Wednesday, September 7, 2011

Hairul, Faralyna bercinta


HAIRUL Azreen dan Faralyna seperti belangkas yang senantiasa berkepit ke mana sahaja.


DUA bintang baru yang semakin menyinar, Faralyna Idris, 20, serta Hairul Azreen Idris, 23, dilihat begitu akrab dan mesra sehinggakan timbul gosip yang mengatakan mereka adalah pasangan kekasih.

Justeru, pertemuan pada satu majlis di Great Eastern Mall, Jalan Ampang, baru-baru ini, pasangan bintang baru itu langsung tidak berselindung dan berterus terang mengakui mereka sudah bercinta sejak tiga tahun lalu.

Ketika ditanya, Faralyna yang merupakan pelakon siri Asmara yang pernah disiarkan di TV3 itu bagaimanapun berkata dia belum cukup matang untuk bergelar tunangan atau isteri kepada Hairul.

Ujarnya yang selesa disapa sebagai Fa, pada usia 20 tahun dirinya masih terlalu muda untuk memikirkan peringkat hubungan yang lebih serius berbanding sebagai pasangan kekasih.

"Masih banyak yang perlu saya tempuhi pada usia sebegini untuk mengenali erti kehidupan dan kedewasaan.

"Tambahan pula, ibu saya baru sahaja meninggal dunia beberapa tahun lepas. Saya rasakan hidup saya masih perlu bergantung dengan keluarga saya lagi.

"Saya perlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun lagi untuk bersedia ke arah hubungan yang lebih serius," jelas Fa yang bakatnya dicungkil oleh pengarah Aziz M. Osman menerusi rantaian drama Kisah Kaisara, siaran TV3, tidak lama dahulu.

Hairul pengubat kerinduan

Bagaikan kebetulan, selepas pemergian emak Faralyna hampir empat tahun lalu akibat barah rahim, Hairul muncul dalam kehidupan dan sanubarinya.

Menurut Fa, kehadiran Hairul kena dengan waktunya kerana dia seorang yang susah untuk berseorangan ke mana sahaja.

"Dulu, ketika arwah emak ada, dia yang selalu menemani saya ke lokasi penggambaran mahupun aktiviti sosial lain.

"Saya tidak mahu mengganggu ayah kerana dia sibuk dengan kerjayanya yang menyumbang kepada sumber pendapatan keluarga kami.

"Sekarang, apabila mengenali Hairul, dia ibarat pengganti ibu yang menemani ke mana sahaja saya pergi," ceritanya sambil mengimbas detik perkenalan di set penggambaran drama Bio-Nik, tiga tahun lalu.

Faralyna seorang yang gila-gila

Bagi Hairul pula, kehadiran Fa sangat dihargai kerana menghilangkan saat-saat bosannya.

Katanya, Fa seorang yang gila-gila dan bersahaja serta dia begitu serasi dengan gadis tersebut.

"Saya tidak dapat membayangkan sekiranya Fa tiada di sisi saya. Mesti membosankan.

"Saya tidak kisah menjadi pendampingnya ke mana sahaja dia pergi asalkan dia gembira dengan kehadiran saya.

"Menyentuh hal hubungan yang lebih serius pula, sama seperti Fa, saya juga belum bersedia untuk menggalas peranan sebagai suami tambahan pula umur saya masih muda remaja," katanya berseloroh.

Insya-Allah, jika jodoh itu milik mereka, ujar Hairul, dia akan memperisterikan Fa secepat mungkin.

Berbicara pula mengenai sambutan rayanya, hero filem Gila-Gila Remaja versi terbaru itu memberitahu, dia meraikan Syawal dengan cara sederhana tetapi meriah.

"Saya hanya menyambut secara sederhana bersama famili di dua kampung yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Pantai Remis, Perak.

"Saya belum cukup popular lagi untuk buat rumah terbuka sendiri. Tetapi, pintu rumah saya sentiasa terbuka menerima kehadiran tetamu yang mahu beraya di rumah keluarga saya di Serdang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: