TERBAIK...hubungan akrab Testino dengan Kate sejak 21 tahun lalu memudahkannya menghasilkan gambar luar biasa sempena perkahwinan supermodel itu pada 1 Julai lalu.
DETIK TERINDAH...Kate dan Hince bergambar dalam suasana intim.
IA boleh dianggap detik yang ditunggu-tunggu dalam dunia fesyen.
Ketika Kate Moss diiring menuju tempat dia bakal dikahwinkan secara rasmi dengan Jamie Hince, supermodel itu ternyata tidak menghampakan orang ramai dengan penampilan penuh anggun dengan gaun ciptaan sahabat karibnya, John Galliano.
Kini, gambar rasmi perkahwinan Kate - Hince yang dirakam jurugambar terkenal, Mario Testino, didedahkan kepada orang awam.
Seperti dijangka, setiap gambar itu yang tersiar dalam majalah Vouge edisi September ternyata begitu mengagumkan.
Gambar Testino itu juga menyediakan gambaran secara jelas apa yang berlaku di majlis perkahwinan berkenaan.
Sebagai seorang daripada sahabat karib Kate, Testino berjaya menghasilkan satu daripada gambar terindah pernah dihasilkan untuk supermodel berkenaan.
Mengambil kira pengalamannya selama 20 tahun beraksi di depan kamera, Kate kelihatan jelas amat gembira berbanding biasa.
Dalam satu daripada gambar itu, pasangan Kate - Hince dilihat berkucupan di celahan dedauan tanpa gangguan daripada tetamu mereka.
Satu lagi gambar memaparkan Kate merenung suami barunya, manakala Hince melontarkan pandangan ke belakang kereta sejurus selepas mereka disahkan sebagai suami isteri.
Turut menjadi fokus lensa Testino ialah detik istimewa dikongsi Kate bersama anak perempuanya, Lila Grace, yang berdakapan erat.
Lila Grace menjadi seorang daripada 16 pengiring Kate di majlis istimewa itu.
Melalui setiap keping gambar dipaparkan, pembaca dapat merasai emosi, keriangan dan kemewahan majlis berkenaan.
Hubungan peribadi Testino dengan Kate sejak supermodel itu berusia 16 tahun memudahkan jurugambar terbabit memahami dirinya.
Hasilnya - siri gambar yang menakjubkan.
Dalam temu bual bersama pengarang bebas Vogue edisi Eropah, Hamish Bowles, Kate, 37, menceritakan butiran lanjut mengenai perkahwinannya.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa, gambar dipaparkan itu mampu menyampaikan sendiri cerita sebenar di sebalik perkahwinan itu.
Kata Kate, dokumentari perkahwinan My Big Fat Gypsy di televisyen mendorong dia dan Hince membuat keputusan untuk menjadi suami isteri.
“Sangat romantik melihat perkahwinan masyarakat gipsi.
“Mereka tidak dibenarkan berbuat apa-apa sehinggalah berkahwin.
“Justeru, mereka berkahwin pada usia sangat muda, 16 tahun,” katanya.
Perkahwinan itu pula, kata Kate, dilangsungkan dengan penuh meriah apabila pengantin dipakaikan pakaian seperti rama-rama.
Melihatkan perkahwinan meriah itu, Kate mencadangkan kepada kekasihnya supaya mereka turut mengambil jalan sama.
“Lihat anak-anak gipsi itu - mereka menghabiskan masa sepanjang hidup untuk menanti detik dikahwinkan.
“Saya berkata kepada Hince - ayuh, kita lakukan perkara sama,” katanya.
Sesuai dengan statusnya sebagai supermodel, orang ramai pasti tertunggu-tunggu pakaian bagaimanakah yang bakal dikenakan.
Kata Kate, dia memilih pakaian klasik ciptaan Galliano.
“Saya hidup dalam pakaian Galliano selama bertahun-tahun dan ia membuat saya amat selesa,” katanya.
Selain pakaian ciptaan Galliano, Kate turut mengenakan gaun hasil kreativiti seorang lagi sahabatnya, Stella McCartney.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: