
SEWAKTU kali pertama Datuk Michelle Yeoh bertemu dengannya untuk membincangkan tentang filem The Lady, pengarahnya, Luc Besson merasakan ia adalah peluang terbaik untuknya menzahirkan kisah Suu Kyi ke layar perak.
Apatah lagi, kisah tentang pejuang demokrasi Myanmar itu belum pernah diceritakan dalam mana-mana medium sebelum ini.
Lalu, apabila Michelle memberikan skrip tulisan Rebecca Fryn kepadanya, Luc berasa teruja untuk mengarahkan filem tersebut walaupun sebelum ini dia lebih selesa duduk di belakang tabir sebagai seorang penerbit.
Bagi Luc, kisah hidup Suu Kyi cukup menakjubkan sehingga dia menganggap ia hampir menyamai mana-mana karya agung Shakespeare.
"Semakin lama saya membaca skrip itu, saya berasa begitu dekat dengannya lalu membuat keputusan untuk mengarahkannya.
"Subjek tentang kehidupan Suu Kyi memang cukup menarik untuk diceritakan. Saya merasakan tiada pihak yang mahu menghasilkan filem tentang beliau adalah kerana tiada pelakon yang layak untuk menjadi Suu Kyi.
"Bukan senang hendak mencari pelakon yang mampu menzahirkan Suu Kyi dengan sempurna. Malah, watak itu tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pelakon.
"Adalah sesuatu yang mustahil jika watak Suu Kyi diberikan kepada Nicole Kidman misalnya. Jadi, sememangnya Michelle cukup layak untuk memainkan watak hebat ini," ujarnya bersungguh-sungguh.
Luc yang sebelum ini cukup terkenal dengan filem-filem aksi seperti Nikita, The Fifth Element dan The Messenger: The Story of Joan of Arc turut menjelaskan proses penggambaran filem The Lady merupakan antara yang paling mencabar baginya.
Apatah lagi, kerajaan Myanmar melarang pihaknya menjalani sebarang penggambaran di negara itu.
Sebagai alternatif, Luc memilih Bangkok, Thailand selain England. Malah, larangan tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik untuk filem berkenaan.
"Mungkin sebahagian daripada kita hanya mengetahui sedikit sahaja tentang kehidupan Suu Kyi. Tetapi jika dikaji sedalam-dalamnya, wanita berjiwa kental ini sebenarnya seorang ikon.
"Dalam masa dia mahu menuntut demokrasi untuk negaranya, dia juga perlu melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.
"Bayangkan bagaimana kesengsaraan yang perlu dihadapi oleh Suu Kyi selepas dia dikenakan tahanan dalam rumah selama hampir 15 tahun. Sehinggakan dia sendiri tidak dibenarkan melawat suaminya yang nazak dan sebaliknya.
"Menerusi filem ini, semuanya akan diceritakan. Saya percaya The Lady mampu memberi gambaran sebenar tentang kehidupan seorang wanita luar biasa," jelas Luc yang telah membina set yang agak besar terutama untuk babak di rumah dan bilik penjara Suu Kyi.
Seperti mana Michelle yang membuat penyelidikan terperinci tentang Suu Kyi, begitu juga dengan Luc yang telah melakukan banyak rujukan berdasarkan video dan buku.
Bukan itu sahaja, kebanyakan pelakon tambahan dalam filem ini merupakan rakyat Myanmar dan ada sesetengahnya pernah berhadapan dengan situasi sebenar ketika saat-saat genting insiden penangkapan Suu Kyi.
Malah, salah seorang pelakon kelahiran Myanmar, Thein Win yang memegang watak ahli anggota Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dalam The Lady pernah menghadiri mesyuarat bersama Suu Kyi pada tahun 1991.
"Sehinggakan dia menitiskan air mata apabila melihat Michelle yang tidak ubah seperti Suu Kyi. Babak Suu Kyi mengucapkan selamat jalan kepada anaknya juga benar-benar menyentuh hatinya seolah-olah situasi itu wujud kembali," kata Luc lagi.
Sempat juga Luc memberitahu pihaknya meminta bantuan Kedutaan Perancis di Yangon untuk menghantar mesej kepada Suu Kyi meminta kebenaran untuk bertemu dengannya secara peribadi.
"Saya menyangka dia tidak pernah ambil tahu tentang filem-filem saya tetapi anak kedua Suu Kyi, Kim memberitahu bahawa ibunya sedar akan kewujudan filem-filem tersebut," cerita Luc sambil ketawa.
Seperkara yang cukup dititikberatkan oleh Luc adalah keaslian jiwa Suu Kyi itu terpelihara agar masyarakat yang menonton filem itu mempunyai pemikiran tersendiri terhadap wanita tersebut.
The Lady yang sudah siap sepenuhnya akan memulakan tayangan perdananya pada Festival Filem Antarabangsa Rome yang berlangsung di Itali pada 27 Oktober hingga 4 November ini.
Bukan itu sahaja, The Lady juga ditayangkan kepada umum di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011 yang kini sedang berlangsung di Kanada sehingga 18 September ini.
Memandangkan musim anugerah kini sudah bermula, The Lady dilihat mampu memberikan saingan hebat kali ini sekali gus berpotensi untuk cemerlang di pentas anugerah.
Apakah keberkesanan watak Suu Kyi yang dilakonkan oleh Michelle Yeoh mampu memberikannya trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam semua festival filem termasuk Oscar nanti? Sama-sama kita nantikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: