Wednesday, September 7, 2011

Album baru Abot selepas 10 tahun


Norimah Mohamad atau dikenali sebagai Abot.


ABOT merupakan penyanyi solo wanita tempatan yang merakamkan album berkonsepkan muzik alternatif berjudul Alternatif Buat Orang Timur pada tahun 1996 di mana ketika itu konsep ia menjadi kegilaan ramai pendengar.

Penyanyi yang pernah mendapat jolokan Alanis Morissette Malaysia itu terus mencipta nama sehinggalah pada 2001 dia menghasilkan album solo ketiganya berjudul Sayang Pokpai sebelum senyap begitu sahaja daripada bidang nyanyian.

Bagaimanapun, selepas 10 tahun Abot atau nama sebenarnya Norimah Mohamad yang terkenal dengan suara serak-serak basah akan muncul dengan album terbaru atau keempatnya yang berjudul My Happy Tree.

Menurut Abot, album itu bukan sahaja yang terbaru daripadanya selepas sedekad, tetapi ia juga unik kerana konsep muzik dan lirik yang ditampilkan di dalamnya berbeza berbanding sebelumnya.

"Album itu bukan lagi berkonsepkan alternatif seperti dulu, tetapi ia berteraskan muzik fusion yang mengandungi lima buah lagu terbaru saya. Lirik-liriknya juga lebih puitis dan dihasilkan oleh ramai ahli akademik terkenal di negara ini.

"Contohnya, lagu berjudul Mencari Isteri adalah puisi ciptaan Prof. Rahman Saari dan lirik lagu Selamat Hari Mati pula liriknya ditulis oleh Prof. Madya Datuk Dr. Hashim Yaacob dari Universiti Malaya," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Tiga lagi lagu yang akan dimuatkan dalam album terbaru yang diterbitkannya sendiri itu berjudul Penantian Puteri, Intan Abah dan Sakit Hati Raya di mana ke semua lagu mempunyai banyak lirik yang berupa kritikan sosial.

Bagi menambahkan lagi kelainan dalam album itu, Abot yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu turut menjemput penyanyi baru, Fynn berduet dengannya menerusi sebuah lagu berjudul Selamat Hari Mati.

Tambah menarik kata ibu kepada dua anak perempuan itu, selain lima lagu terbarunya itu, turut diselitkan bersama penjualan album itu ialah novel kelapan tulisannya yang juga bertajuk My Happy Tree.

"Ini adalah novel kelapan tulisan saya. Walaupun judulnya dalam bahasa Inggeris tetapi novel tulisan saya itu dalam bahasa Melayu. Sepanjang tidak merakamkan album saya banyak menghabiskan masa saya menulis novel.

"Novel ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang mahu mendermakan matanya kepada ibunya yang buta sebagai balasan pengorbanan kerana membesarkannya. Ia penuh dengan mesej yang boleh direnungkan bersama," jelasnya.

Dengan kemunculan album itu, ia secara tidak langsung kata isteri gitaris, Jac daripada kumpulan FTG itu membuktikan dia masih aktif dalam bidang nyanyian biarpun namanya tenggelam sekejap dalam bidang ini.

Sewaktu ditanya sama ada para peminat masih mengingatinya selepas 10 tahun tidak muncul dengan album baru, Abot berkata dia yakin namanya masih belum terpadam dalam bidang seni di negara ini.

"Saya memang sudah lama tidak merakamkan album tetapi dalam tempoh itu saya menceburi bidang penulisan novel. Daripada situ para peminat mengetahui saya masih aktif dalam bidang seni walaupun sebagai novelis.

"Selain itu, dalam tempoh itu saya juga pernah bekerja dengan syarikat Metrowealth milik David Teo dalam bahagian pentadbiran di mana secara tidak langsung saya juga terbabit di balik tabir dalam penerbitan filem," jelasnya.

Sepanjang terbabit dalam bidang seni suara Abot yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan ini pernah menghasilkan tiga album berjudul Alternatif Buat Orang Timur (1996), Tak Tahu (1998) dan Sayang Pokpai (2001).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: