SEPAKAT...Izuddin (kiri) dan Aldino ketika bertemu di litar Monza, Itali, baru-baru ini.
PETRONAS Lubricants International (PLI), anak syarikat Petronas Dagangan Berhad (PDB) akan melabur kira-kira RM225 juta untuk membina pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) di Turin, Itali bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam industri minyak global.
Pusat R&D dijadualkan mula dibina pada 2013 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015.
Ketua Pegawai Eksekutif PLI, Aldino Bellazini berkata, pembinaan pusat R&D yang terbesar di Eropah di atas tanah seluas 16 hektar itu bakal merangsang dan memberi inovasi baru terhadap produk dihasilkan jurutera Petronas.
Menurutnya, pusat itu berupaya memenuhi standard diperlukan pengeluar peralatan tulen (OEM) selain spesifikasi produk minyak pelincir bagi pasaran Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun.
“Kemudahan terbaru ini turut disokong tenaga kerja mahir selain kepakaran PLI dalam bidang ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke kilang PLI Itali anjuran PDB, baru-baru ini.
PLI ditubuhkan pada November 2007 dan kini beroperasi di lebih 20 negara serta mempunyai pengalaman 100 tahun dalam R&D minyak pelincir.
Syarikat itu yang tergolong dalam kelompok 15 teratas senarai syarikat minyak pelincir dunia juga mengambil alih FL Selenia iaitu pengeluar dan pemasar minyak pelincir automotif berjenama Eropah.
Langkah berkenaan untuk membantunya mengembangkan pasaran serta meraih teknologi daripada syarikat terbabit.
Beliau berkata, langkah terbaru berkenaan adalah komitmen berterusan PLI bagi memperkukuhkan kedudukan serta produk dihasilkan di peringkat global.
Katanya, syarikat berkenaan melangkah lebih jauh dalam Formula 1 (F1) hasil kerjasama Petronas dengan Mercedes Benz dan bakal bekerjasama dengan Lotus dalam masa terdekat untuk membekalkan minyak pelincir bermutu tinggi.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Divisyen Perniagaan Peruncitan PDB, Izuddin Husaini M Yusoff berkata, Petronas akan terus bekerjasama dengan OEM yang ada selain disokong R&D lebih mantap bagi menjadikan PDB syarikat bertaraf antarabangsa.
Katanya, antara syarikat OEM yang bekerjasama ialah Fiat Automobile Group, Chrysler dan New Holland, syarikat terbesar dunia dalam menghasilkan peralatan pertanian.
“Ia satu keputusan yang dibuat pihak pengurusan (Petronas), kami akan mempunyai satu tempat untuk melakukan R&D serta terkumpul dan Itali adalah satu lokasi yang diputuskan,” katanya.
“Dengan adanya kawasan sedia ada kita akan membina pusat bagi membolehkan lebih banyak penyelidikan dilaksanakan tidak hanya terhad kepada minyak pelincir tetapi juga minyak dan aspek lain,” katanya.
Menurutnya, langkah pengambilalihan syarikat antarabangsa terutama mempunyai bidang teknikal tinggi juga sebahagian daripada strategi perniagaan PDB.
“Memang menjadi strategi PDB mengambil alih syarikat antarabangsa yang mempunyai bidang teknikal tinggi.
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada penilaian kami perlu laksanakan terhadap syarikat yang perlu diambil alih kerana ia memerlukan penilaian yang mendalam.
“Dengan pengambilalihan serta rakan strategik ini PDB akan terus menghasilkan produk inovatif dan perkhidmatan berkualiti secara menyeluruh dalam perniagaan untuk kekal sebagai peneraju dalam pasaran runcit petroleum,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: