Sunday, September 25, 2011

Maizirah OKU serba boleh


Maizirah suka berdikari.


DENGAN dibantu dua tongkat, dia melangkah keluar dari kereta yang dipandu. Bagi yang tidak mengenalinya, pasti tidak menyangka bahawa si pemandu kenderaan tadi seorang insan kurang upaya.

Kecekapannya memandu sama seperti mereka yang sempurna. Dan sememangnya wanita berusia 49 tahun ini mengakui, tiada apa yang membezakan dirinya dengan insan lain kecuali hanya satu kaki yang hilang.

“Selagi kudrat saya ini mampu digerakkan, tidak sama sekali saya ingin meminta-minta, malah kalau terdaya saya yang akan memberi,” demikian tutur wanita bernama Maizirah Alang Mohd Zin memulakan bicara.

Bertempat di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Batu Gajah, Perak, ibu tabah ini menceritakan kisah hidupnya. Kehilangan satu kaki akibat ditimpa kemalangan dua minggu selepas mendirikan rumah tangga merubah 360 darjah kehidupannya. Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar tahun 1984 itu pada mulanya cukup memberi kesan dalam hidupnya.

“Pada mulanya memang rasa susah nak terima keadaan diri. Bayangkan kita sudah biasa bergerak ke sana sini. Disebabkan kemalangan itu, saya kehilangan sebelah kaki. Mujurlah ada keluarga yang membantu memberi semangat. Akhirnya saya akur dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Bermula dari situ, Maizirah tekad untuk meneruskan hidup seperti biasa. Dia menjalani pembedahan demi pembedahan bagi memperbetulkan kakinya. Cubaan memakai kaki palsu gagal kerana kulitnya mengalami alahan teruk. Lalu berbekalkan tongkat, wanita tabah ini melakukan kerja-kerja harian seperti biasa.

Ternyata semangat ibu kepada Nurshafawati Zafirah Ahmad Tajuddin, 23 dan Muhammad Noor Sabqi Waqiuddin, 21 ini luar biasa sekali.

Bukan setakat diri diuji dengan kemalangan yang hampir meragut nyawa, naluri keibuannya turut tersentuh tatkala dua daripada empat cahaya matanya meninggal dunia sejurus dilahirkan.

“Mungkin itu antara ujian yang perlu saya lalui. Saya yakin ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Sedih memang sedih, namun hidup tetap perlu diteruskan,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, rumah tangganya turut bergelora. Akhirnya setelah memikirkan sehabisnya, dia dan suami mengambil kata putus untuk berpisah pada tahun 2000.

Bagi Maizirah, biarlah dia hidup sendiri membesarkan anak-anak daripada hidup bersama namun tiada bahagianya. Mujurlah dia memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang. Justeru, mencari nafkah untuk membesarkan anak-anak bukanlah sesuatu yang janggal walaupun sudah bergelar OKU.

Setiap kali menjelang hari raya, Maizirah akan mengambil tempahan menjahit baju. Wanita ini turut memiliki kepakaran memasak dan turut menjadi tenaga pengajar di Kolej Komuniti. Adakalanya, dia juga menerima tempahan katering untuk pelbagai jenis juadah.

Dalam usaha menambah pendapatan keluarga, Maizirah juga terlibat dalam pelbagai jenis jualan langsung.

halangan

Bagi Maizirah, walaupun kini bergelar OKU, itu bukan halangan untuk melakukan pelbagai jenis kerja yang dilakukan insan normal yang lain.

“Saya cuma tak ada kaki, namun masih mampu bergerak dan berkerja. Itu sahaja dah cukup. Bila lihat penderitaan orang lain yang lebih susah, hati saya lagi tersentuh,” katanya.

Tidak hanya ligat mencari nafkah untuk menampung keluarga sendiri, wanita ini turut aktif dalam pelbagai bidang yang mendekatkan dirinya dengan masyarakat.

Selain terlibat dengan Persatuan OKU dan Persatuan Ibu Tunggal peringkat bahagian, dia juga merupakan ahli jawatankuasa Persatuan Pemadam Batu Gajah. Lebih membanggakan, Maizirah pernah menyertai pertandingan boling OKU dan berjaya mendapat tempat ketiga peringkat negeri Perak.

Wanita serba boleh ini menyeru mereka yang senasib dengannya agar tidak mengharapkan bantuan daripada masyarakat semata-mata.

“Sampai bila kita perlu bergantung kepada orang lain. Jika benar kita tidak berdaya itu tak mengapa, tapi ada juga yang suka mengambil kesempatan,” katanya dalam nada yang sedikit kecewa.

Justeru beliau turut berharap, pihak bertanggung-jawab memberi peluang kepada insan sepertinya untuk berdikari dan menjalani hidup seperti insan biasa yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: