|
|
APA kudrat yang manusia ada untuk menolak jodoh pertemuan yang sudah ditentukan oleh Allah.
Kalau sudah namanya takdir, pertemuan, perkenalan dan perkahwinan akan tetap berlaku sekalipun jodoh seseorang itu jauh di hujung dunia.
Kepada Mohd. Norfadly Idris atau lebih mesra dengan panggilan Ipat, pertemuannya dengan Atie Widya Pratiwi atau Atie merupakan satu kebetulan.
Tidak pernah dia menyangka akan menyunting Atie sebagai suri dalam hidupnya kerana kedua-duanya datang dari dua negara yang berbeza.
Ipat, warganegara Malaysia yang kini bertugas di Jakarta, Indonesia bertemu jodoh dengan Atie, rakyat Indonesia.
Ada benarnya, Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan termasuk bahasa dan budaya dari segi prinsipnya.
Namun, untuk menerima orang asing dari negara asing bukan satu hal yang mudah bagi sebilangan besar daripada kita.
Dalam hal ini, baik Ipat mahupun Atie masing-masing sangat bersyukur kerana dinding keikhlasan yang kebal selain niat yang suci untuk menyatukan dua jiwa bersendikan tiang agama dan budaya membuka jalan yang mudah untuk mereka disatukan.
Selepas meyakinkan orang tua masing-masing mengenai niat untuk berkahwin, Ipat dan Atie dapat menarik nafas lega dan mula memikirkan perihal perkahwinan mereka.
“Pada awalnya, ibu dan ayah terkejut apabila saya memberitahu mereka mahu berkahwin dengan lelaki dari Malaysia, mungkin mereka tidak pernah terfikir saya akan buat keputusan ini.
“Banyak soalan yang ditanya oleh ibu dan ayah. Mereka mahu tahu latar belakang Ipat serta berkali-kali bertanyakan saya apakah saya sudah berfikir panjang mengenai hal ini (perkahwinan).
“Syukur saya dapat yakinkan mereka bahawa keputusan yang saya buat adalah serius dan Alhamdulillah, saya mendapat sokongan dan restu ibu dan ayah,” kata Atie berkongsi cerita.
Atie yang juga seorang ahli perniagaan tidak menafikan rekod kurang manis mengenai hubungan pasangan Malaysia dan Indonesia sebelum ini pernah menjadi persoalan dalam dirinya.
Membaca laporan bagaimana sukarnya untuk pasangan Malaysia dan Indonesia menjalin persefahaman dalam perkahwinan membuatkan hati kecilnya berdetik apa akan jadi dengan masa depannya kelak andai dia bersuamikan orang Malaysia.
“Ada juga yang bimbang kalau saya kahwin orang Malaysia nanti saya tidak ada peluang untuk balik semula ke Indonesia dan macam-macam lagi persepsi negatif lain.
“Mujur saya tidak mudah termakan rasukan persepsi sedemikian. Saya yakin pada kejujuran Ipat dan percaya bahawa hubungan bangsa Indonesia dan Malaysia boleh dieratkan lagi menerusi perkahwinan ini,” ujarnya sambil menyatakan rasa syukur kerana keluarga barunya di Malaysia juga amat menyenangi kehadirannya dalam hidup mereka.
Kedua-dua Ipat dan Atie bertemu pada Januari 2009. Masa diambil kedua-duanya untuk mendekati dan saling mengenali hati masing-masing.
Sehinggalah pada November 2009 permulaan kepada fasa hubungan yang lebih serius antara mereka bermula.
Keluarga Ipat dari Kuala Lumpur berkunjung ke Jakarta untuk bertemu bakal besan mereka dan mencapai kata sepakat untuk menyatukan anak-anak dua jiwa itu.
“Saya juga bersyukur kerana mendapat restu keluarga untuk menyunting Atie sebagai isteri saya. Biarpun dia orang Indonesia, itu bukan halangan untuk kami membina perkahwinan,” jelas Ipat yang ditunangkan dengan Atie pada 16 Januari lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: