SIBUK terbang di awan biru memenuhi kehendak kerjaya dan menjalankan tugas bagi memastikan keselesaan penumpang, ada kalanya krew kabin tidak berkesempatan untuk mengetahui perkembangan rakan-rakan setugas yang lain.
Apatah lagi membuat kerja amal untuk masyarakat sekeliling yang kurang bernasib baik.
Menyedari perkara itu, barisan krew kabin operasi Malaysia Airlines (MAS) menubuhkan program amal yang dikenali sebagai WELKINS bagi semua kakitangan kabin yang berminat melakukan kerja amal kepada rakan sejawat mahupun mereka yang memerlukan.
WELKINS merupakan gabungan dua perkataan bahasa Inggeris iaitu wellness (kesejahteraan) dan kinship (hubungan kekeluargaan) yang membawa maksud penting dalam penyampaian program amal tersebut.
Menurut salah seorang penasihat program, Chang Chin Kwang, program WELKINS ditubuhkan pada 2007 untuk memberi sokongan moral kepada krew kabin MAS menerusi satu rangkaian sukarelawan yang terdiri daripada krew kabin sendiri.
Katanya, program ini juga bertujuan memberi peluang kepada krew kabin yang prihatin dalam membantu susah senang rakan sekerja mereka dan menanggap mereka seperti ahli keluarga sendiri.
Bagi melengkapkan tanggungjawab mereka kepada masyarakat yang kurang bernasib baik, program WELKINS dijadikan platform bagi pekerja kabin untuk melaksanakan kerja amal daripada mengajurkan kutipan wang ikhsan sehinggalah aktiviti riadah bersama anak-anak yatim dan miskin.
“Setakat ini WELKINS mempunyai lebih kurang 400 orang sukarelawan yang terdiri daripada pramugara dan pramugari MAS yang komited memberikan tenaga dan masa mereka untuk kerja amal tanpa menerima sebarang bayaran,” katanya.
Seorang lagi penasihat program, Adrian Yin berkata ada sesetengah masyarakat pada masa kini yang hanya memikirkan diri sendiri tanpa mengambil peduli tentang kebajikan orang di sekeliling mereka.
“Jadi program ini boleh mengingatkan krew kabin yang bernasib baik supaya bekerjasama membantu rakan mahupun orang di sekeliling mereka yang memerlukan,” kata Yin.Indra Devi Athmalingam, 30, merupakan salah seorang pramugari yang menjadi sukarelawan program WELKINS.
“Sebelum ini memang saya mempunyai niat untuk melakukan kerja amal namun kekangan kerja terdahulu dan tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana badan amal menjadi penghalang untuk saya meneruskan niat itu,” kata Devi.
Seperti Indra, Familia Zaini Kamari, 23, juga teringin melakukan kerja amal sejak beberapa tahun lepas lagi namun tidak berpeluang melakukannya sehinggalah mula diberitahu oleh seniornya yang juga seorang ahli jawatankuasa program, Rozania Mohd Khir.
“Saya teruja bila berpeluang melakukan aktiviti ihsan untuk krew yang memerlukan dan juga masyarakat yang kurang bernasib baik di luar sana,” kata Familia ketika ditemui di Akademi MAS, Kelana Jaya.
Dengan hanya peruntukan sebanyak RM24,000 setahun daripada syarikat, WELKINS telah berjaya menjalankan beberapa aktiviti amal dan yang terbaru adalah membuat lawatan kepada krew dan keluarga mereka yang dirawat di hospital dan yang sakit di rumah masing-masing, bantuan ihsan (bukan kewangan) kepada keluarga krew yang meninggal dunia, acara jalan amal dan bantuan menaik taraf keperluan asas di beberapa kawasan penduduk orang asli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: