Tuesday, September 6, 2011

Berang jalan taman retak

  • Foto

    AZMAN (kanan) menunjukkan retakan jalan di Taman Puncak Bertam.

  • Foto

    PENDUDUK Taman Puncak Bertam membuat bantahan kepada pemaju yang gagal menyelesaikan masalah penduduk.

Penduduk Puncak Bertam sudah lama bersabar, harap dibaiki segera

MELAKA TENGAH: Kira-kira 2,000 penduduk Taman Puncak Bertam, Cheng, dekat sini, berang dengan sikap pemaju taman perumahan itu yang didakwa gagal menjalankan tanggungjawab dengan berkesan di taman perumahan itu sejak mereka menetap di situ kira-kira dua tahun lalu.
Akibat sikap itu, penduduk kini terpaksa berdepan masalah laluan yang sudah retak sehingga menimbulkan kebimbangan setiap kali melaluinya, selain isu tiada jaminan keselamatan gara-gara kawalan keselamatan longgar.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Puncak Bertam, Datuk Azman Ismail, berkata penduduk di kawasan itu sudah lama bersabar dan berharap tindakan segera diambil bagi mengatasi isu berkenaan selepas beberapa aduan rasmi dikemukakan kepada pemaju.

Namun, katanya, sehingga kini, tidak ada maklum balas diterima dari pihak terbabit.

"Kami sudah tidak dapat bersabar dengan sikap pemaju ini dan berharap usaha kami dengan memanggil media dapat dapat membuka mata mereka selain pihak berkuasa," katanya selepas menyertai kira-kira 30 penduduk taman itu mengadakan bantahan terhadap pemaju taman berkenaan.

Azman berkata, setiap pemilik rumah di taman itu dikenakan yuran penyelenggaraan dan keselamatan setiap tahun, namun perkhidmatan yang diberi dilihat tidak berbaloi dengan apa dibayar oleh mereka.
Contoh katanya, setiap penduduk di situ sepatutnya dapat menggunakan kad khas untuk memudahkan kenderaan mereka keluar masuk ke taman berkenaan, tetapi sudah empat bulan tidak dapat menggunakannya kerana didakwa menghadapi masalah perisian.

Selain itu, katanya, kejadian pecah rumah seorang penduduk sehingga mengalami kerugian kira-kira RM20,000 membuktikan kelemahan sistem kawalan keselamatan di kawasan itu.

“Kami dapati beberapa pagar kawad duri yang dipasang di sekitar kawasan taman perumahan ini sudah dipotong oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga memudahkan sesiapa saja memasuki kawasan perumahan ini,” katanya.

Seorang penduduk, Simon Tan Chee Haw, 31, pula berasa kecewa dengan sikap pemaju yang memandang ringan tahap keselamatan di kawasan itu sehingga memudahkan penceroboh masuk.

“Apa gunanya penduduk di sini membayar yuran keselamatan antara RM600 hingga RM1,200 setahun jika kejadian jenayah masih boleh berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: