauty, Norma Babjee, pengetahuan bahasa Inggeris seharusnya dianggap perkara penting jika ingin terus bersaing dalam bidang pekerjaan.

Ini kerana ia menjadi bahasa perantaraan khususnya membabitkan syarikat yang sentiasa menjalankan usaha sama dengan sektor asing. Bukan itu saja, ia juga sering digunakan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini dalam bidang pekerjaan mahupun pengajian.


Begitupun, Norma bernasib baik kerana memang dibesarkan dengan penggunaan bahasa Inggeris oleh ibu bapanya sejak kecil lagi.


“Saya sangat bertuah kerana ibu bapa menghantar ke tadika yang memang menggunakannya sebagai bahasa perantaraan. Disebabkan pendedahan sejak kecil lagi, saya kini mudah diterima masuk dalam kerjaya walaupun menceburkan diri dalam bidang kecantikan yang boleh dikategorikan sebagai lambat.

“Walaupun hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia ketika mula-mula menjinakkan diri dalam bidang terbabit, namun dengan pengetahuan bahasa yang ada menjadikan saya mudah diterima.

“Komunikasi juga menjadi mudah antara satu sama lain jika perbincangan membabitkan pensyarah dari kolej dan pegawai atasan syarikat yang ditemui.

“Ia juga dijadikan sebagai penguat kepada saya untuk menambah pengetahuan mengenai bidang kecantikan memandangkan kebanyakan buku rujukannya berbahasa Inggeris dari luar negara.

“Disebabkan itu, saya sentiasa menggunakan bahasa Inggeris ketika memberi tunjuk ajar kepada pelajar yang mengikuti kursus dengan kami bagi mendedahkan mereka dengan penggunaannya.

“Ia bukan saja digunakan bagi menambah penguasaan bahasa itu, malah dapat menjadikan mereka lebih memahami istilah yang digunakan dalam bidang ini bagi menyediakan mereka untuk bekerja selepas tamat kursus,” katanya yang juga bertugas sebagai tenaga pengajar di pusat akademiknya.

Menitikberatkan pengetahuan bahasa Inggeris di kalangan pelajar yang mengikuti kursus kecantikan, Norma menambah, walaupun tidak berpendidikan tinggi, adanya pengetahuan bahasa itu dan kemahiran yang dipelajari memberikan kelebihan kepada dirinya dan pelajar untuk bersaing antara satu sama lain.

Memerhatikan dirinya, ternyata Norma sentiasa memastikan setiap kisah yang keluar daripada mulutnya dapat memberikan panduan dan semangat buat pembaca yang mempunyai impian sama seperti dirinya.

Pertama kali memandang wajahnya, jelas menunjukkan kelembutan yang ada pada wanita ini walaupun sudah bergelar nenek. Gayanya yang anggun, bersahaja dan kemas menunjukkan dia seorang yang mementingkan penampilan. Mengenakan solekan, dia juga kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.

Memiliki tujuh anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan malah sudah memiliki dua cucu, pasti ramai yang tidak menyangka usianya menjangkau 49 tahun.

Ditakdirkan berkahwin pada usia muda dan dikurniakan anak ketika berusia 19 tahun, dia tidak pernah terdedah dengan dunia pekerjaan.

Namun, ia tidak dijadikan alasan baginya untuk meneruskan usaha bagi menunaikan impiannya membantu suami menyara keluarga besarnya.

Tidak lokek menceritakan kisah peribadinya, dia berasa dirinya agak lewat mempunyai kerjaya. Norma yang bertugas sebagai tenaga pengajar dan memberi ceramah kepada ratusan pelajar dalam bidang kecantikan ini bagaimanapun tetap bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang digalas.

Pada usia 36 tahun, dia mula bekerja untuk pertama kali dalam hidupnya, sekali gus serius dalam bidang kecantikan untuk dijadikan sebagai kerjaya profesionalnya.

Norma yang mengambil inisiatif untuk mempelajari bidang kecantikan dengan lebih mendalam mula mendapatkan pelbagai latihan dan kursus bagi mempersiapkan diri sebelum menjengah ke bidang berkenaan.

Bukan saja kursus kecantikan daripada rambut hingga ke kaki, malah dia pernah menjalani kursus komunikasi, sumber manusia dan keusahawanan bagi melengkapkan diri merealisasikan impiannya membuka pusat kecantikan sendiri suatu hari nanti.

Kini dia bangga kerana dapat memiliki perniagaannya sendiri dalam bidang yang diminati. Pengalaman yang diperoleh menyebabkan dia tidak kekok memberikan pengajaran dan tunjuk ajar kepada pelajar yang mengambil kursus kecantikan di pusat akademik yang ditubuhkannya pada 2005.

“Kesungguhan dan pengalaman yang dikutip sepanjang hidup selepas alam persekolahan, perkahwinan dan kini kerjaya memberikan saya kenangan manis untuk disimpan kerana ia sangat berharga.

“Jika diingat kembali, saya memulakan kerjaya dengan menjahit baju untuk anak-anak, kemudian mula memperkembangkan minat untuk mengambil tempahan membuat langsir. Disebabkan ketika itu anak masih kecil dan ramai, saya lebih memberi tumpuan untuk menerima tempahan menjahit langsir kerana mereka memerlukan penjagaan dan perhatian.

“Kemudian, saya mula menjinakkan diri dalam bidang kosmetik dan pada masa itu diperkenalkan rakan untuk mencuba nasib melalui jualan langsung.

“Bermula pada saat itu, saya mula berminat untuk menceburkan diri dalam bidang kecantikan secara profesional memandangkan anak yang bongsu sudah berusia tiga tahun.

“Impian untuk membuka pusat kecantikan begitu sukar disebabkan masalah kewangan walaupun mendapat sokongan keluarga ketika itu. Kemudian, timbul pula masalah kewangan untuk membuat pengubahsuaian.

“Selepas berjaya mendapatkan pinjaman yang dilakukan anak, saya mula mengubah spa yang dilengkapi dengan alat yang asas saja kerana memerlukan banyak lagi perbelanjaan untuk membeli peralatan lain,” katanya yang mengalami detik sukar ketika mula-mula ingin membuka perniagaan sendiri.

Namun, semuanya dilakukan dengan tenang dan teratur, apatah lagi dengan sokongan anak dan suami.

Kini, bukan saja memiliki perniagaan sendiri, Norma pernah dilantik menjadi panel pembangun sijil untuk spa tangan, kaki dan muka di Kolej Komuniti serta refleksologi untuk Kementerian Belia dan Sukan.

Dia juga pernah dilantik menjadi hakim bagi prapertandingan Kemahiran Malaysia ke-19 Peringkat GiatMara Wilayah Persekutuan.

Walaupun mempunyai pengalaman luas dalam bidang kecantikan hasil usahanya sendiri, Norma tidak sesekali bongkak dan sombong dengan kejayaan yang dimiliki kerana sedar perjalanan kerjayanya masih panjang walaupun usia semakin meningkat.

“Saya kini merancang untuk menerbitkan buku sebagai rujukan agar sama taraf dengan terbitan dari luar negara. Di samping itu, saya merancang untuk menterjemahkan buku dari luar negara bagi memudahkan pelajar dan masyarakat mencari rujukan yang difahami,” katanya.

Menceritakan harapannya dalam bidang ini, Norma ingin melihat lebih ramai generasi Bumiputera mendapat pendidikan profesional untuk melayakkan diri mereka diterima bekerja atau membuka perniagaan sendiri.

Norma menambah, kini pusat akademiknya membuka peluang kepada pelajar tercicir berumur 16 hingga 35 tahun untuk mengikuti kursus juruestetik atau kecantikan bagi tahap satu dan dua yang turut diberikan elaun selama setahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: