Wednesday, September 7, 2011

Alleycats ambil semangat kucing


(duduk dari kiri) Muhammed Ismail Abdul Haiyee, Othman Mohamad, Mohamed Juhari Shaarani dan Rostam Said sambil disaksikan oleh anggota-anggota Alleycat pada majlis MoU bagi menjayakan Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Kuala Lumpur baru-baru ini .


LLEYCATS ditubuhkan sejak 43 tahun lalu di Pulau Pinang, dengan vokalis utamanya, Datuk David Arumugam merupakan anggota asal kumpulan tersebut. Pada usia 61 tahun penyanyi berambut afro ini masih kental alunan vokalnya.

Suara David bukan sahaja tidak dimamah usia, malah dia terus bertahan bersama-sama Alleycats. Meskipun dia satu-satunya anggota asal dalam kumpulan itu, tetapi ternyata semangat juang Alleycats masih utuh dalam bidang muzik.

Menurut David, Alleycats mempunyai kekuatan tersendiri. Ia sama seperti dengan semangat kucing yang mereka jadikan nama kumpulan itu yang terus melonjakkan nama mereka sejak lebih empat dekad yang lalu.

"Ada orang kata kucing ada sembilan semangat dan kehidupan mereka yang tersendiri.

"Sedangkan Alleycats baru melalui satu daripada sembilan fasa semangat serta kehidupan itu," katanya penuh makna sewaktu ditemui baru-baru ini.

Sebelum itu satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan sempena Konsert Sampaikan Salam Alleycats yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 16 hingga 18 September ini.

MoU itu membabitkan AM Event Management selaku penganjurnya, Istana Budaya (penganjur bersama), Utusan Malaysia (akhbar rasmi) dan Radio Sinar FM (radio rasmi) pada konsert yang dijangka mengambil masa dua jam itu.

Utusan Malaysia diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.

Sementara Istana Budaya diwakili Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani; Sinar FM oleh Pengurusnya, Rostam Said dan Pengarah Urusan AM Event Managent, Muhammed Ismail Abdul Haiyee mewakili syarikat itu.

Jelas David, soal usia tidak timbul kerana biarpun sudah berusia awal 60-an tetapi dia tiada masalah untuk menyanyikan semula lagu-lagu Alleycats.

Ia termasuk lagu-lagu lama kumpulan itu.

"Ini bukan soal umur atau stamina. Saya telah menyanyi sejak dari dulu sampai sekarang tanpa berhenti.

"Saya dan Alleycats menyanyi di kelab-kelab malam pada setiap malam. Itu adalah bukti kami tiada masalah untuk terus beraksi.

"Lainlah kalau saya sudah tiga atau empat tahun tidak menyanyi. Maka ketika itu mungkin orang akan berasa was-was.

"Contohnya, kalau sebuah kereta itu dibiarkan sahaja tanpa digunakan ia mudah rosak," ujarnya penuh makna.

Selain David, lima lagi anggota Alleycats juga berusia 40 tahun ke atas kecuali penyanyi wanita mereka, Priyadashini atau Dashini yang baru berusia 24 tahun.

Dia menjadi satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan legenda tanah air itu.

Lima anggota baru Alleycats itu ialah David John, 42, selaku pemain dram; Nazaruddin Abdullah, 49, (gitar), Glen Salay, 42, (penyanyi), Loh Kum Swee, 57, (bass) dan Prawing Aroonratana, 59, (keyboards).

Pada Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu, mereka akan tapil dengan tiga segmen iaitu lagu-lagu 1Malaysia, Tribute To Loganathan dan lagu-lagu hits kumpulan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: