Monday, September 12, 2011

Dasar Angkasa Negara penentu hala tuju


Pembangunan kemudahan berkaitan angkasa sedang rancak dijalankan.


Selain pertambahan infrastruktur berkaitan angkasa yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) seperti Observatori Negara Langkawi (ONL) yang telah dirasmikan awal tahun ini, pembangunan sektor angkasa negara mengorak langkah ke hadapan dengan wujudnya dokumen Dasar Angkasa Negara.

Dokumen Dasar Angkasa tersebut yang sedang dalam peringkat akhir draf akan menjadi pemangkin bagi pembangunan sektor angkasa negara masa hadapan, termasuk pembangunan sektor industri angkasa, yang mana Angkasa akan bertindak sebagai agensi penggerak utama.

"Dijangka sebelum akhir tahun ini (Dasar Angkasa Negara ) akan siap ,'' ujar Ketua Pengarah Angkasa Dr. Mustafa Din Subari ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Dasar itu penting sebagai memenuhi keperluan rangka kerja dan hala tuju dalam membangunkan sektor angkasa yang strategik dan penting bagi negara.

Ia juga sebagai kerangka dan garis panduan untuk memandu industri angkasa negara dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu sehingga 2020.

Tempoh 10 tahun diambil kerana sektor angkasa sentiasa berubah dan dasar juga perlu berubah bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa.

Dengan adanya dasar baru itu, sektor angkasa akan diiktiraf sebagai sektor baru yang strategik yang boleh menjana ekonomi baru bagi negara di samping meningkatkan keupayaan negara di dalam teknologi tinggi bagi tujuan keselamatan.

Sembilan kumpulan kerja yang melibatkan beberapa kementerian dan jabatan persekutuan serta pihak industri telah terlibat bagi menggubal dasar tersebut.

Mereka ialah kumpulan kerja satelit komunikasi, satelit navigasi, remote sensing (penderiaan jauh atau pencerapan bumi), undang-undang angkasa, sumber manusia, pendidikan dan kesedaran awam, penyelidikan dan pembangunan (R&D), industri angkasa dan teknologi angkasa.

Sebelum ini dengan ketiadaan Dasar Angkasa Negara, semua aktiviti berkaitan angkasa termasuk perkembangan sektor industrinya hanyalah dibuat atas faktor komersial.

Sebagai contoh, penggunaan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) begitu meluas kerana ada pihak yang bersedia menjualnya secara komersial untuk pengguna.

Dengan adanya dasar angkasa itu, pembangunan sektor angkasa akan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti hiliran seperti aplikasi bagi satelit telekomunikasi, satelit navigasi dan satelit atau remote sensing, yang dijangka menjadi industri penting bagi penjanaan ekonomi baru negara.

Menurut Dr. Mustafa, baru-baru ini juga Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan antara kementerian dan juga agensi-agensi berkaitan angkasa.

Jawatankuasa Angkasa Negara (Jangka) itu dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Ia turut dianggotai oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komuniti (KPPK), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Turut terlibat ialah Kementerian Luar, Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Kewangan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Jabatan Penerbangan Awam dan wakil Industri - Aeronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB), dan MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd.

Jangka yang akan membincang dan mencadangkan program berkaitan angkasa bagi negara akan melaporkan kepada hasil perbincangan kepada Majlis Aeroangkasa Malaysia ( MAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Ini kerana kata Dr. Mustafa, bidang angkasa setakat ini masih terletak dalam bidang aeroangkasa.

Selain dokumen Dasar Angkasa Negara, Angkasa juga sedang dalam usaha mewujudkan satu akta berkaitan angkasa iaitu Akta Angkasa Lepas Malaysia.

Akta tersebut penting untuk mengawal selia aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa seperti pelancaran dan pengoperasian satelit, pendaftaran objek yang dilancarkan ke angkasa lepas, pengoperasian stesen Bumi dan aktiviti lain yang berkaitan.

Menurut Dr. Mustafa, setiap pelancaran dan pengoperasian satelit yang dimiliki oleh rakyat ataupun syarikat Malaysia perlu diberi lesen dan Angkasa atau pun entiti lain yang akan ditentukan oleh kerajaan akan diwujudkan sebagai pihak bertanggungjawab pengeluaran lesen pada masa akan datang selepas akta tersebut diwartakan.

Malaysia juga, kata beliau, memerlukan akta tersebut bagi membolehkan kerajaan menjayakan beberapa perjanjian angkasa lepas antarabangsa yang telah ditandatangani oleh Malaysia tetapi belum lagi disahkan.

Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia perlu sebagai contoh, bertanggung jawab terhadap apa juga operasi satelit milik rakyat atau syarikat Malaysia.

Sekiranya berlaku masalah, ia adalah tertakluk di bawah tanggungjawab kerajaan.

Bagaimanapun, apabila akta yang bakal diwujudkan diguna pakai, tanggungjawab tersebut dipindahkan kepada pemilik satelit berkenaan.

Ketika ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merupakan badan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen untuk kebenaran menggunakan julat frekuensi gelombang sahaja.

"Akta ini juga penting dalam mengawal selian aktiviti pelancongan angkasa sekiranya ada pihak yang membangunkannya di negara ini.

"Input awal ke arah penggubalan akta kini sedang dikumpulkan menerusi mesyuarat, seminar, bengkel melibatkan pelbagai pihak termasuk Pejabat Peguam Negara berkenaan dengan undang-undang dan juga universiti berkenaan dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Akta akan bertindak sebagai kenderaan kepada Dasar Angkasa Negara," kata Dr. Mustafa .

Dalam pada itu, program kesedaran dan pendidikan juga terus dilaksanakan untuk pelbagai peringkat lapisan kumpulan sasar termasuk sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar universiti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: