Monday, September 19, 2011

Ramping dengan cara sihat



PORTAL hiburan Melayu popular tempatan, murai.com.my, pernah memuji tubuh badan model, Deanna Ibrahim, 27, yang semakin hari semakin langsing dan menyerlah. Dia bukan saja memiliki bentuk badan yang ramping, malah mempunyai postur badan baik.

Nampaknya pujian tersebut ada benarnya. Sepanjang menyempurnakan sesi fotografi bersama model berkulit hitam manis itu, jarang sekali melihat Deanna berdiri mahupun duduk dalam postur badan membongkok. Malah, tatkala wajahnya dirias jurusolek, Vee Muhammad, dia masih mengekalkan postur badan yang baik meskipun duduk di atas kerusi yang tidak mempunyai penyandar.

"Bagi saya postur yang normal dan baik mencerminkan personaliti seseorang. Lagipun dalam dunia model, selain memiliki karakter dan gaya berjalan yang menawan, postur badan juga wajar dititikberatkan.

"Berdasarkan pengalaman dan hasil pembacaan saya dapati amalan mempraktikkan postur badan yang baik memberi banyak kelebihan dari segi kesihatan dan penampilan peribadi. Antaranya memudahkan sistem pernafasan dan membuatkan susuk badan kelihatan menawan dalam apa jua pakaian yang digayakan," tutur Deanna yang merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik.


YOGA banyak membantu postur tubuh ideal buat Nadia.


Tambah Deanna yang menyambut lebaran tahun ini di kampung ibunya di Singapura, dek sudah terbiasa dengan amalan postur yang betul, kadangkala dia berasa kurang selesa di bahagian tulang belakang apabila memakai kasut bertumit tinggi melebihi tiga inci. Namun bak kata pepatah, alah bisa tegar biasa memandangkan sebagai model dia perlu bertindak profesional dalam melakukan tugasan.

Dalam pada itu, Deanna yang menceburkan diri dalam dunia model pada usia 20 tahun menyatakan selain postur badan, saban hari dia memastikan aspek pemakanannya terjaga. Biar sibuk sekalipun dengan sesi fotografi dan pertunjukkan fesyen, graduan Pengiklanan dan Komunikasi Pemasaran di Institute Advertising Communication Training (IACT) di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor itu akan menikmati sarapan pagi.

"Saya kurang gemar pada menu berat seperti nasi lemak atau nasi putih yang dimakan bersama lauk-pauk. Lazimnya, setiap pagi saya mengambil dua keping roti mil penuh yang dibakar bersama keju dan susu segar. Hidangan ini sarat karbohidrat dan kalsium yang baik untuk tulang.

"Untuk makan tengah hari, saya menjamah sayur-sayuran seperti brokoli yang dibakar bersama mentega ataupun lobak merah, tomato dan salad. Saya banyakkan minum air putih dan jus buah," tutur Deanna yang anggun dalam persalinan dres pendek nuansa kuning dan kelabu koleksi Syomir Izwa.

Jelas Deanna yang memiliki berat badan 53 kilogram (kg), dia mengamalkan pemakanan dan cara hidup sihat sejak tiga tahun lalu. Semuanya berpunca apabila ibunya disahkan mengalami osteoporosis iaitu penyakit kekurangan kalsium dalam tulang.


DEANNA memulakan langkah dalam dunia peragaan pada usia 20 tahun.


Luah model yang pernah bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan seperti Bon Zainal, Villiam Ooi, Nurita Harith dan Syomir Izwa : "Sebab itu, kini saya cerewet tentang pemakanan dan rajin bersenam. Tindakan ini bukan semata-mata untuk kekal langsing tetapi ia lebih pada aspek penjagaan tulang dan kesihatan dalaman badan. Lagipun saya nak elak berat badan kembali pada 77kg memandangkan keluarga saya mempunyai genetik badan gempal.

"Tetapi jangan fikir saya menolak makanan ringan, sedangkan setiap hari coklat hitam menjadi pilihan saya. Begitu juga dengan aiskrim Magnum yang bersalut coklat Belgium," katanya.

Obses yoga dan senaman

Sementara itu, Ratu Cantik Dunia Malaysia 2010 dan model, Nadia Petullo Heng, 26, pula mengakui bahawa barisan peragawan wajar memiliki bentuk tubuh yang langsing dan ideal. Ia bagi menyerlahkan koleksi busana yang diperagakan dan tampil menarik dalam setiap kepingan foto. Namun, bertubuh kurus atau gempal sebenarnya terpulang pada keperluan dan kesesuaian tugasan model itu sendiri.

"Ramai wanita menyifatkan golongan model mempunyai badan kurus kerana kami tidak menjamah makanan sehingga ada yang meniru cara tersebut. Kesannya mereka jatuh sakit dan mengalami kesihatan sampingan.

"Padahal persepsi tersebut sama sekali tidak benar. Saya makan sama seperti orang lain cuma dalam kuantiti yang kecil dan kurang kalori serta minyak. Maklumlah Malaysia mempunyai masakan yang pelbagai dan lazat. Bagi mengelakkan pengambilan garam atau kalori berlebihan saya dan kembar gemar memasak di rumah," jelas anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu yang selesa disapa Nadia.

Celoteh wanita kacukan Inggeris-Cina mengenai tip mengekalkan kelangsingan badan, dia begitu obses melakukan aktiviti yoga, selain bersenam. Katanya, yoga bukan saja membantu meningkat stamina dan melenturkan postur badannya malah bertindak menenangkan emosi dan minda.

Tambah graduan Ijazah Komunikasi Pemujukan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang mewakili Malaysia ke pertandingan Ratu Cantik Dunia 2010 di China, badan yang cantik tidak bergantung pada senaman dan pemakanan semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan rejim penjagaan wajah yang konsisten dan bebas daripada tekanan.

"Kadangkala saya tertekan dengan bebanan kerja yang menimbun memandangkan selain menjadi model saya juga bertindak sebagai pegawai perhubungan awal (PRO) secara bebas. Namun tekanan yang dialami saya atasi dengan cara melakukan yoga atau merehatkan diri di spa.


NADIA (tengah) sewaktu menyertai pertandingan Ratu Cantik Dunia 2011 di China.


"Tentang penjagaan wajah, saya bersyukur dengan anugerah Tuhan dan tidak menyimpan niat sekalipun untuk melakukan sebarang pembedahan kosmetik. Sebelum tidur saya pastikan wajah bebas kotoran dan solekan maka saya menggunakan pembersih dan pelembap muka koleksi Skinz," jelas Nadia yang turut mengamalkan makanan berasaskan bawang kerana ia baik untuk kesihatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: