Tuesday, September 20, 2011

Lelaki didakwa rompak, cederakan kontraktor


MAHANDRAN diiring keluar selepas didakwa merompak dan mencederakan seorang kontraktor di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merompak dan mencederakan seorang kontraktor perkapalan.

Tertuduh, R. Mahandran, 30, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap S. Vijayaratnam, 47, di Jalan Tasik 24, Bandar Seri Alam, Masai pada pukul 7.30 petang, 6 September lalu.

Dia dan dua lagi suspek yang masih bebas didakwa merompak, mencederakan Vijayaratnam serta merampas sebuah kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran JKH 7730, tiga buah jam tangan, seutas rantai, dua pasang subang dan tiga buah telefon bimbit.

Mahandran didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chen.

Hakim Mohd. Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan menetapkan pada 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: