Tuesday, September 27, 2011

Demi masa depan terumbu karang



MALAYSIA adalah di antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia yang kaya dengan sumber asli dan kepelbagaian biologi atau biodiversiti.

Di antara banyak lokasi dalam negara yang dimaksudkan, Pulau Tioman adalah khazanah perairan yang menawarkan habitat hidupan marin yang unik dan mempersonakan.

Rekod di Taman Laut Pulau Tioman sahaja menjadi rumah kepada lebih kurang 221 spesies terumbu karang ekstensif, 233 spesies ikan karang dan 61 spesies hidupan marin lain.

Bagi memastikan kekayaan ekosistem itu sentiasa dilindungi, tanggungjawab tersebut terletak di tangan pihak Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) yang ditubuhkan sejak 2007 lagi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Jabatan itu bertanggungjawab mengurus dan mentadbir 42 kawasan perairan taman-taman laut dengan keluasan yang digazet iaitu 235,723 hektar.


KUMPULAN penyelam JTLM yang bertauliah juga akan membuat penandaan, pemetaan dan kajian tentang kewujudan spesies baharu karang laut dan spesies marin lain.


Pemantauan JTLM di zon yang dalam lingkungan radius dua batu nautika dari Pulau Tioman turut menjangkaui usaha mengekang pencerobohan bot asing yang dikhuatiri merosak serta memusnahkan spesies-spesies unik yang terdapat di perairan pulau tersebut.

Seorang anggota penguat kuasa JTLM Pulau Tioman, Anuar Safia, 38, yang berkhidmat selama 15 tahun tampil berkongsi pengalaman dan peranan jabatan itu dalam memelihara dan melindungi hidupan laut daripada tercemar akibat pencerobohan serta aktiviti terlarang.

Anuar berkata, terdapat beberapa faktor kepada kemusnahan terumbu karang, timun laut dan banyak lagi spesies marin di Tioman serta pulau-pulau lain di bawah perlindungan JTLM.

Jelasnya, kelunturan terumbu karang antara lain diakibatkan isu pemanasan global. Karang bertindak balas dengan tekanan sinaran matahari yang lebih kuat daripada biasa yang sekali gus meningkatkan suhu laut.

Tekanan tersebut akan menyebabkan alga dan hidupan pemberi nutrisi dan warna kepada batu karang menghilang.

Pihak JTLM juga mengendalikan kes yang berkaitan aktiviti mengebom ikan oleh penceroboh taman laut. Perbuatan tersebut juga menyumbang kepada kemusnahan terumbu karang selain daripada ancaman aktiviti pelancongan yang tidak terkawal.

“Sebagai contoh, penggunaan bot berkuasa tinggi, melabuhkan sauh di kawasan terumbu karang dan pembinaan sebarang struktur di kawasan perairan taman laut boleh memberi kesan kepada hidupan marin,” ujarnya.

Itu belum lagi bercakap lebih lanjut mengenai tabiat manusia yang membuang bahan tercemar ke dalam laut atau memijak serta menyentuh batu karang ketika melakukan aktiviti snorkeling dan selam skuba.

Jelas Anuar, walaupun situasi pemanasan suhu laut itu buat masa ini tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan fenomena sejagat, namun pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa demi memastikan terumbu karang dan spesies sensitif lain dilindungi.

Selain usaha meningkatkan pengetahuan dalam kalangan mereka yang melawat taman laut, JTLM juga bertanggungjawab untuk menutup kawasan terumbu karang yang diancam masalah kelunturan bagi usaha-usaha pemuliharaan.

Usaha pemuliharaan

“Kita juga melakukan proses pemindahan dan penanaman semula karang laut ini sedalam 30 hingga 40 kaki di dalam laut.

“Selalunya, kita akan memindah dan menanam semula karang tersebut ke lokasi lapang lain yang telah dikenal pasti. Semua itu membantu kelangsungan hayat terumbu karang seperti yang dilakukan baru-baru ini di Kampung Salang, Pulau Tioman,” katanya.

Pada masa yang sama, kerja memburu tapak sulaiman berduri (Acanthaster planci) yang digelar Crown of Thorns juga giat dilakukan secara berkala. Hidupan itu adalah antara ancaman nyata kerana sifatnya yang membunuh karang laut untuk dijadikan makanannya.

Selain usaha menyelamatkan terumbu karang, langkah kawalan tambahan juga dibuat demi keselamatan para pelancong taman laut yang mengikuti aktiviti snorkeling dan menyelam.


USAHA memberi kesedaran dan pengetahuan kepada generasi muda diwujudkan melalui perpustakaan yang disediakan JTLM.


Pihak JTLM aktif mengutip landak laut hitam untuk ditempatkan di kawasan lain.

Walaupun fizikalnya yang berduri membahayakan manusia kerana racunnya, landak laut sebenarnya mempunyai manfaat. Kehadirannya di lantai laut bertindak menyerap kekotoran dan secara keseluruhan membantu mengekalkan kejernihan air.

JTLM juga menguatkuasakan larangan aktiviti menangkap atau memancing ikan di kawasan lingkungan dua batu nautika dari pesisir pantai Pulau Tioman bagi melindungi spesies marin daripada pupus.

“Bagi memastikan kesemua usaha dan misi kami berjaya, kami sentiasa menjalankan program pendidikan tentang kehidupan laut supaya dapat dimanfaatkan para penduduk Pulau Tioman dan juga pelancong.

“Kita juga membuat pengezonan kawasan, menambah platform rehat terapung, meletakkan boya penanda kawasan dan menjalankan penyelidikan serta pemantauan berterusan agar khazanah berharga itu kekal selama-lamannya,” ujarnya dengan harapan.

Kapal 1 Permata

Pelancaran rasmi Kapal 1 Permata yang bersaiz 18 meter dengan kelajuan 34 knot dan boleh memuatkan sehingga 16 hingga 20 penumpang menjadi kebanggan JTLM. Ia digunakan untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Laut Pahang, Johor dan Terengganu.

Ketika ini, kekuatan anggota penguatkuasaan JTLM adalah seramai 138 orang dengan jumlah bot sebanyak 22 buah untuk operasi laut pada waktu malam.

Bot-bot sedia ada iaitu bot peronda laju kurang sesuai digunakan pada musim tengkujuh sekitar November hingga Januari setiap tahun kerana laut bergelora. Lagipun, ia tidak ideal untuk membendung aktiviti pencerobohan nelayan asing.

Kapal 1 Permata dengan saiz yang lebih besar dan kelajuan tinggi akan meningkatkan keupayaan JTLM menjalankan aktiviti penguatkuasaan pada musim monsun khususnya.

Bagi mengukuhkan mekanisme pemantauan, rondaan dan kawalan keselamatan, JTLM menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Polis Marin serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Musim tengkujuh diberi perhatian khas memandangkan banyak kes pencerobohan bot nelayan asing dalam kawasan perairan negara termasuk di pulau-pulau di bawah perlindungan taman laut berlaku dalam tempoh tersebut.

Kegiatan bot nelayan asing sering tertumpu di kawasan pulau-pulau yang terletak jauh dari daratan seperti gugusan Pulau Aur dan Pulau Pemanggil di Johor serta Pulau Tenggol di Terengganu serta beberapa perairan di Tioman.

Prospek dan undang-undang

Menurut Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Eagiman, sebanyak 42 perairan taman-taman laut di lima negeri iaitu Kedah, Pahang, Terengganu, Johor dan Sabah di bawah penyeliaan JTLM menyumbang kepada pendapatan ekopelancongan negara.

Jumlahnya dianggarkan sebanyak RM600 hingga RM800 juta setahun menerusi kunjungan kira-kira 500,000 pelancong setiap tahun. Di Pulau Tioman sahaja seramai 200,000 pelancong tempatan dan asing berkunjung setiap tahun.

Jelas beliau, dengan usaha menyeluruh meningkatkan ekopelancongan dan sumber ekonomi, penduduk tempatan secara tidak langsung boleh terlibat dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan seperti bot siar, snorkeling, selaman berbimbing dan kemudahan penginapan.

Secara tidak langsung, ia menambah pendapatan harian seterusnya meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.


LEBIH banyak platform terapung dibina di taman laut untuk membolehkan pengunjung berehat.


Sukarno menegaskan, pihaknya juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang secara mikro iaitu membabitkan anggota JTLM melakukan penyelaman bagi mengenal pasti kesalahan pelancong yang merosakkan karang laut.

“Ia adalah tambahan kepada penguatkuasaan makro sekarang seperti kesalahan menangkap ikan dan melabuhkan sauh dalam kawasan taman laut mengikut peraturan-peraturan perikanan (Kawasan Larangan) Akta Perikanan 1985,” ujar beliau.

Pada tahun 2010, sebanyak 47 kes tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kategori vesel atas pelbagai kesalahan yang melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM110,800. Pada tahun sebelumnya, sebanyak 72 kes berkaitan isu yang sama dikendalikan pihak JTLM dan kebanyakannya mengenai pencerobohan taman laut.

“Selepas ini penguatkuasaan pemantauan akan dilakukan lebih kerap terhadap kesalahan pelancong ketika snorkeling dan menyelam skuba serta penceroboh taman laut negara kita,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment