Sunday, September 4, 2011

Hammudi berkorban demi syarikat

HAMMUDI...bangga dengan Elhajj.
HAMMUDI...bangga dengan Elhajj.

MELIHAT sikapnya yang gemar bergurau serta berpenampilan sederhana, mungkin ada yang tidak menyangka beliau sebenarnya pengarah syarikat rangkaian produk di pasar raya ternama seperti Tesco dan Mydin.

Pengarah Urusan Syarikat Elhajj, Muhammad Hammudi Muhammad Khalid yang berperanan dalam membangunkan satu rangkaian produk penjagaan diri khusus untuk jemaah haji, mempunyai tarikan sendiri dalam memperlihatkan karismanya sebagai ahli perniagaan.

  • Foto

    KEPERCAYAAN...Mazlan (kiri) orang kanannya sentiasa menyokong produk beliau.

  • Foto

    SUCI...sesuai dipakai ketika berihram.

  • Foto

    BAHAGIA...keluarga menyokong dan tidak putus-putus memberi semangat kepada beliau.

  • Foto

    SANTAI...ketika bercuti di Mesir bersama keluarga.

Meskipun mempunyai karakter mudah didekati serta murah dengan senyuman, tidak bermaksud beliau kurang serius perihal syarikat.

Malah, beliau penuh komited menanam impian menjadikan produknya sebagai perintis kepada produk kecantikan halal sedia ada dalam pasaran.


Menurut lelaki berusia 40 tahun ini, kejayaan dikecapi bukan datang bergolek tetapi berkat kesabaran beliau dan kakitangan yang setia bersama dalam memajukan produk halal berkenaan.


Katanya, dia umpama layang-layang putus tali satu ketika dulu apabila mengambil keputusan berhenti daripada kerjanya sebagai jurutera sebuah kilang.

“Sebaik menamatkan pengajian di luar negara, saya ditawarkan jawatan jurutera di sebuah kilang. Meskipun pendapatan ditawarkan lumayan, saya tidak pernah gembira dengan apa saya lakukan ketika itu.

“Seawal pagi saya terpaksa keluar untuk sampai awal ke tempat kerja dan pulang hanya ketika malam menjelma. Waktu itu saya rasa hidup kosong dan bosan melalui rutin sedemikian setiap hari. Saya terus mengambil keputusan berhenti dan mencari kerja baru,” katanya.

Menurut Hammudi, dia menganggur seketika dan mencuba pelbagai jenis pekerjaan sebelum memutuskan untuk menceburi bidang perniagaan.

Pada 2003, abangnya yang juga doktor menyarankan dia mengusahakan produk untuk kegunaan jemaah haji kerana ketika itu tiada produk seumpamanya di pasaran.

Dia menjalankan kajian mengenai produk luar negara yang berada di pasaran dan menyesuaikan produk dihasilkan syarikatnya bagi kegunaan jemaah ketika berihram di samping melindungi kulit daripada cuaca panas di Tanah Suci Makkah.

“Tidak dinafikan cabaran mencari bahan sesuai untuk kulit dan kegunaan jemaah pergi berihram perlu saya selidiki dengan teliti.

“Mujur ada bantuan daripada pakar tertentu seperti pihak hub-halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menentukan bahan itu suci untuk kegunaan orang berihram serta beribadah,” katanya sambil mendakwa produknya bebas lemak haiwan, bahan pewangi dan alkohol.

“Halal bukan setakat bahan digunakan, malah modal disuntik untuk setiap produk mestilah daripada sumber halal.

“Sukar bagi saya membuat pinjaman sewenang-wenangnya kerana perlu memastikan pinjaman itu bebas daripada faedah (riba) dan menurut sistem kewangan Islam.

“Mujur keluarga dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sudi memberi pinjaman tanpa mengenakan faedah kepada saya,” katanya.

Lantaran membantu mengurangkan bebanan kewangan, beliau hanya mengambil gaji bulanan RM350 sebulan sementara pekerja diupah menikmati gaji pasaran.

Selama tiga tahun dia rela berkorban dengan memperoleh pendapatan sedemikian bagi memastikan hutang ditanggung dalam membangunkan produk dapat dilangsai pada kadar segera.

Menyingkap kenangan manis sepanjang bergelar Pengarah Elhajj, Hamudi menyifatkan 2005 sebagai tahun terbaik untuknya.

Meskipun ketika itu usia perniagaan baru tiga tahun dalam pasaran, syarikatnya dipilih untuk menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin bagi produk barangan halal di Malaysia.

Dia berkata, tahun kedua menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), dia tidak sangka mendapat penghormatan daripada pihak penganjur.

“Saya bersyukur kerana di sebalik produk halal untuk kemudahan jemaah haji, kami dipilih sebagai syarikat yang menerima kunjungan khas Yang di-Pertuan Agong.

“Waktu itu tiada kata-kata boleh digunakan untuk mengungkap kegembiraan saya kerana keberkatan menjalankan perniagaan ini membolehkan saya bertemu pemerintah tertinggi negara.

“Malah, kenangan ketika susah dulu bertukar menjadi pengalaman manis yang tidak dapat saya ungkapkan. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai ‘kepuasan’ oleh mereka yang berjaya,” katanya.

Anak jati Pulau Pinang ini tetap berbangga menjadi pengasas kepada produk penjagaan kulit bagi jemaah haji yang menunaikan ibadat berkenaan di kota Makkah.

Produknya bukan saja dipakai oleh jemaah Malaysia tetapi turut dieksport untuk pasaran luar negara seperti Afrika Selatan, Indonesia, Brunei, Singapura, United Kingdom dan Maldives.

Bukti dirinya begitu komited dengan produknya, beliau tidak kekok bertemu pelanggan setiap kali berpeluang menyertai ekspo perniagaan seperti Mihas.

Katanya, dengan bertemu jemaah haji atau pelanggan, dia dapat mengetahui kemahuan pelanggannya dari semasa ke semasa.



PROFIL

NAMA: Muhammad Hammudi Abdul Khalid
UMUR: 40 tahun
ASAL: Pulau Pinang
KELULUSAN: Diploma dalam kejuruteraan tekstil daripada Institut Teknologi Mara (kini UiTM)
ISTERI: Zuhaine Zulkarnain
ANAK: Eddina dan Hafiy Idin

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: