Monday, September 12, 2011

Master Chef MIDF


SALAH satu kumpulan yang mencuba nasib.


BIAR pun dikenali sebagai sebuah kumpulan kewangan yang kian berkembang dengan pelbagai perkhidmatan kewangan, namun tidak bermakna aktiviti Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) hanya terhad kepada 'kira-kira dan duit'.

Ada tanggungjawab sosial yang turut menjadi keutamaan kumpulan kewangan itu selain melaksanakan pelbagai aktiviti untuk merapatkan hubungan antara kakitangan di situ. Menariknya aktiviti yang dipilih di luar ruang lingkup MIDF. Ia tidak berkaitan kewangan, jauh sekali pelaburan.

Sebaliknya, baru-baru ini, MIDF memilih pencarian chef sebagai aktiviti terbaru untuk mewarnai kalendar tahun mereka. Pertandingan yang dinamakan "Master Chef" itu disertai sebanyak lapan kumpulan yang terdiri daripada warga MIDF dari pelbagai divisyen.

Kesemua pasukan berusaha keras untuk memastikan masakan pilihan dimasak dengan sempurna dalam jangka masa dua jam yang diberikan.

Perkarangan hadapan Menara MIDF diubah suai dengan gerai berhias yang menyajikan makanan popular Malaysia. Antara makanan yang disaji dan diberi nama istimewa adalah Nasi Goreng Fuyoo, Sup 1001 Rempah, Mee Goreng Marvellous, Roti Jala Mayang Sari, Rojak Buah dan Popiah Ronggeng Mak Dara.

"Selain daripada mendedah kemahiran dan bakat terpendam di kalangan warga kerja kami, acara ini juga dianjurkan sebagai sebahagian daripada program integrasi pekerja.

''Ini adalah salah satu usaha untuk menggalakkan warga kerja untuk bekerjasama dalam suasana yang lebih seronok," ujar Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah.

Menghias

Persediaan untuk acara tersebut bermula seawal jam 11 pagi dan ini memberi waktu yang mencukupi untuk setiap kumpulan menghias gerai sekali gus menyediakan juadah kumpulan masing-masing.

"Fakta unik mengenai pertandingan ini adalah setiap kumpulan diketuai oleh ahli pengurusan kanan yang memulakan masakan sambil dibantu oleh ahli kumpulan," katanya lagi.

Beliau menambah, aktiviti tersebut sememangnya membantu mengurangkan jurang yang mungkin wujud di antara pihak pengurusan dan para pekerja.

Mee Goreng Marvellous dari Megat's Bistro yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Datuk Megat Hisham Megat Mahmud diumumkan juara pertandingan memasak sulung MIDF ini. Ketua juri merupakan seorang 'chef' terkenal dari sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Kumpulan tersebut telah membawa pulang hadiah wang tunai, piala pusingan dan plak Master Chef MIDF.

"Harapan kami di MIDF adalah untuk menganjurkan lebih banyak program integrasi pekerja kerana ia boleh memupuk semangat berkumpulan yang sentiasa diperlukan dalam mana-mana organisasi.

''Acara riang ria seperti ini yang menonjolkan kebolehan warga kerja kami di luar dari bidang kerja masing-masing akan membantu untuk bersantai dan mengalih perhatian mereka sebentar dari tugas harian.

''Selain dari itu, acara ini juga diadakan sebagai acara menyambut Ramadan di MIDF. Hidangan yang disediakan semasa pertandingan kemudiannya disajikan kepada semua warga kerja di sini. Malahan acara ini juga menarik perhatian pelancong-pelancong yang lalu-lalang," kata Mohd. Najib.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: