Monday, September 26, 2011

Cara Tiz Zaqyah Jaga Kecantikan

DARIPADA sudut lakonan, pelakon muda bernama Tiz Zaqyah, 22, (gambar) ini sering dipuji kerana kemampuannya menjiwai setiap watak yang diberikan. Percaya atau tidak, apabila bercerita tentang mutu lakonan, jarang benar kita mendengar kritikan mengenainya.

Selepas tampil dengan drama dan filem Nur Kasih yang menaikkan namanya di persada seni ini, wajahnya sering muncul dalam drama dan telefilem popular seperti Spa Qistina, Gemilang, Keabadian Cinta, Tahajjud Cinta dan terbaru Soffiya.

Biarpun lakonannya sering dipuji, Tiz akui tidak mahu termakan dengan pujian itu sehingga boleh menjadikan dirinya alpa mengenai siapa dirinya yang sebenar.

“Saya masih ingat siapa diri saya dan berjanji tidak akan berubah sikap. Saya tahu pujian akan membuatkan saya jadi lalai.

“Saya ambil positif dengan setiap pujian yang diberikan. Tetapi saya tidak kerja untuk mendapat pujian sebaliknya selesa jika ada orang menghargai kerjaya saya,” katanya kepada OopStarz!

Walaupun namanya sering menjadi sebutan ramai, namun Tiz begitu realistik dan rasional dalam menerima tawaran lakonan.

Ini kerana dia sangat mementingkan kualiti lakonannya dan sebab itu memilih untuk menjadi seorang yang bersikap selektif.

Malah, dia juga sangat selesa berlakon drama berbanding filem. Bagaimanapun, dia masih menerima tawaran berlakon filem seperti Cinta Si Kura Kura yang akan muncul di pawagam tidak lama lagi.

Tiz juga tidak lokek untuk berkomunikasi dengan peminat sehingga mewujudkan laman Facebook iaitu Tiz Zaqyah Zak yang sudah mempunyai lebih 18,000 peminat.

Obses untuk cantik

Beralih kepada soal kecantikan, pelakon yang mempunyai kecantikan asli ini akui tidak terlalu obses untuk tampak cantik.

“Saya tidak menggunakan banyak produk kecantikan atau mengamalkan petua tradisional tetapi banyak bertanya kepada orang lain.

“Misalnya saya berkongsi rahsia kecantikan dengan pelakon Izara Aishah yang sama-sama muda seperti saya kerana saya cepat terpesona dengan kecantikan wanita.

“Namun, sehingga sekarang saya masih belum menemui jalan penyelesaian kepada masalah kulit kering yang dialami sejak dulu.

“Ramai yang nasihatkan saya untuk minum banyak air. Kadangkala apabila terlalu sibuk, saya menjadi cepat leka sehingga orang lain pula yang perlu ingatkan saya untuk minum air.

“Saya pula bukanlah jenis suka minum air suam terlalu banyak, jadi sebab itu saya mencabar diri-sendiri untuk mengamalkan aktiviti meminum air yang banyak setiap hari,” katanya lagi.

Tambahnya, akibat kulit yang terlalu kering jurusolek pernah merungut kerana masalah itu menyebabkan mukanya sukar untuk disolek dengan baik.

Atas faktor itulah yang menyebabkan Tiz tidak akan kekal menggunakan sesuatu produk kecantikan dalam masa yang lama dan sering bertukar-tukar produk sekiranya merasakan sesuatu produk itu tidak sesuai dengan kulitnya.

Mengakui dirinya sukar untuk berdisiplin tentang soal kecantikan, Tiz masih meluangkan masanya untuk merawat wajahnya dengan memakai topeng muka berperisa lobak merah dan melakukan urutan badan tradisional Thai untuk menghilangkan lenguh serta tekanan.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: