Tuesday, September 6, 2011

Firma AS labur RM1b di Cyberjaya

pix_gal0
Komitmen pelaburan untuk tempoh lapan tahun sudah dilulus MIDA

MSC Malaysia bakal menerima pelaburan baru membabitkan sebuah syarikat multimedia terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) yang merancang melabur kira-kira RM1 bilion bagi membuka operasinya di Cyberjaya.
Ketua Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali, berkata komitmen pelaburan untuk tempoh lapan tahun itu sudah diluluskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) baru-baru ini.
Beliau berkata, syarikat terbabit mengadakan pertemuan dengan beliau ketika misi perdagangan Malaysia ke AS Mei lalu, bagi menyatakan hasrat untuk beroperasi di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

“Nama syarikat itu biarlah kerajaan yang umumkan. Insya-Allah tidak lama lagi, kerana syarikat ini mahu segera beroperasi di Malaysia dan kita perlu menyegerakan kertas kerja supaya mereka boleh bermula hujung tahun ini.

“Kesediaan mereka untuk beroperasi di kawasan MSC adalah petunjuk yang baik dan membuktikan keyakinan mereka terhadap persekitaran ekonomi negara ini,” katanya dalam temubual dengan Berita Harian baru-baru ini.

Badlisham berkata, selain syarikat itu, pihaknya turut mengemukakan dua lagi permohonan syarikat AS yang mahu melabur di Malaysia kepada pihak kerajaan dan MIDA.
Katanya, permohonan kedua-dua syarikat berkaitan perkhidmatan teknologi maklumat (IT), perisian dan penyumberan luar itu masih lagi dalam perincian dan jika tiada masalah permohonan mereka akan diluluskan tidak lama lagi.

Badlisham berkata, minat ketiga-tiga pelabur AS itu membuktikan kepercayaan yang tinggi dikalangan pelabur negara itu terhadap pengembangan dan kestabilan ekonomi negara bagi memenuhi keperluan pengembangan operasi mereka.

Katanya, krisis di zon Euro, kos operasi yang tinggi dan persekitaran ekonomi mencabar di AS dan Eropah memberikan tekanan kepada syarikat berkaitan ICT di AS sekali gus membuka laluan untuk mereka mengembangkan operasi ke pasaran baru khususnya Asia.

Beliau berkata, pelabur AS khususnya yang terbabit dalam industri IT dan penyumberan luar tidak hanya meninjau menjimatkan operasi tetapi juga berhasrat memiliki pelaburan dan operasi lain di beberapa negara berpotensi di Asia seperti India dan China.

“Justeru, Malaysia sentiasa menjadi negara yang paling menarik bukan hanya dari segi penjimatan kos operasi tetapi juga perkhidmatan yang ditawarkan dan kedudukannya yang sebahagian daripada rantau Asia ini.

“Khususnya dikalangan penyedia perkhidmatan perisian dan IT, keyakinan mereka terhadap Malaysia kini terus meningkat dan isu kos operasi yang tinggi di Eropah dan AS kekal menjadi perangsang utama kepada mereka untuk datang ke Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: