Tuesday, September 27, 2011

Libas mampu buka mata penonton


Barisan pasukan sepak takraw Malaysia yang terdiri daripada (dari kiri) Fadzly Kamarulzaman, Rosyam Nor, Scha Alyahya, Beego dan Johan.


Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMANifqdar.rahman@utusan.com.myGambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDINSepak takraw dianggap antara khazanah Melayu yang harus dijaga martabatnya memandangkan ia adalah simbolik bangsa Melayu yang memulakan asal usul permainan tersebut sejak 600 tahun dahulu.

Justeru, mengangkat sukan itu yang dijadikan subjek untuk diketengahkan melalui medium filem, ia adalah satu tindakan bijak dalam memberikan satu kelainan kepada audiens.

Filem lakonan Rosyam Nor dan Scha Alyahya, Libas bukan sahaja sarat dengan mesej semangat patriotik dan kesukanan, malah ia adalah ramuan lengkap yang turut diwarnai elemen komedi ringan hasil keberkesanan mutu lakonan Johan Raja Lawak dan gaya bersahaja pendatang baru, Fadzly Kamarulzaman.

Diterbitkan oleh MDAG Marketing Sdn. Bhd., rencah yang diguna pakai oleh pengarahnya, Jurey Latiff Rosli membuatkan Libas adalah naskhah yang 'cukup rasa' dan dijangka mampu memancing selera penonton.

Walaupun pertama kali melangkah ke bidang pengarahan layar lebar, Jurey mempunyai kekuatan dan alasannya tersendiri bagi memastikan karyanya itu disukai ramai.

Bermodalkan teknik imej janaan komputer (CGI) yang kemas tanpa perlu menggunakan skrin hijau (green screen), ia adalah percubaan berani Jurey dalam usaha untuk menyampaikan ideanya yang telah terperap sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, penggunaan CGI untuk setiap aksi menimbang bola adalah taruhan terbaik yang dijanjikannya bagi menarik minat audiens ke pawagam untuk menonton Libas.

Jurey yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut baru-baru ini berharap agar cetusan idea dan sentuhan karyanya itu dapat diterima dan menterjemahkan maksud tersirat di sebalik visual dan dialog yang terdapat dalam Libas.

"Memandangkan ia adalah filem sulung arahan saya memang terdapat banyak kelemahan yang perlu dibaiki.

"Saya sedia menerima kritikan positif dan juga negatif bagi kita sama-sama membina masa depan yang cerah terhadap industri filem tempatan.

"Apatah lagi, kerja-kerja kreatif seperti ini begitu subjektif untuk dinilai kerana ia membabitkan cita rasa yang pastinya berlainan antara satu sama lain," katanya yang selama ini mengarah drama.

Tambah Jurey, selain pengalaman sulungnya sebagai sutradara filem, dia juga berhadapan cabaran besar apabila perlu berdepan dengan teknik dan skil pengarahan yang bakal digarap bersama penggunaan CGI.

Bagaimanapun, Jurey bersyukur kerana barisan pelakon yang membintangi filem Libas mampu memberikan kerjasama yang bagus sebagai satu pasukan untuk menghasilkan yang terbaik.

Libas akan mula ditayangkan pada 29 September ini di seluruh pawagam tanah air mengisahkan sekumpulan anak muda yang bersatu dalam memperjuangkan sukan sepak takraw yang kononnya sudah lama dirampas rakyat Thailand.

Namun, timbul pula pelbagai konflik lain yang membuatkan Libas lebih menarik dan berbeza berbanding karya lain.

Libas mampu lonjakkan populariti

Naskah Libas disifatkan Rosyam sebagai batu loncatan yang mampu melonjakkan semula popularitinya setelah filem terakhir lakonannya Kala Malam Bulan Mengambang, arahan Mamat Khalid menemui para peminat pada 2008.

Ujarnya, Libas memberi momentum kepadanya untuk kembali aktif berlakon filem setelah hampir dua tahun berehat.

"Saya begitu kagum dengan hasil kerja yang dipaparkan dalam fiilem ini kerana ia menarik dan teliti dan saya percaya ia boleh menjadi 'hidangan ringan' seisi keluarga di pawagam.

"Setelah 20 tahun berlakon filem, Libas memberikan pengalaman berbeza buat saya apabila perlu bermain dengan imaginasi untuk membayangkan kedudukan bola yang diwujudkan dengan menggunakan CGI.

"Bukan itu sahaja, malah bahu kiri saya pernah patah gara-gara mahu melakukan aksi bermain sepak takraw.

"Saya juga perlu bekerja keras untuk memastikan keserasian berlakon bersama Scha dapat dibentuk memandangkan ketika penggambaran filem ini dua tahun lalu, dia masih baru dan jauh lebih muda berbanding saya," jelas Rosyam panjang lebar yang digandingkan sebagai tunang kepada Scha.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: