Monday, September 12, 2011

Misi Gaza Farah


FARAH (duduk, bertudung hitam) bersama Angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan ahli Mapin yang menyertai misi Radig2 di Gaza, Palestin, baru-baru ini.


KEBANYAKAN mahasiswa dan mahasiswi lebih gemar melakukan aktiviti yang bermanfaat bersama keluarga atau bekerja separuh masa sepanjang cuti semester institusi pengajian tinggi (IPT) baru-baru ini.

Namun perkara itu berbeza bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Farah Afzan Faridi, 23, yang menghabiskan masa cuti semester dengan melakukan kerja amal bersama anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyertai misi Ramadan Ke Gaza Kedua (Radig2) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Dalam misi amal itu, Farah diamanahkan untuk melihat keadaan mahasiswa di Palestin dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar.

Menurut Farah, pada hari pertama di Gaza, dia dan ahli MAPIM dibawa menemui Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri Seni dan Kebudayaan, Menteri Wanita dan Hal Ehwal Masyarakat Palestin serta NGO tempatan yang membantu wanita kurang upaya, wanita kematian suami dan anak-anak yatim.

Misi rombongan itu juga menjalinkan jaringan persahabatan dengan pelajar universiti, pegawai kerajaan, dan NGO di Gaza di samping melawat ahli keluarga rakyat Palestin yang menderita.

Pergerakan yang sangat terbatas akibat serangan udara yang dilakukan tentera Israel tanpa henti menyebabkan Farah dan ahli Mapim yang lain tidak berkesempatan untuk melawat Hospital Gaza kecuali Kumpulan Perubatan.

Bagaimanapun, Farah berkata, mereka berpeluang melawat hospital kanak-kanak yang baru dibina dan mengedarkan bungkusan gula-gula.

Bersama tiga wanita lain yang menyertai rombongan itu, dia merasai sendiri pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila terdedah dengan suasana dentuman bom berhampiran hotel penginapannya.

"Kawasan berhampiran hotel kami yang dianggap tempat paling selamat di Gaza tiba-tiba diserang bom beberapa kali sepanjang berada di sana," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengalaman yang turut menyentuh perasaan Farah ialah ketika menunaikan solat isyak, terawih dan witir yang diimamkan sendiri Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Dia kagum apabila melihat Ismail seorang pemimpin yang sentiasa senyum walaupun berdepan dengan maut pada setiap masa dan diberi tekanan serta kecaman oleh regim Israel.

"Pergerakannya terbatas namun Ismail yang merupakan seorang pemimpin negara sentiasa senyum dan tenang ketika beliau bersama rakyat meraikan saat berbuka puasa dan majlis tahfiz," katanya.

Farah menambah, anak muda dan generasi baru di Gaza memainkan peranan penting untuk membentuk negara yang sempurna walaupun dalam keadaan kucar-kacir.

Menurutnya, wanita Gaza sentiasa mendidik dan mentarbiyah anak mereka yang ditugaskan sebagai seorang mujahid dan pejuang Islam bagi menentang kezaliman.

Katanya, walaupun kehidupan mereka di sana amat perit dan sentiasa berdepan dengan saat-saat kematian pada bila-bila masa, namun mereka tetap cekal dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Sehubungan itu, beliau menyeru anak muda Malaysia termasuk mahasiswa IPT supaya memainkan peranan penting bagi mempertahan keamanan dan keselamatan negara daripada anasir serta ancaman dari dalam mahupun luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: