Tuesday, September 27, 2011

MasterChef Malaysia cungkil bakat memasak


Dari kiri: Chef Priya, Chef Riz, Chef Yahaya, Chef Jo dan Chef Zubir pada majlis memperkenalkan barisan chef profesional untuk program MasterChef Malaysia di Shah Alam, baru-baru ini.


SEORANG chef tidak akan kurang ilmu atau jatuh statusnya apabila seorang individu yang dilatih dalam tempoh beberapa bulan tanpa kelayakan akademik dalam bidang kulinari diberi gelaran MasterChef.

Demikian pandangan ikhlas yang diberi oleh Moh Johari Edrus, 55, atau Chef Jo yang terkenal di kalangan chef tanah air apabila diminta pandangan tentang program baru yang diperkenalkan oleh Astro iaitu MasterChef Malaysia.

Program realiti masakan MasterChef Malaysia bukan sahaja menobat individu dengan gelaran tertinggi dalam bidang kulinari, malah turut memberi ruang kepada mereka yang berminat dalam bidang masakan.

Menurut Chef Jo, ribuan daripada peserta yang datang menjalani uji bakat di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur sebenarnya tidak mahir dalam bidang masakan namun semangat ingin mencuba daripada mereka amat penting.

"Uji bakat berlangsung selama dua hari. Hari pertama, peserta boleh bawa masakan daripada rumah dan memasak di hadapan juri pada hari kedua. Ada yang datang semula dan tidak kurang juga yang mengundur diri.

"Program ini boleh dijadikan batu loncatan untuk mereka yang gemar memasak dan ingin mengembangkan bakat terpendam itu. Untuk menjadi seorang chef bukanlah mudah tapi menerusi program ini mereka berpeluang menimba pengalaman daripada beberapa chef terkenal," katanya pada majlis memperkenalkan juri profesional program berkenaan di Shah Alam, baru-baru ini.

Selain Chef Jo, turut bertanggungjawab menjadi juri sepanjang program 66 episod ini berlangsung mulai 22 Oktober ini di Astro Ria (Saluran 104) adalah Mohd. Nadzri Redzuawan, 29, (Chef Riz), Zubir Md. Zain, 45 (Chef Zubir), Yahaya Hassan, 49, (Chef Yahaya) dan Priya Menon, 53.

Untuk permulaan, seramai 40 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang seperti doktor pergigian, pereka fesyen, penoreh getah, pelakon dan pelajar universiti dipilih.

Daripada 40 peserta, hanya 24 yang terbaik akan meneruskan perjalanan dalam MasterChef Malaysia setelah diuji kebolehan masing-masing sewaktu Bootcamp dan hanya seorang sahaja dipilih sebagai juara.

Dalam pada itu Chef Priya berkata, jika sebelum ini penonton sudah terbiasa menonton peserta terpaksa membuang makanan kerana kualitinya tidak mencapai tahap juri dalam program MasterChef Australia atau MasterChef US, namun situasi itu tidak akan berlaku dalam MasterChef Malasyia.

"Membazir makanan bukanlah budaya orang Malaysia. Kalau masakan itu tidak mencapai kualiti, kami akan minta peserta menggubah suai hingga menjadi enak. Untuk minta mereka buang makanan itu dan memasak makanan lain bukanlah langkah baik," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, MasterChef Malaysia adalah program untuk mengetengahkan bakat rakyat tempatan kepada dunia luar.

Katanya, selain bersiaran di Astro Ria, MasterChef Malaysia juga akan disiarkan di Star World (Saluran 711) mulai 27 Oktober ini yang boleh ditonton di Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurut Khairul Anwar, di waktu yang sama keunikan masakan tempatan yang multinasional itu juga boleh ditonjolkan.

"Sebagai sebuah negara majmuk, pelbagai jenis masakan terdapat di Malaysia. Secara tidak langsung masyarakat luar dapat mengenali keunikan makanan negara ini.

"MasterChef Malaysia adalah program realiti yang berbeza dengan program realiti hiburan seperti Akademi Fantasia (AF) sebelum ini. Namun melihatkan kepada sambutan yang kami terima sewaktu uji bakat, pihak Astro yakin MasterChef Malaysia akan ada pengikut tersendiri," katanya.

Katanya, juara program tersebut bakal membawa pulang wang tunai RM100,000, menghasilkan koleksi resipi sendiri dan menjadi hos untuk program masakan yang bakal ditentukan konsepnya kelak.

Dalam pada itu, MasterChef Malaysia turut mendapat kerjasama penuh daripada PANASONIC 'Cooking Magic' selaku penaja utama di samping penaja lain seperti Hong Leong Bank, Jaya Grocer, Maggi, MyChef dan NeuVida Omega-9 Cooking Oil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: