Thursday, September 8, 2011

Porter lancarkan urusan di Tanah Abang


Tugas porter mengangkat pelbagai jenis barangan perniagaan daripada yang ringan hingga kepada yang berat.


APABILA di sebut porter, di kalangan kanak-kanak mereka mungkin akan merujuk kepada kepada filem Harry Potter. Namun bagi para peniaga dan pembeli di pusat pemborong terbesar di Asia Tenggara iaitu Tanah Abang, Jakarta, Indonesia, porter memang menjadi watak dan nadi penting dalam melancarkan urusan perniagaan harian.

Porter di sini adalah petugas atau pemikul yang bekerja menggunakan tulang empat kerat bagi mencari rezeki.

Tugas mereka ialah mengangkat pelbagai jenis barangan perniagaan daripada yang ringan hingga kepada yang beratnya mencapai 130 kilogram. Bak kata pepatah berat mata memandang, sudah tentu lagi berat bahu yang memikul.

Tetapi demi tuntutan hidup, dan demi memastikan sesuap nasi untuk anak dan isteri, berat bebanan tidak dipedulikan walaupun bayaran yang diterima mereka rendah.

Kebanyakan porter akan mengenakan baju T yang mempunyai nombor. Seawal pukul 6 pagi mereka sudah berlegar di sekitar kompleks itu bagi mendapatkan pelanggan.

Namun ada juga porter senior tidak mengenakan baju T bernombor. Mereka ini sudah di kenali dan mempunyai pelanggan tetap terutama dari kalangan peniaga di Tanah Abang.

Rata-rata porter yang bekerja berusia antara 20 tahun hingga 60 tahun. Mereka bekerja dengan rela hati. Walaupun upahnya tidak sebesar mana, namun ia adalah pekerjaan 'mudah' kerana tidak memerlukan modal dan kemahiran.

Biasanya pendapatan mereka sekitar Rp20,000 (RM7.50) hingga Rp50,000 (RM18) sehari. Bagaimanapun mereka yang mempunyai pelanggan tetap boleh mencecah hingga Rp150,000 (RM54) hingga Rp 200,000 (RM71.50) mengikut kemampuan masing-masing.

Menurut seorang peniaga, Fianky, 26, porter sememangnya diperlukan oleh para peniaga di pusat perniagaan itu bagi membawa pelbagai barangan yang ditempah oleh para pelanggan atau membawa dari tempat penurunan barang di bahagian bawah ke kedai masing-masing.

"Tanpa porter bagaimana kami mahu membawa barang-barang tersebut ke kedai kami di atas? Begitu juga bila ada pelanggan kami yang mahu membawa barangan dengan jumlah yang besar turun ke tempat letak kereta untuk dimasukkan ke dalam kenderaan mereka," jelasnya.

Dia mengakui porter sememangnya menjadi nadi kepada peniaga di Tanah Abang dalam melancarkan urusan perniagaan.

Tambahnya, bayaran kepada porter selalunya bergantung kepada sebanyak mana barangan yang mereka pikul serta jarak barangan itu dibawa.

"Jika barangannya besar dan berat sudah pasti bayarannya mahal sedikit. Kalau terlalu besar porter akan gunakan troli. Tetapi kaedah ini jarang digunakan kerana ruang antara toko perniagaan di sini sempit. Kerana itu ramai porter memikul karung besar berisi barangan jualan," kata Fianky.

Bagi peniaga, Sumi, 32, porter perlu dihargai kerana mereka menjalankan tugas dengan jujur kerana tugas yang diamanahkan kepada mereka akan diselesaikan dengan baik.

"Dalam kesibukan dan kesesakan pengunjung membeli pelbagai barangan, porter tetap mengangkat barangan walau seberat manapun sehingga sampai ke destinasi yang ditujui," tegas Sumi yang menjual pelbagai pakaian kanak-kanak.

"Sudah lebih 10 tahun saya berniaga di sini belum pernah barangan saya yang dibawa oleh porter tidak sampai di toko saya. Begitu juga dengan barangan jualan pelanggan saya yang menggunakan khidmat mereka," tambahnya lagi.

Memang benar kata-kata para peniaga di Tanah Abang. Sewaktu duduk berbual dengan beberapa orang porter, mereka berbangga menjalankan khidmat memikul barangan walau keletihan kerana bagi mereka selain daripada mencari rezeki halal, secara tidak langsung dapat memudahkan para peniaga dan pengunjung di pusat itu.

Bagi Wawan, 26, dia tidak malu menjadi porter. Malah dia merasa beruntung dapat menjalankan tugas itu kerana bukan mudah mendapatkan pekerjaan baik di kota raya Jakarta.

"Di sini saya hanya menggunakan tenaga dan sedikit teknik mengangkat barang yang berat dengan betul. Saya juga tidak perlu berpanas dan berhujan seperti mereka yang bekerja di luar sana. Jarang sekali saya terpaksa memikul barangan hingga keluar kompleks ini," kata Wawan yang berasal dari Bogor.

Katanya setiap barang perlu dikira terlebih dahulu sebelum dimuatkan ke dalam guni plastik. Setelah penuh, dia perlu mengikat sebaik mungkin supaya tidak pecah apabila diangkat dan dipikul.

"Satu bal (guni) seperti ini beratnya antara 40 hingga 60 kilogram. Saya perlu pikul hingga sampai di lif sebelum dibawa turun untuk dimasukkan ke dalam kenderaan pelanggan," jelasnya yang mendapat upah antara Rp10,000 hingga Rp15,000 untuk sekali perkhidmatan.

Namun begitu Wawan gembira kerana selain mendapat upah dia juga dapat membantu para pelanggan melancarkan perniagaan mereka.

"Dalam satu bulan saya bisa mendapat Rp 1.5 juta. Itu cukup menyara keluarga saya walaupun tidak dapat bermewah-mewahan," katanya sambil tersenyum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: