Thursday, September 8, 2011

Warisan kacang putih 1Malaysia


Thanggaraja Solayapan setia menjual pelbagai jenis kacang di Terminal Bas Ipoh.


SUATU ketika dahulu penjual kacang putih menjaja kekacang dan makanan rangup lain dengan berjalan kaki atau berbasikal dan mereka sering dilihat di bandar-bandar dan kawasan sekitarnya.

Perniagaan ini, yang dipelopori masyarakat Tamil dari selatan India, bermula seawal kurun ke-19.

Warga Malaysia dari kalangan generasi pra dan awal pasca Merdeka pasti tidak lupa bagaimana penjual-penjual kacang putih ini menggulung kertas menjadi bentuk kon dan mengisinya dengan kekacang atau snek rangup lain.

Ramai juga akan mengimbau semula kenangan mereka mengunyah kekacang semasa menunggu bas atau menonton filem di pawagam. Lebih mengkagumkan, snek yang berasal dari India ini dinikmati oleh semua kaum dan ia merupakan snek 1Malaysia yang sebenar.

Walaupun penjual kacang putih mungkin tidak lagi dapat dilihat atas jalan, kacang putih yang sama kini dijual oleh generasi baru penjaja Tamil sebagai snek pilihan.

Hari ini, penjual kacang putih menjual snek mereka di lokasi yang ditetapkan. Kekacang dan makanan rangup lain dibungkus kemas di dalam paket plastik dan ramai daripada mereka juga merupakan usahawan kacang putih yang berjaya. Seorang daripada usahawan kacang putih yang berjaya ialah Thanggaraja Solayapan, 55, yang berasal dari tempat industri kacang putih, Kampung Kacang Putih, lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar raya Ipoh.

Thanggaraja merupakan muka yang tidak asing di Terminal Bas Ipoh kerana beliau merupakan penjual kacang putih di situ dan merupakan generasi ketiga untuk meneruskan perniagaan itu.

Kacang putih sebenarnya nama yang mewakili pelbagai juadah rangup India seperti muruku, pakoda, sivel, aulu, omma poddi, kadalai dan kekacang seperti dhall, kacang kuda dan kacang tanah.

Kini juga terdapat kerepek ubi kayu, satu juadah Malaysia yang mengiringi kacang putih.

Daripada 50 jenis kacang putih yang dijualnya, Thanggaraja membuat 19 daripadanya di kilang kecilnya di rumah.

Menyedari masyarakat Malaysia bukan sahaja majmuk tetapi juga mempunyai cita rasa berlainan, peniaga inovatif ini mempelbagai lagi juadah tawarannya dengan menambah manisan seperti laddu, jelebi, athirasam yang dibekalkan oleh seorang peniaga Sikh yang juga merupakan rakan lamanya.

Kadangkala beliau dapat menjual sehingga 200 bungkus kacang putih terutama pada musim-musim menjelang cuti perayaan. Pelanggan pula terdiri daripada pelbagai kaum.

Beliau turut mengakui berasa bangga apabila ada dalam kalangan pelanggannya yang berbangsa Melayu dan Cina pandai menyebut nama-nama kacang putih yang dijualnya.

"Sejak 30 tahun lalu, saya fikir, masyarakat bukan India juga meminatinya. Macam yong tau fu dengan nasi lemak juga. Sudah jadi makanan rakyat Malaysia. Kacang putih pula boleh jadi makanan ringan 1Malaysia," katanya bersahaja tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam.

Bagaimanapun, dalam gambaran yang lebih luas apa yang bermula sebagai perniagaan kecil bagi Thanggaraja dan jiran-jirannya di Kampung Kacang Putih kini bertukar kepada industri desa yang menguntungkan.

Beliau menarik perhatian bahawa antara 40 dan 50 keluarga di kampung itu terbabit dalam membuat dan menjual kacang putih, perusahaan yang menjadi kebanggaan penduduk di situ dan satu kisah kejayaan masyarakat itu sendiri.

Bukan seperti generasi sebelum mereka yang hanya mampu hidup serba ringkas, kehidupan usahawan kacang putih di sini jauh lebih mewah.

Bagaimanapun, kejayaan yang dicapai oleh masyarakat kacang putih ini di Ipoh bukan datang dengan mudah seperti yang ditunjukkan oleh Thanggaraja.

Sebenarnya, satu tragedi yang membawa mereka ke Kampung Kacang Putih yang membuka laluan kepada mereka sebagai usahawan kacang putih.

Mereka pada asalnya menetap di kaki Gunung Cheroh tidak jauh dari tempat sekarang, berhampiran kuil Sri Subramaniar, tempat moyang mereka menetap selepas berhijrah ke Malaya pada awal abad ke-19.

Masyarakat di situ pada asalnya terdiri daripada petani, pekerja dan peniaga kecil termasuk mereka yang menjual kacang putih.

Pada 1970, sebuah batu besar dari Gunung Cheroh menghempap perkampungan di situ dan demi keselamatan, mereka dipindahkan ke tempat sekarang ini di Buntong.

Masyarakat itu meneruskan dengan kehidupan mereka tetapi dengan peralihan masa, perniagaan kacang putih menjadi aktiviti utama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: