Wednesday, September 14, 2011

Lofa masih belum puas hati



Belum pun setahun usianya dalam bidang seni, Neelofa sudah berjaya meletakkan namanya sebaris dengan nama artis tempatan sedia ada.

Disunting pengarah Aziz M Osman untuk filem Azura 2011, Neelofa ternyata tidak menghampakan.

Biarpun filem itu belum ditayangkan lagi, namun Neelofa sudah menerima pelbagai tawaran berlakon.

Kini, Neelofa sudah boleh tersenyum apabila dirinya mula dikenali. Tetapi dia tidak pernah meletakkan dirinya pada satu tahap yang terlalu tinggi, malah anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini mengakui memerlukan lebih banyak pendedahan dalam dunia hiburan tempatan.

“Saya masih baru dan masih banyak perkara yang saya tak tahu. Dalam tempoh ini bukan masanya untuk saya berasa seronok dan bersenang lenang.

“Berilah masa kepada saya, pasti saya akan jadi lebih baik daripada hari ini. Itu janji saya kerana saya masih belum puas hati dengan diri saya.

“Saya harap orang kenal saya kerana bakat lakonan yang ada pada diri saya dan ketepikan cerita kontroversi mahupun gosip liar. Niat saya mahu berjaya sebagai pelakon,” katanya kepada Zass.

Berjanji tidak akan sesekali mendabik dada, kehadirannya terus mendapat perhatian pengarah dan penerbit. Berilah apa sahaja watak kepadanya, pasti dijayakan dengan baik sekali.

“Saya beruntung kerana sejak awal pembabitan, banyak watak yang sudah saya jayakan. Daripada gadis ayu hinggalah kepada yang lasak. Tidak ketinggalan watak penggoda.

“Saya seronok kerana dapat melakonkan pelbagai watak ini. Saya tidak sangka, saya boleh membawa watak komedi sedangkan saya seorang pendiam dalam keluarga.

“Namun itulah pelajaran yang saya dapat. Tidak hanya pengarah malah pelakon yang sama-sama bekerja dengan saya juga banyak menurunkan ilmu kepada saya,” katanya.



Minat jadi pengacara

Berjaya dalam bidang lakonan, Neelofa pada awalnya lebih meminati bidang pengacaraan.

Namun, tawaran berlakon yang datang kurang memberi ruang kepadanya sebagai pengacara.

“Saya minat jadi pengacara berbanding berlakon. Saya mahu lebih berjaya sebagai pengacara. Dah jadi cita-cita sejak dulu lagi.

“Biasanya saya hanya buat pengacaraan bila ada masa terluang. Bila dah selesai penggambaran, barulah saya beri tumpuan pada pengacara.

“Saya tak pernah memilih. Apa sahaja program yang ditawarkan saya terima. Setakat ini, saya sudah menjadi pengacara untuk beberapa rancangan televisyen (TV) dan majlis rasmi. Bekerja di depan kamera sudah pasti lain dan perlu banyak tumpuan,” tambahnya.

Berterima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya seninya, Neelofa berharap peminat boleh menerima dirinya sama ada sebagai pelakon mahupun pengacara.

“Dua cabang seni ini memerlukan komitmen yang begitu tinggi daripada saya.

“Sejak dalam Dewi Remaja lagi, saya berazam untuk mempertingkatkan diri saya supaya menjadi lebih baik,” kata pemenang pertandingan Dewi Remaja 2010/2011 awal tahun ini.



Jiwa & Lara uji kemampuan

Muncul dengan drama terbaru Jiwa & Lara menerusi slot Samarinda di TV3, Neelofa berkata, drama itu benar-benar menguji kemampuannya sebagai pelakon.

Mula disiarkan sejak semalam, Neelofa diberikan watak sebagai Lara seorang wanita lasak yang sentiasa bermain dengan emosi.

“Saya ni bukan seorang yang mudah menangis. Tetapi untuk drama itu, air mata saya berderai begitu mudah. Apatah lagi berlakon di samping pelakon kacak Aaron Aziz dan Fauzi Nawawi.

“Mereka sangat baik dan tidak lokek ilmu. Saya seronok berlakon drama ini. Menjadi wanita kampung tetapi agak lasak benar-benar menguji diri saya.

“Selain dua pelakon itu, saya berterima kasih kepada Faezah Elai yang banyak membantu saya. Dia pelakon yang sangat bagus dan kami dapat melakonkan drama ini dengan jayanya,” katanya yang bakal muncul dengan filem baru bersama Hans Isaac berjudul Lemak Kampung Santan.

Jiwa Lara mengisahkan, persengketaan dan dendam antara Zaman, Jiwa dan Lara. Zaman seorang penjenayah yang berjaya melepaskan diri. Dia mendapat kepercayaan pengusaha ladang getah, Fakir. Bukan sahaja mendapat tempat berteduh, malah ditawarkan untuk bekerja di ladang tersebut. Jiwa yang amat mencintai Lara, mencurigai keperibadian Zaman. Hubungan Jiwa dan Lara mulai retak apabila Lara terjerat dengan kata-kata manis Zaman. Lara akhirnya terlanjur dengan Zaman.

Apabila anak tunggal Fakir, Marini pulang dari luar negara, Zaman mula menyisihkan Lara yang hanya merupakan seorang penjual bunga. Zaman sanggup mengorbankan Lara bagi mengahwini Marini. Malah, Marini terpaksa bersetuju kerana dia sedang hamil anak luar nikah hasil teman lelakinya semasa di luar negara. Zaman tidak mendapat kepercayaan daripada Marini dan akhirnya bertindak ganas untuk membunuh mereka bagi membolot harta Fakir.

Sementara Jiwa, kembali untuk menuntut kebenaran dan berusaha menjejaki Lara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: