Wednesday, September 7, 2011

Makna program raya


XPDC, Lefthanded dan MAY bergabung memeriahkan Syawal menerusi konsert 3 Gegaran.


Anjakan Seni
KEMERIAHAN golongan artis menyambut raya boleh membantu memeriahkan lagi sambutan itu. Ia dapat dilihat menerusi pelbagai rancangan yang diterbitkan oleh stesen-stesen televisyen dan radio bertemakan hari lebaran.

Pelbagai program yang memperlihatkan konsep raya seperti berbaju kurung, bersamping dan tidak ketinggalan juga ketupat rendang dipaparkan bagi menggambarkan kemeriahan Hari Raya.

Di stesen-stesen radio yang hanya kedengaran suara sahaja turut sibuk memperkatakan sambutan raya golongan artis yang mereka temu bual.

Antaranya soal di mana mereka akan beraya, berapa pasang pakaian raya yang sudah dibeli dan pelbagai lagi persiapan lain.

Golongan itu seakan-akan menjadi penanda aras kemeriahan sambutan Syawal di televisyendan radio hampir setiap tahun sejak dari dulu lagi.

Mungkin jika tiada penampilan artis di kaca-kaca televisyen dan radio maka sambutan raya tidak akan meriah. Dalam hal ini, mana perginya golongan profesional seperti ahli-ahli akademi, atlet mahupun penyair yang turut menjadi inspirasi dalam masyarakat?

Apa salahnya jika stesen-stesen penyiaran turut menggabungkan golongan artis dan pihak-pihak daripada bidang kerjaya lain sambil memperkatakan perspektif raya dalam konteks yang lebih luas.

Ini tidak, mereka seolah-olah tiada idea apabila memperkatakan perkara sama setiap tahun. Perkara baru yang ditonjolkan hanyalah pakaian mereka yang beraneka fesyen dan ragam.

Sama ada sesebuah rancangan raya itu mampu menerbitkan rasa keinsafan dan kesan daripada sebulan berpuasa kepada para penonton atau tidak, ia juga menjadi perkara nombor dua.

Apa yang penting bilangan penonton yang mengikuti sesebuah rancangan raya itu tinggi dan boleh mengalahkan stesen-stesen pesaing yang lain.

Sebab itu jangan terkejut apabila ada stesen swasta seperti TV3 yang menyiarkan rancangan berbentuk konsert rock berjudul 3 Gegaran pada hari raya yang keenam lalu. Pendekatan itu jelas menggambarkan mereka ketandusan idea.

Selain itu, kurangnya rasa keprihatinan stesen televisyen terbabit terhadap pengisian bahan-bahan siaran pada hari yang mulia itu juga amat dikesali.

Malah, rancangan-rancangan yang berbentuk hiburan seperti Melodi juga terus menyiarkan paparan bahan-bahan yang berbau gosip yang langsung tidak ada kena mengena dengan tema dan semangat meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Apalah salahnya setahun sekali pengisian rancangan seperti itu lebih menekankan soal menghayati falsafah berpuasa dan makna Aidilfitri daripada sudut pemikiran golongan artis. Pengisian itu boleh dirancang sebelum sesebuah rancangan itu diterbitkan.

Ini kerana, apabila menonton rancangan-rancangan seperti itu, tidak banyak perbezaan daripada segi paparan bahan yang mereka cuba tonjolkan.

Cuma yang membezakannya adalah setiap artis yang muncul berbaju Melayu, bersongkok, berbaju kurung selain replika ketupat dan kuali besar untuk mengacau dodol yang dijadikan prop.

Para penonton mahupun pendengar tentunya akan dapat melihat kelainan artis-artis pujaan mereka apabila memperkatakan sesuatu yang berada di luar bidang kerjaya masing-masing. Apatah lagi, apabila memperkatakan topik yang relevan dengan matlamat berpuasa dan berhari raya itu sendiri.

Sebagai contohnya, mengapa tidak ada idea bagi menjemput golongan artis sebagai panel dalam rancangan seperti Al-Kuliyyah bagi melihat perspektif mereka tentang sambutan hari raya dalam erti kata yang sebenar?

Sedangkan perkara sebaliknya berlaku, apabila ada artis yang bertudung atau kumpulan nasyid yang diheret sama ke dalam rancangan-rancangan hiburan bagi memperkatakan topik-topik yang begitu rendah nilainya berbanding penampilan diri mereka itu sendiri.

Paling janggal apabila melihat golongan ini turut terkinja-kinja bersama-sama artis lain dalam usaha kononnya bagi menghidupkan suasana Hari Raya dalam program tersebut.

Tidak dinafikan segala rancangan yang disiarkan di televisyen sempena Hari Raya Aidilfitri ini secara tidak langsung adalah manifestasi keinginan para penonton.

Bagaimanapun, sebagai salah satu trend setter dalam masyarakat stesen-stesen penyiaran tidak seharusnya mengikut nafsu para penonton semata-mata.

Sudah sampai masanya mereka lebih serius memikirkan bahan-bahan pengisian yang bermanfaat dalam program-program raya.

Ia penting kerana televisyen menjadi antara bahan tontonan utama seisi keluarga mahupun para tetamu yang datang beraya. Pada saat ramai yang bercuti, tidak banyak aktiviti lain dilakukan di rumah selain menonton televisyen.

Sebab itu stesen-stesen perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan santapan minda untuk masyarakat terutama pada hari kebesaran umat Islam, iaitu Hari Raya.

Tanggungjawab sosial itu pula bukannya ditagih pada setiap hari ataupun setiap bulan. Cukuplah sekadar setahun sekali pada sambutan Aidilfitri demi mengangkat nilai sebenar di sebalik makna sambutan Hari Raya itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: