Sunday, September 4, 2011

Air mata tumpah di Rinjani

TEGAR...semua 16 kakitangan Harian Metro tetap bersemangat selepas menakluk puncak.
TEGAR...semua 16 kakitangan Harian Metro tetap bersemangat selepas menakluk puncak.

PERKATAAN ‘didorong’ dan ‘ditarik’ mungkin dianggap kata kerja untuk pertuturan biasa bagi orang lain, tapi tidak pada saya yang akan mengenangnya sebagai sesuatu bersifat istimewa dan berharga.

Agak janggal bunyinya kerana saya mengangkat perkataan sebagai sesuatu yang bernilai, bukan barangan tapi itulah ‘penghargaan’ yang saya beri selepas menjejakkan kaki ke puncak Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia.

  • Foto

    BERJAYA...penulis bergambar kenangan di puncak Rinjani berketinggian 3,726 meter.

  • Foto

    CANTIK...pemandangan Danau Anak Segara dari arah atas sentiasa menggamit mata memandang.

  • Foto

    KUASA ILAHI...bentuk muka bumi Rinjani, antara gunung berapi aktif di jajahan Indonesia.

  • Foto

    MENARIK...sebahagian daripada trek pendakian ke puncak Gunung Rinjani.

  • Foto

    PINTU MASUK...dua pendaki Harian Metro ceria di depan Pintu Senaru.

Kerana dua perkataan itu yang digunakan seorang ‘guide’ dikenali Pak Dil banyak membantu saya menjayakan misi menawan puncak gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu, pada 6 Julai hingga 11 Julai lalu.

Pertanyaannya dalam dialek bahasa Indonesia, ‘kamu mahu didorong atau ditarik? Yang mana lebih selesa supaya kita sampai juga di puncak’ akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya, malah sesekali menerbitkan tawa kecil apabila ia terlintas di fikiran.


Bukan saya saja, bahkan 15 lagi kakitangan Harian Metro (HM) yang menjayakan misi menawan puncak Rinjani turut berseloroh mengenai perkataan itu yang kami sifatkan sebagai pembakar semangat.


Ekspedisi tiga hari dua malam itu diketuai Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar membawa kami berkelana di Kepulauan Lombok yang sinonim dengan gelaran pulau anak dara Malaysia dilarikan.

Berikutan ‘populariti’ itu juga saya menerima pelbagai pesanan ‘penaja’ daripada kedua-dua orang tua yang bimbangkan keselamatan diri.

Namun selepas diyakinkan, mereka akur, malah saya tambah semangat untuk berada di Lombok yang turut dikenali masyarakat setempat sebagai ‘pulau seribu masjid’ kerana rumah Allah itu berada di mana-mana pelusuk pulau yang hanya berkeluasan 4,725 kilometer persegi.

Wilayah Nusa Tenggara Barat itu juga mempunyai populasi 4.3 juta orang, malah menarik untuk diteroka meskipun anda terpaksa menukar penerbangan menaiki kapal terbang domestik berikutan ketiadaan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Mataram, ibu negeri Lombok.

Kami memilih mengambil penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya. Jadual penerbangan sekitar jam 2.30 petang (waktu tempatan) membolehkan kami tiba kira-kira dua jam berikutnya.

Ketibaan disambut wakil ejen pelancongan yang kemudian membawa kami menikmati hidangan nasi padang di sebuah restoran di tengah bandar. Dia juga menerangkan atur cara ke Rinjani dan diselitkan juga sedikit maklumat mengenai ‘kesukaran’ gunung itu.

Awalnya memang menaikkan semangat, namun apabila diceritakan mengenai ‘bukit penyeksaan’ dan ‘bukit taubat’ yang bakal dilalui, terus kecut perut dibuatnya. Ketika itu terkeluarlah ayat seloroh saya, ‘tak apalah saya tinggal di hotel saja’, menyebabkan semua mata memandang.

Mungkin mereka tidak menyangka saya berputus asa terlalu awal atau sedar saya hanya bergurau, tetapi penceritaan wakil itu benar-benar membuatkan saya tidak lena tidur, malah terperap di tandas hampir setengah jam semata-mata mahu menurunkan rasa gerun.

Apapun, perjuangan harus diteruskan hingga ke akhir dan sekitar jam 5 pagi (7 Julai) kami bergerak ke Pusat Informasi Rinjani untuk mendapatkan permit masuk sebelum ke Sembalun Lawang, iaitu pintu masuk di bahagian timur Rinjani yang terletak pada ketinggian 1,156 meter.

Menemani kami adalah ‘guide’ iaitu Pak Dil dan Dominic selain lima ke enam porter atau pengangkut barang. Mereka ini saya anggap badang yang tidak hanya diperlukan ketika susah tetapi lebih utama pembakar semangat di kala hilang daya untuk meneruskan pendakian.

Selesai sesi berkenalan, pemeriksaan barang kelengkapan dan bacaan doa, kami memulakan perjalanan menyusuri kaki gunung bercampur di mana ada kawasan perkebunan penduduk kampung, pinggir hutan dan kawasan hutan savana atau hutan rumput.

Kami melewati pondok pertama, Pemantauan pada ketinggian 1,300 meter selepas dua jam pendakian, kemudian meneruskan cabaran menyurusi savana yang terbentang luas tidak ubah lukisan di kanvas.

Puas meneruskan cabaran sambil menikmati keindahan alam, kami tiba di pos dua, Tengengfan sekitar tengah hari, sekali gus isyarat bahawa perut perlu diisi dengan makanan bagi menggali semula tenaga yang hilang.

Hidangan tengah hari itu adalah pecal kangkung yang dimakan berserta sebiji telur dan nasi putih, cukup sempurna untuk menambah apa yang kurang tetapi dalam keadaan penat, ia tidak mudah ditelan. Tidak pasti bagaimana keadaan pendaki lain, tetapi itu yang saya rasakan.

Usai semuanya, perjalanan diteruskan dengan pendakian ke ‘bukit penyeksaan’. Kenapa namanya begitu? Bukit itu digelar begitu kerana tekstur berbatu dan bentuk muka buminya yang terlalu mencanak hingga menguji kudrat pendaki hampir 100 peratus, lebih-lebih lagi amatur seperti saya.

Ketika menyusuri laluan itu, kumpulan kami berpecah kepada beberapa kelompok - yang laju, sederhana dan perlahan. Saya yang gemar mengikut aturan langkah sendiri lebih selesa berada pada kelompok sederhana, tidak terlalu laju dan tak juga terlalu ke belakang.

Dengan kudrat tidak sekuat mana, ‘bukit penyeksaan’ benar-benar menyeksakan dengan bentuk muka buminya yang menyulitkan kita menganggar berapa jauh lagi perjalanan harus ditempuh. Rasanya, habis tenaga dikerah, peluh juga sampai tidak mampu lagi mahu menitik kerana cuaca semakin sejuk.

Hampir lima jam mendaki, kami akhirnya tiba di pos keempat, Plawangan 2 (bekas mulut kawah gunung berapi) pada ketinggian 2,639 meter. Sebaik menjejakkan kaki, mata dihidangkan dengan himpunan khemah yang pelbagai tetapi tiada satu pun di kawasan berdekatan milik kumpulan kami.

Rupa-rupanya, lapan khemah milik kumpulan HM diletakkan di atas bukit kecil, 200 meter dari papan tanda Plawangan 2.

Bermakna kami perlu mendaki lagi dan buat pertama kalinya, air mata saya hampir menitik sebagai menterjemahkan emosi yang sangat tidak stabil dan kepenatan.

Sampai saja di khemah, tiada perkara lain lagi difikir melainkan membungkus diri dalam ‘sleeping bag’ kerana cuaca di luar sangat sejuk bak seloroh rakan, ‘bercakap pun boleh keluar asap’. Selain itu perlu merehatkan diri secukupnya untuk perjalanan mendaki puncak bermula seawal jam 3 pagi.

Hari kedua ekspedisi, kami mula mendaki ke puncak Rinjani tepat jam 3 pagi diserikan dengan langit yang masih gelap, hanya ribuan bintang berkerdipan menghiasi angkasa. Dalam keadaan begini, lampu kepala sangat diperlukan di samping baju sejuk yang tebal dan penutup mulut kerana suhu mencecah sekitar lima darjah Celsius.

Dalam keadaan gelap gelita, kaki digagahkan jua untuk melangkah meskipun sedar kiri kanan adalah gaung mendalam. Saya juga sedar, tersilap langkah boleh membawa maut, lalu dibuangkan perasaan gayat jauh-jauh dan mental serta fizikal difokuskan untuk ke puncak sejauh 1,087 meter lagi atau sekitar dua kilometer saja.

Namun, laluan pertama yang kami hadapi sedikit menguji ketahanan diri kerana ia bukit berpasir, malah saya mengambil masa lebih sejam di sini sebelum menyusuri permukaan berpasir yang mendatar. Di laluan itu sekurang-kurangnya dapat mengembalikan sedikit tenaga.

Bagaimanapun, liku sebenar Rinjani mula menunjukkan taring apabila laluan hampir menegak serta pasir hitam gunung berapi yang berbijian terhidang di depan mata. Dalam samar-samar cahaya lampu dan langit yang mula mencerah saya dapat membayangkan kepayahan itu.

Bukan mahu melunturkan sisa semangat yang semakin hilang, tetapi saya sebenarnya mencari keyakinan diri untuk lebih kuat dan rakan, Suliati Asri menjadi pendamping setia yang tak pernah gagal membisikkan kata-kata perangsang.

Dalam hati, terbit tanda tanya, ‘jam berapalah baru boleh sampai di puncak kalau begini’. Laluan itu nyata terlalu sukar untuk saya lepasi, apatah lagi selangkah diatur, tiga langkah pula saya terpaksa turun kembali kerana permukaan pasir hitam itu yang langsung ‘tak bagi muka’.

Ketika inilah saya dibantu Pak Dil yang muncul secara senyap dari belakang yang saya anggap penyelamat untuk saya meneruskan cabaran. Langit semakin cerah dan rakan lain, ada yang sudah ada di puncak, beberapa lagi masih di perantara - sedikit masa tiba di puncak.

Sedangkan saya beberapa kali melahirkan rasa putus asa untuk meneruskan cabaran diiringi bersama tangisan syahdu tempias emosi yang kepenatan. Kalau dihitung rasanya tiga kali air mata menitik sepanjang melalui likuan itu, sebelum Pak Dil bertanya mahu ‘ditarik atau didorong’.

Kesabarannya menarik tangan kiri saya sambil tangan kanan memegang tongkat, akhirnya membolehkan saya tiba di puncak Rinjani. Perasaan bercampur baur saat menjejakkan kaki ke puncak gunung berapi itu, malah saya sempat memeluk Suliati bagi melempiaskan rasa penat, hiba dan gembira, semuanya bergaul menjadi satu.

Siapa sangka saya berpeluang juga berada di puncak gunung berketinggian 3,726 meter dan syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk menghayati panorama yang cukup cantik, indah dan tidak mampu dirungkai dengan kata-kata. Puas merakam kenangan, kami akur turun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: