Aktor versatil, Johnny Depp, kembali dengan filem terbaru, The Rum Diary, yang bakal ditayangkan pada 23 Oktober ini. Kali ini, bintang kesayangan ramai ini beraksi sebagai seorang wartawan di sebuah akhbar. Membawa watak sebagai Paul Kemp, kehidupan wartawan, bukanlah seindah yang disangka. Apatah lagi karyanya sering dimanipulasikan oleh editor yang tidak menyukainya.
Sehinggalah, Paul jatuh cinta dengan seorang wanita cantik bernama, Chenault (Amber Heard). Namun, wanita idamannya itu merupakan tunangan kepada seorang pengusaha berjaya, Sanderson (Aaron Eckhart). Untuk mendampingi Chenault, Paul harus mendekati Sanderson, sehingga menuntut pengorbanan besar daripadanya.
Mendapatkan khidmat, Bruce Robinson, sebagai pengarah, filem yang membabitkan kos RM200 juta ini, turut dibintangi Amber Heard dan Aaron Eckhart.
Diadaptasi daripada novel rakan baiknya, Hunter S Thompson, filem ini adalah salah satu projek lama dinanti-nantikan Depp. Malah, filem ini juga merupakan projek terbesar Depp. Selain beraksi sebagai pelakon utama, Depp juga bertindak sebagai produser.
Menurut Bruce Robinson, Depp merupakan individu pertama yang berjaya memujuknya untuk mengarahkan filem ini.
"Sebenarnya, saya sudah tidak mahu terlibat dengan mana-mana pembikinan filem. Tetapi kesungguhan Depp memujuk saya, membuatkan saya akur. Itu pun dengan syarat, kalau dia turut serta dalam filem ini.
"Kehebatan Depp menjiwai watak memang tidak dinafikan. Dia memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang pembikinan filem ini. Malah dia sanggup melakukan aksi menyembur api seperti mana yang dapat dilihat dalam pertunjukan sarkas.
"Walaupun kita boleh mengupah stuntman, namun Depp sendiri yang mahu melalukannya. Ia membuatkan saya benar-benar kagum kepadanya," kata Robinson yang pernah mengarah filem Withnail and I (1987), How to Get Ahead in Advertising (1989) dan Jennifer 8 (1992).
Keberanian Deep melakukan aksi itu, menonjolkan kredibilitinya sebagai pelakon yang cukup versatil. Aura yang dimilikinya juga sangat kuat, maka tidak hairanlah setiap filem lakonannya pasti akan mencatatkan kutipan pecah panggung dan memberikan keuntungan berlipat ganda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: