Tuesday, September 13, 2011

Michelle umpama jelmaan Suu Kyi


KISAH hidup Aung San Suu Kyi akan dapat ditonton menerusi filem The Lady.


UNTUK melakar nama sebagai bintang bertaraf antarabangsa sememangnya memerlukan kerja keras dan usaha yang berlipat-lipat ganda.

Apatah lagi untuk seorang artis kelahiran Asia dan dari sebuah negara kecil seperti Malaysia. Harus diakui pelbagai kerenah perlu dihadapi apabila berhadapan dengan karyawan seni dari Barat khususnya.

Barangkali kejayaan Datuk Michelle Yeoh yang telah memahat namanya dengan begitu kemas di peta dunia membuktikan kesungguhannya membuahkan hasil yang cukup lumayan.

Semuanya bermula dengan watak Gadis Bond dalam filem Tomorrow Never Dies (1997), nama Michelle terus mekar sehingga dia dianggap sebagai pencetus semangat kepada bintang Asia lain yang mahu berjaya sepertinya.

Deretan filem-filem yang telah dibintangi Michelle membuktikan bahawa bakat yang dimilikinya tidak pernah dipandang enteng walau ada ketikanya Michelle cukup sedar akan watak yang diberikan sudah menjadi terlalu klise.

Hampir tiga dekad bergelar pelakon, kebanyakan filemnya adalah bercorak aksi.

Bukan merungut dengan setiap tawaran yang diberikan kepadanya, tetapi sebagai seorang aktres, Michelle mahu terus mencabar dirinya.

"Percaya atau tidak, menjadi seorang pelakon dari benua Asia, tawaran yang mendatangi saya semakin teruk.

"Bayangkan pada usia saya ketika ini, tiada lagi watak yang benar-benar sesuai untuk saya bawakan. Apakah setiap masa saya perlu berlakon dalam filem aksi sehingga ke akhir hayat saya?

"Apa yang boleh saya katakan, tiada lagi watak yang cukup bagus untuk wanita Asia seperti saya. Mahu atau tidak, kita sendiri harus mencarinya sendiri demi mengecapi kepuasan yang diinginkan," jelas wanita berusia 49 tahun itu panjang lebar membuka bicaranya.

Bernasib baik

Lantaran itu bekas Ratu Cantik Malaysia 1983 menganggap dirinya begitu bertuah dan bernasib baik apabila diberikan skrip yang cukup hebat menerusi filem The Lady.

Bagi Michelle, The Lady bukan sebuah filem biasa kerana watak yang dibawakannya dalam filem itu dianggap telah membuka lembaran hidup dalam kariernya sebagai seorang aktres.

Barangkali ketika ini umum sudah pun mengetahui Michelle membawakan watak Aung San Suu Kyi, seorang pemenang Anugerah Nobel dan pejuang demokrasi Myanmar yang dikagumi dunia.

Aanak kelahiran Ipoh, Perak itu menyifatkan tawaran filem itu yang diarahkan oleh Luc Besson datang tepat pada waktunya dan dihasilkan khusus untuk dirinya.

Kata Michelle, projek filem tentang kisah hidup Suu Kyi sebenarnya bermula sejak tiga tahun lalu apablia skrip dan lakon layarnya ditulis oleh Rebecca Frayn.

Apabila watak itu ditawarkan kepadanya, tanpa berfikir panjang, Michelle menyatakan persetujuan untuk membawakan watak tokoh demokrasi itu lalu menyiapkan dirinya dengan menyelami emosi, jiwa dan kehidupan Suu Kyi.

Untuk membawakan watak biografi atau watak sebenar bukan satu tugas yang mudah.

Begitu juga dengan Michelle. Dia sendiri perlu menjaga diet dengan melebihkan makan sayuran, buah-buahan dan makanan yang dikukus.

Tidak cukup dengan itu, dia juga mendisiplinkan dirinya dengan mengamalkan rejim senaman sehingga dia berjaya mendapat tubuh kurus sama seperti Suu Kyi.

"Saya harus akui untuk menjadi Suu Kyi menuntut kesabaran dan mencabar kredibiliti saya sebagai seorang aktres.

"Semuanya perlu dilakukan secara terperinci. Saya sendiri harus menyelidik dan memahami dunia Suu Kyi yang sebenar. Apatah lagi, saya melakonkan watak seorang pemimpin yang masih hidup.

"Saya tidak mahu hanya melakukan mimik muka dan ia juga tidak mencukupi jika saya hanya mengikut lenggok tubuhnya serta bercakap sepertinya.

"Saya percaya telah melakukan sebaik mungkin dan saya sendiri puas hati dengan komitmen untuk The Lady. Lebih mengharukan saya, apabila rakyat Myanmar yang terlibat sebagai pelakon tambahan dalam filem ini melihat saya sebagai jelmaan Suu Kyi. Sehingga mereka menggelarkan saya sebagai Daw Suu (Makcik Suu)," jelas Michelle yang telah menghabiskan sebahagian daripada waktu lapangnya dengan menonton pelbagai video temu ramah Suu Kyi semata-mata mahu mempelajari karakter wanita berjiwa kental itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: