Sunday, September 4, 2011

Lebaran empat remaja Juvana




IDILFITRI menjelma lagi. Syukur kepada Allah S.W.T kerana kesemua kita yang beragama Islam berpeluang meraikannya sekali lagi selepas setahun Syawal menghilang.

Kalau bercerita fasal raya, biasanya kita akan terfikir, hanya golongan kanak-kanak sahaja yang akan lebih merasa teruja.

Namun jangan tak tahu, empat remaja ini juga punya nada keterujaan yang sama setiap kali hari raya menjelma.

Masing-masing punya pandangan dan cerita yang tersendiri.

Namun, itu tidak bermakna Aidilfitri tidak boleh dikongsi bersama biarpun masing-masing sudah menyandang gelaran pelakon.

Mari ikuti apa cerita raya Johan (Botak), Shafimie Don, Shafinie Don dan Farhana Qismina (Sweet) sempena Syawal kali ini.

Johan malu-malu

Menatap wajah dia sahaja sudah buat semua orang berkata “Oh dia ni rupanya,”

Iyalah, siapa yang tak kenal Johan Ariff, 25. Dialah pemuda yang memegang watak Botak dalam drama bersiri popular Juvana.

Lakonannya cukup berkesan sampaikan sehingga sekarang, peminat masih lagi memanggilnya dengan gelaran nama itu.

Bercerita mengenai hari raya, kata Johan, meski tahun ini merupakan Aidilfitri pertama dia menyambutnya sebagai seorang pelakon, ia tidak langsung memberi sebarang perbezaan pada dirinya.

Malah, tanpa selindung, kata Johan, dia merasa segan untuk meraikannya secara berlebihan biarpun tahu dirinya merupakan seorang artis kini.

“Seganlah. Bukan apa, saya bimbang orang akan kata saya nak menunjuk-nunjuk pula. Saya tak mahulah macam tu.

“Sebab itulah saya akan beraya dalam suasana sederhana sahaja tahun ini. Macam tahun-tahun lepas. Tiada bezanya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Johan, dia bersyukur kerana dengan limpahan rezeki yang mendatang padanya, dia mampu untuk menyediakan persiapan hari raya buat keluarga terutama mak, kakak serta dua adiknya.

Dalam pada itu, cerita Johan, dia juga sering terkenang zaman di mana dia sering membantu sahabatnya berniaga di bazar Ramadan untuk mencari duit poket menjelang Aidilfitri.

“Saya selalu tolong kawan saya berniaga sebelum jadi artis dulu di bazar Ramadan Paya Dalam, Melaka. Kami jual martabak maggi.

“Saya tak malu mengaku yang saya berniaga di bazar. Itu juga rezeki yang halal,” katanya.

Sweet rindu arwah bapa

Pelakon yang mula terkenal menerusi watak Fasha dalam drama Hikayat Putera Shazlan ini pula punya kisah sedih setiap kali Syawal menjelma.

Kata gadis yang dikenali dengan nama Sweet ini, semuanya gara-gara dia kehilangan arwah bapanya tiga tahun lalu.

“Tahun ini merupakan tahun keempat Sweet beraya tanpa arwah bapa di sisi. Biasanya, kalau hari raya arwah bapalah orang yang paling sibuk menyediakan persiapan terutamanya memasak.

“Dia memang suka memasak. Bagi Sweet, momen yang paling dirindui ialah apabila kami sekeluarga turun ke dapur dan arwah bapa akan menjadi ketua Chef.

“Seronok sangat. Sebab kami semua saling tolong-menolong di dapur. Sweet sebenarnya rindu air tangan arwah,” ujarnya.

Menurut pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur ini lagi, di kalangan lima beradik, dia adalah anak yang paling rapat dengan arwah bapanya.

Bercerita mengenai keseronokan berhari raya, kata Sweet dia ada satu cerita lucu yang ingin dikongsi bersama pembaca Pancaindera.

Kata Sweet, setiap kali menziarahi rumah saudara-mara mahupun teman-teman, lazimnya mereka semua tidak memanggilnya dengan nama Sweet atau Farhana.

Tetapi, katanya, panggilan yang melekat pada dirinya ialah Fasha.

“Mereka kenal Sweet dengan nama Fasha, watak dalam cerita Hikayat Putera Shazlan. Jadi asyik panggil Sweet dengan nama Fasha.

“Tapi Sweet tak kisah sebab itu menunjukkan mereka kenal watak yang dibawakan oleh Sweet,” katanya yang akan pulang berhari raya di Johor Bharu pada lebaran pertama.

Syawal dua beradik

Karakter dua-beradik ini memang berbeza. Si kakak lebih pendiam manakala si adik pula seorang yang periang.

Namun, itulah keistimewaan Shafinie dan Shafimie Don yang sama-sama terlibat dalam dunia lakonan sejak dari kecil.

Meski Fimie lebih popular daripada kakaknya, Finie, namun itu bukanlah penghalang buat kedua-dua mereka untuk maju dalam bidang masing-masing.

Cerita raya dimulakan dengan pengalaman Fimie terlebih dahulu.

Kata pelakon yang semakin matang dalam drama Juvana ini, saban tahun, dia bersama keluarga tidak pernah gagal untuk pulang berhari raya di kampung halaman, Alor Setar, Kedah.

Kata Fimie, baginya, keseronokan pulang ke kampung sukar digambarkan dengan kata-kata lebih-lebih lagi apabila itulah peluang buatnya untuk bertemu sanak-saudara.

“Balik kampung memang sesuatu yang selalu Fimie nantikan. Pula tu, tahun ini kata mama, semua keluarga berpeluang pulang ke kampung.

“Jadi bolehlah Fimie bertemu dengan sepupu-sepupu Fimie yang dah lama tak jumpa. Bagi Fimie, raya tanpa keluarga memang tak meriah,” ujarnya.

Perkara yang sama turut disokong oleh Finie, pelakon drama Ponti Anak Remaja ini.

Ujar gadis berusia 20 tahun ini, Aidilfitri baginya lebih meriah jika keluarga berkumpul beramai-ramai dan melakukan aktiviti bersama.

Malah, semakin usianya menginjak dewasa, dia semakin suka melekat bersama mamanya dan berbual-bual bersama ibu saudaranya yang lain ketika bersua muka.

“Dulu masa kecil-kecil segan nak sertai orang tua-tua berborak. Bimbang nanti dikata suka sibuk pula.

“Tapi bila dah besar ni, seronok dengar mereka berbual. Suasana pun jadi riuh. Itu yang seronoknya,” katanya.

Bercerita mengenai duit raya, kata Finie, jumlah duit raya yang pernah dikumpul olehnya tidak pernah melebihi RM200.

Malah, bila dapat duit raya berjumlah RM100 pun dia sudah merasa cukup kaya pada ketika itu.

“Tapi itu cerita dululah. Masa kecil-kecil. Sekarang dah besar dah jarang ada yang nak bagi duit raya. Saya pun jadi malu bila orang kasi duit raya,” ujarnya sambil tersenyum.

1 comment:

  1. baruku tahu sebenarnya arwah ayah farhanna qismina dah kembali ke rahmatullah...aku doakan semoga roh arwah ayah farhanna qismina di tempatkan di tempat2 orang yang beriman dan lepas dari seksaan kubur...amin...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: