BINCANG...Najib berbual dengan Mustapa pada Persidangan Pelaburan Domestik di Kuala Lumpur, semalam.
MALAYSIA memerlukan sekurang-kurangnya RM94 bilion setahun menerusi Pelaburan Langsung Domestik (DDI) bagi menggerakkan ekonomi ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Setakat tahun ini, DDI bagi sektor pembuatan dari Januari hingga Julai menyumbang sebanyak RM15.9 bilion manakala dalam tempah tiga bulan pertama 2011, pelaburan dalam sektor perkhidmatan pula ialah RM11 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, menggabungkan jumlah sumbangan kedua-dua sektor itu sebanyak RM26.9 bilion, sasaran RM94 bilion masih jauh.
“Sehubungan itu, saya menyeru pelabur domestik supaya meningkatkan pelaburan manakala kerajaan menyediakan platform bagi penerokaan peluang sekali gus merintis keuntungan besar di dalam negara,” katanya dalam ucapan pembukaan Persidangan Pelaburan Domestik di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Persidangan itu dihadiri 95 peserta terdiri daripada Majlis Penasihat Ekonomi, syarikat korporat dan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta kementerian berkaitan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sedar terhadap kepentingan DDI sebagai enjin penggerak pertumbuhan ekonomi, malah meletakkan sasaran meningkat nisbah DDI dengan Pelaburan Terus Asing (FDI).
Dalam tempoh tujuh bulan pertama, nisbah FDI kepada DDI ialah 50-50 satu peningkatan daripada 60-40 dalam tempoh 2005 hingga 2010.
“Ia mungkin terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan tetapi kita sedang melihat perkembangan ini dengan terperinci,” katanya.
Beliau berkata, beberapa pendekatan turut dilaksanakan bagi mempromosikan pelaburan domestik merangkumi meletakkan sektor swasta sebagai pemacu ekonomi manakala kerajaan memainkan peranan pemudah cara.
“Kerajaan juga mengurangkan kaitan GLC sebagai penggerak utama ekonomi selain mengenalpasti sektor khusus yang boleh memberi kesan besar seperti industri halal, teknologi hijau, bioteknologi, aeroangkasa, farmaseutikal dan industri peralatan perubatan serta industri kejuruteraan.
“Usaha mengurangkan karenah birokrasi, memudahkan peraturan dan prosedur serta mempromosikan sistem penyampaian kerajaan yang telus dan cekap.
Menurutnya, kerajaan juga menyediakan kepelbagaian insentif kewangan dan bukan kewangan, membuat pelaburan dalam sektor pendidikan serta latihan selain menyeimbangkan kemasukan pekerja asing dengan permintaan dan penawaran.
“Kerajaan juga secara aktif mempromosikan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), kemudahan pinjaman kewangan dari bank tempatan dan meningkatkan tahap keselamatan serta keamanan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: