Sunday, September 4, 2011

Berjaya catat 611,888 tendangan

IKTIRAF...berjaya melakukan 611,888 tendangan.
IKTIRAF...berjaya melakukan 611,888 tendangan.

MELAKUKAN 611,888 tendangan tanpa henti secara bergilir-gilir dalam 24 jam mungkin kedengaran memenatkan, namun bagi seramai 520 pelajar Management & Science University (MSU), semangat untuk mencatat sesuatu yang membanggakan mengatasi segala-galanya.

Bukan sekadar aktiviti biasa, ia sebaliknya berjaya mendapat pengiktirafan dari Malaysian Book of Records (MBR) sebagai tendangan terbanyak, sekali gus meleburkan rekod terdahulu.

  • Foto

    GIGIH...jelas terlihat kesungguhan.

  • Foto

    BERANI...sanggup berjuang demi nama universiti.

Aktiviti berkenaan turut disertai pelbagai persatuan seni mempertahankan diri di bawah MSU seperti Kelab Gayung Fatani, Seni Silat Gayung Malaysia, Silat Cekak Hanafi dan Taekwondo ITF yang menyaksikan pembabitan pelajar daripada pelbagai kursus.

Pengarah Program, Abdul Qaiyyum Mahamod, 23, berkata idea untuk memecah­kan rekod itu tercetus dari Unit Pembangunan Pelajar (UPP) yang mahu menganjurkan satu aktiviti yang boleh mengharumkan nama MSU.


Katanya, semua pelajar dibahagikan kepada 125 kumpulan, yang mana seramai tujuh orang dalam satu kumpulan dan mereka ini diberi masa 30 minit untuk melakukan tendangan.


“Hanya 20 slipper target disediakan dan peserta perlu bergilir-gilir melakukan tendangan sehingga tamat tempoh ditetapkan. Namun jumlah tendangan tidak dihadkan, sebaliknya bergantung kepada kemampuan seseorang.

“Setiap tendangan direkod secara sistematik bagi mengelak kekeliruan jumlah tenda­ngan yang boleh menjejaskan misi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya mereka hanya menganjurkan acara tendangan seni mempertahankan diri yang terbuka kepada pelajar MSU, namun apabila melihat sambutan diberi, terlintas untuk menganjurkan acara lebih besar.

Acara dimulakan pada 10.50 pagi dan berakhir jam sama keesokan harinya itu menyaksikan pembabitan ramai pelajar dan yang membanggakan, mereka melakukannya bukan untuk diri sendiri, sebaliknya untuk MSU.

Memikul tanggungjawab sebagai pengarah program sememangnya berat kerana dia perlu memastikan semuanya berjalan lancar.

Abdul Qaiyyum berkata, cabaran terbesar dihadapinya selama tempoh 24 jam itu adalah kekurangan peserta pada waktu malam dan awal pagi kerana ketika itu keba­nyakan pelajar tidak ada di kawasan kampus.

Mengetahui keadaan itu akan terjadi, dia mewujudkan kumpulan ‘hardcore’ membabitkan seramai 150 ahli empat persatuan seni mempertahankan diri yang terbabit.

Dibahagikan kepada 15 kumpulan, setiap peserta melakukan tendangan selama 15 minit secara bergilir-gilir sebelum digantikan dengan kumpulan lain dan keadaan itu berterusan sehingga jumlah peserta lain bertambah.

“Memang mencabar, ter­utama pada awal pagi, kerana lazimnya saat itu adalah waktu tidur, namun mereka terpaksa menahan rasa mengantuk demi memastikan tendangan itu tidak terhenti.

“Walaupun adakalanya kepenatan, semangat untuk menamatkan tendangan sangat membara dan ia dapat dilihat daripada kesungguhan peserta,” katanya.

Tambahnya, bagi melancarkan sesi tendangan itu, dia membuat jadual dan peserta mengikut giliran berdasarkan jadual itu supaya tidak berlaku kekeliruan.

Kejayaan mereka mengatasi rekod dipegang Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang sebelum ini mencatat 109,945 tendangan.

Katanya, pada mulanya dia hanya meletakkan sasaran 300,000 tendangan kerana bimbang tidak dapat me­ngumpul jumlah peserta yang mencukupi.

“Walaupun pada mulanya kebimbangan menyelubungi saya, namun apabila melihat sambutan diberi, saya menarik nafas lega. Apa tidaknya, sasaran itu berjaya dicapai hanya dalam empat jam pertama ia berlangsung.

“Melihat pencapaian itu, saya mula mengubah jumlah sasaran kepada 600,000 tendangan dan apa yang meyakinkan saya bahawa kami berjaya mencatat jumlah tendangan yang banyak adalah sasaran kedua itu berjaya dicapai jam 3 pagi esoknya,” katanya.

Menjelang minit-minit terakhir sebelum jam menunjukkan angka 10.50 pagi, perasaan berdebar, terharu dan gembira semuanya bercampur aduk kerana penat lelah mereka selama 24 jam akhirnya berjaya mencatat kejayaan besar.

Katanya, kejayaan ini adalah milik bersama kerana masing-masing menyumbang keringat dan tenaga sendiri, malah ada di antara mereka bertindak sebagai penyokong yang membakar semangat peserta.

Melihat percubaan pertama­nya mencatat nama dalam MBR, Abdul Qaiyyum berkata, dia merancang memecahkan rekod lain yang bersesuaian.

Secara keseluruhan, dia menyifatkan acara berkenaan mencapai matlamatnya kerana tema acara adalah membuang sifat negatif dalam diri pelajar menerusi aktiviti berfaedah.

Katanya, ia secara tidak langsung memberi ‘kredit’ atau nilai tambah kepada pelajar sebagai bekalan untuk dicatat dalam resume apabila menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.

Bagi Mohd Hafiz Mastor, 24, dia terbabit secara langsung di sebalik tabir acara itu dan ia kali pertama dia mengendalikan acara dalam skala besar.

Katanya, dia termasuk dalam kumpulan ‘hardcore’ yang melakukan tendangan pada waktu kemuncak iaitu sekitar jam 12 tengah malam hingga 7 pagi kerana kebanyakan peserta sudah letih, ditambah pula mengantuk.

“Berjaga dan menendang selama 24 jam sememangnya memenatkan, apatah lagi kami berhempas pulas pada hari sebelum itu untuk memastikan acara ini berjaya.

“Pernah satu ketika saya berasa seakan-akan mahu putus asa namun apabila melihat rakan sekeliling tidak jemu-jemu memberi sokongan, saya kuatkan semangat untuk menamatkannya,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya dia berjaya melakukan 5,000 tendangan secara peribadi dan baginya, walaupun memenatkan dia sebenarnya terhibur kerana mendapat kerjasama rakannya.

Bukan hanya pelajar lelaki, acara itu juga menyaksikan pembabitan pelajar perempuan yang tidak mahu melepaskan peluang mencatat nama dalam MBR.

Bagi Suhaila Abdul Wahab, 25, dia meminati seni mempertahankan diri sejak di bangku sekolah dan acara ini adalah kesempatan terbaik buatnya.

Katanya, dia memiliki tali pinggang hitam taekwondo dan terbabit dalam seni mempertahankan diri itu sejak 14 tahun lalu dan acara tendangan itu sebenarnya sebahagian daripada rutin latihannya.

“Dalam masa setengah jam, saya berjaya melakukan 2,000 tendangan, namun selepas itu saya terpaksa menghentikan tendangan selepas mendapat kecederaan.

“Bagaimanapun, kecederaan itu dapat dipulihkan dalam masa singkat dan saya menyambung kembali tendangan kerana saya berasa satu kerugian jika saya menghentikan tendangan itu,” katanya.

Menurutnya, acara ini mempunyai nilainya tersendiri kerana bukan hanya tercatat dalam MBR tetapi juga mendidik pelajar supaya lebih berani, selain menggalakkan mereka terbabit dalam aktiviti sihat.


PROFIL

NAMA: Suhaila Abdul Wahab
UMUR: 25 tahun
ASAL: Taiping, Perak
KELAB: Takwando ITF
PENDIDIKAN: Tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa


PROFIL

NAMA: Abdul Qaiyyum Mahamod
UMUR: 23 tahun
ASAL: Sik, Kedah
KELAB: Persatuan Silat Gayung Fatani
PENDIDIKAN: Tahun Pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik


PROFIL

NAMA: Mohd Hafiz Mastor
UMUR: 24 tahun
ASAL: Batu Pahat, Johor
KELAB: Persatuan Silat Gayung Fatani
PENDIDIKAN: Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Forensik Komputer


INFO

  • Sebanyak 611,888 tendangan tanpa henti secara bergilir-gilir dalam masa 24 jam

  • Tercatat dalam Malaysian Book of Records (MBR)

  • Menyaksikan persatuan seni mempertahankan diri di bawah MSU seperti Kelab Gayung Fatani, Seni Silat Gayung Malaysia, Silat Cekak Hanafi dan Taekwondo ITF
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: